Anak jiran disorok hantu ketika leka bermain


Suatu ketika dulu waktu kami baru berpindah ke perumahan ini, pernah ada kisah misteri dan mistik yang ingin saya ceritakan.

Apabila difikirkan semula, inikan kawasan perumahan taman baharu mana mungkin ada perkara mistik akan berlaku.

Dipendekkan cerita, sebelum perumahan yang kami tinggal sekarang ini dibina, ia merupakan sebuah kawasan ladang sawit yang besar.

Terdapat beberapa anak sungai atau parit besar mengalir terus ke parit yang lain. Jadi, apabila pembinaan bermula maka banyak parit besar ini ditimbus.

Kemudian di atasnya pula, pihak pemaju telah membina deretan rumah teres seperti yang ada sekarang ini.

Selepas satu persatu rumah mula didiami maka berlakulah kejadian yang diingini. Satu hari, ada sekumpulan anak-anak kecil bermain di hadapan rumah.

Mereka bermain-main sementara menunggu ibu bapa bertandang ziarah hari raya ke rumah jiran tetangga.

Tiba-tiba salah seorang daripada mereka didapati hilang. Kejadian itu berlaku ketika waktu hampir senja. Agak kelam kabut dan naik risau jadinya.

Puas juga semua jiran mencari tapi tak jumpa walhal sebelum itu, mereka semua hanya di hadapan pagar rumah sahaja.

Salah seorang jiran berpendapat mungkin anak itu disorok hantu. Maka ada yang melaungkan Azan dan ada yang berdoa.

Tidak lama selepas itu anak tadi muncul semula. Yang peliknya, budak itu dijumpai berdekatan dengan tempat yang sama dia dikatakan hilang.

Padahal sudah beberapa kali dicari di tempat yang sama tetapi tidak juga jumpa. Disebabkan itu jiran itu mengatakan anak tersebut telah disorok hantu. Hantu apa, Wallahu a’lam.

Ada lagi satu kisah yang berlaku kepada jiran saya. Ia berlaku ketika mereka baru sahaja berpindah ke sini. Awal-awal mereka telah melihat penampakkan.

Menurutnya, beberapa malam mereka ada ternampak kelibat lembaga hitam di belakang dapur rumah. Mereka tidak berani untuk menegurnya.

Setiap rumah di sini membelakangkan rumah lain. Mujurlah tiada gangguan cuma nampak kelibat sahaja. Namun, tetap menimbulkan rasa seriau.


Perkara seperti itu juga berlaku pada pembinaan di fasa terbaharu. Saya tak pasti apa yang berlaku cuma difahamkan juga ada gangguan dan kelibat lembaga mistik di sekitar rumah.

Akhirnya mereka bersepakat untuk memanggil ustaz bagi 'memagari' keliling perumahan mereka. Itu berlaku tidak jauh dari rumah saya.


Mengikut cerita penduduk asal, dahulu di sini ada banyak anak sungai atau parit sebelum dijadikan taman perumahan.

Jadi, faham sajalah kalau ada parit besar yang ada air mengalir seperti anak sungai mungkin ada yang telah membuang saka belaan. Entahlah.


Keadaan dikatakan aman, tetapi setelah itu pada suatu malam ada kejadian pintu rumah saya diketuk secara tiba-tiba.

Anak lelaki saya pun menegur bertanyakan siapa? Lalu saya meminta anak saya segera masuk ke dalam bilik dan jangan beritahu ibunya akan apa yang berlaku, bimbang dia risau.


Seterusnya saya pun pergi mengintai melalui tingkap selepas menyelak langsir. Saya dapati tiada sesiapa pun di luar, dan sewaktu saya jatuhkan semula langsir, pintu rumah diketuk lagi...

Sekian.

Cerita asal: Karl Akmal
Disunting oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Anak jiran disorok hantu ketika leka bermain"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK