Mula-mula ingat itu adalah musang pandan, baunya wangi sangat tapi tiba-tiba jadi lain


Alam di sebalik mata memang wujud, cuma terpulang pada diri sendiri sama ada mahu mempercayainya atau pun tidak. Begitulah misteri bau wangi yang dialami oleh Rosnah (bukan nama sebenar) yang tinggal bersama anak-anaknya kerana suaminya berkerja di pelantar minyak.

Kisah ini diceritakan oleh beliau sendiri dan merupakan pengalaman yang ingin dikongsikan kepada pembaca-pembaca blog RashidSalim.com dan selamat membaca...

Pada malam itu, saya temankan anak-anak buat kerja sekolah. Ketika itu suami saya tiada di rumah kerana dia ada kat laut, kerja offshore. Sebulan atau dua bulan baru balik. Memang begitulah kerjanya.

Rumah kami ni jauh sedikit dari rumah orang lain. Nak kata jauh tu taklah jauh sangat. Rumah kami ni rumah batu, dekat dengan kawasan tanah orang yang masih penuh dengan semak samun.

Sebenarnya dekat rumah lama, saya dah biasa duduk dengan anak-anak walaupun tanpa suami. Tapi di rumah baru ni saya rasa kurang selesa, tak tahu kenapa.

Masa tu saya baru tinggal sebulan di rumah baru, kemudian suami dah kena pergi kerja. Awal-awal tinggal di rumah ni tak ada apa-apa perkara yang pelik berlaku.

Tapi malam itu saya duduk di ruang tamu temankan anak buat kerja sekolah, tiba-tiba terhidu bau yang sangat wangi. Memang bau macam pandan. Begitu wangi. Saya kenal sangat dengan bau pandan itu.

Selepas itu bau tersebut hilang. Saya tanya anak saya, ada bau tak. Dua-dua orang anak saya cakap mereka ada terhidu bau tu. Saya pun tak fikir apa-apa yang negatiflah sebab orang kata kalau bau pandan mesti bau itu datangnya dari musang pandan.

Maka, saya pun optimis sahaja kerana mana ada benda pelik kan? Asal bau wangi je mesti ingat ada makhluk halus, percaya sangat dengan benda-benda karut, saya menepis hal tahyul.

Sebab saya ni memang tak percaya dengan hal-hal begitu. Pastilah bau tu adalah bau dari musang pandan, kerana memang musang tersebut wangi begitu.

Sangka itu adalah musang pandan


Kemudian, malam tu masa saya nak tidur, bau tu pun muncul lagi. Saya merasakan bahawa tempat ni mungkin banyak musang pandan. Lagipun rumah saya ni berdekatan dengan kawasan semak.

Saya tidak mempedulikannya dan beranggapan ia pasti binatang tersebut. Saya set dalam kepala saya bau itu datangnya dari haiwan berkenaan. Tapi saya ni langsung tak terfikir, kalau betul ia adalah haiwan itu, macam mana ia boleh masuk?

Akhirnya bau itu hilang begitu sahaja. Esok baginya saya pergi tengok kut-kut ada kesan benda tu masuk, ada lubang atau sebagainya. Saya dapati tak ada, cuma saya belum berpuas hati sebab saya tak reti nak panjat tengok keadaan atas bumbung, kut ada tempat binatang tu masuk.

Jadi saya pun biarkan. Malam berikutnya, bau tu muncul lagi. Saya rasa memang ada lubang menyebabkan haiwan itu masuk dan saya juga tak terfikir pun kenapa ia masuk? Banyak juga persoalan berlegar dalam kepala saya ni.

Kemudian masa anak-anak dah tidur, saya terdengar pula bunyi benda jatuh di dapur. Saya syak musang ni telah masuk dalam rumah saya. Bau tu memang semerbak. Saya keluar bilik saya melangkah perlahan-lahan.

Dalam samar-samar tu, saya pun buka lampu rumah. Masa tengah lampu terbuka tu saya nampak macam ada benda melintas depan mata saya sangat laju tembus ke dinding rumah. Benda tu keluar.

Saya sangat terkejutlah masa tu. Ketika itulah bau wangi tadi hilang tetapi berganti dengan bau busuk yang sangat-sangat busuk seperti bau bangkai.

Masa nampak benda putih melintas laju tadi tu pun saya dah tersentak, meremang tiba-tiba. Baru saya tahu bagaimana rasanya bila terasa ada sesuatu entiti pelik dalam rumah ni.

Saya beranikan diri pergi ke arah dapur, bau tu semakin kuat dari situ. Ya Allah baunya, Nauzubillah... nak termuntah saya dibuatnya. Tekak jadi loya. Saya pekup hidung.

Bila saya hidupkan lampu dapur, alangkah terkejutnya saya, memang saya dapati ada musang pandan mati ada atas jubin lantai, tapi dah berulat seperti sudah lama terbiar dekat situ.

Saya berundur geli nak tengok. Saya beralih pandangan sekilas dan saya pandang semula bangkai tu lenyap. Tak ada. Saya terus raup wajah saya sendiri. Waktu itulah tubuh saya meremang berganda-ganda sebab...


Ada 'sesuatu' di luar tingkap dapur


Saya nampak ada wajah merenung saya dari luar tingkap dapur. Saya berlari ketakutan terus masuk ke bilik dan pasang radio ayat quran kuat-kuat. Masa tu anak saya dah menangis.

Teruk saya kena ganggu malam itu tak tahu kenapa. Anak-anak duduk dalam dakapan saya pada malam tu sebab takut. Katanya ada nampak benda tenung mereka dalam bilik tidur.

Saya tak dapat tidur sampai siang. Saya mengadu pada suami minta izin balik duduk dengan mak mentua sementara maksud saya, mak kepada suami saya tu. Bila suami dah balik, kami ikhtiar berubat.


Alhamdulillah... selepas peristiwa itu, suami menjemput seorang ustaz datang memeriksa keadaan rumah. Kemudian ustaz tersebut 'memagar' rumah kami. Namun, ustaz itu tidak menyatakan apa-apa kecuali itu semua adalah ujian semata-mata.

Saya pun tak nak fikir yang bukan-bukan, walau bagaimanapun, kalau ke dapur, tetap juga terasa seperti ada sesuatu yang memerhati di jendela. Perasaan itu ada sampailah sekarang. Saya tak pasti yang mengintai di tingkap pada hari itu adalah langsuir atau apa...yang pastinya saya sudah fobia.

Sekian.

Cerita asal: Rosnah
Ditulis oleh: Rashid Salim

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

1 Response to "Mula-mula ingat itu adalah musang pandan, baunya wangi sangat tapi tiba-tiba jadi lain"

  1. Sama spt saya, dah lbh 3 hari ni kl bangun tidur nak tahajud ada cium wangi pandan, saya kira bau dari beras yg baru di beli/ ada musang di atas plavon. Entah sy tak ngerti, tp menjelang mau azan subuh hilang baunya.

    BalasPadam

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK