Saya terkejut 'benda' tu merangkak tengah jalan


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca blog rashidsalim.com ya. Semoga korang semua berada dalam keadaan baik-baik sahaja. Di sini saya (Rashid) ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana korang masih setia membaca kisah-kisah seram di dalam blog ini.

Baiklah, kali ini sama-sama kita ikuti sebuah kisah daripada Fikri (bukan nama sebenar) tentang pengalamannya melalui sebatang jalan pada waktu malam yang sunyi seorang diri. Beliau ketika itu dihambat rasa kecewa, tapi diulit pula rasa takut secara tiba-tiba.

Apa yang berlaku kepada beliau? Jom sama-sama kita baca kisah 'Sesuatu yang merangkak di tengah jalan'. Selamat membaca....

Keluar rumah untuk tenangkan diri


Pada malam itu saya rasa sedikit tertekan. Emosi saya agak terganggu. Ada sedikit masalah dengan isteri. Untuk mengelak dari berlaku konflik yang lebih besar maka saya keluar tenangkan fikiran.

Saya beritahu isteri saya, "Awak, abang nak keluar kejap." tapi isteri saya diam sahaja tak cakap apa-apa. Saya tahu dia sedang marahkan saya. Biasalah suami isteri bergaduh, kan? Sedangkan lidah lagi tergigit.

Selepas itu saya pun capai kunci kereta, terus bawa diri seketika. Waktu itu jam pukul 10:30 malam saya keluar rumah. Saya tak tinggalkan isteri sendirian. Anak-anak ada di rumah.

Tujuan saya keluar adalah sebab saya nak elak dari keadaan menjadi lebih parah. Itu sahaja. Perasaan saya pun ketika itu tak tenteram. Saya risau kalau-kalau tindakan saya menjadi lebih agresif. Lebih baik saya tinggalkan sekejap.

Orang lelaki ini ada ego jugak, saya pun sedang belajar tundukkan ego dengan isteri. Siapa tak sayang bini, kan? Saya sayang, jadi saya buat keputusan itu. Bukan nak larikan diri pun. Cuma nak redakan keadaan.

Kemudian saya pun meronda dengan kereta entah ke mana. Saya memandu sambil memikirkan apa yang sepatutnya saya buat. Saya tak seharusnya marah-marahkan isteri dan anak-anak hanya disebabkan hal-hal yang kecil.

Memanglah, rasa bersalah tu menghurung diri, tapi ada kalanya saya tak dapat menahan perasaan. Tersembur juga amarah itu. Bila rasa tertekan, saya kena buat sesuatu. Kena lari sebentar. Bila okey, baru balik.

Ketika saya memandu, sedar-sedar saya dah masuk jalan tempat pengumpulan sampah sarap. Semua sampah akan dibuang dekat situ. Jadi, kawasan tu pada waktu malam, ia gelap dan sunyi tiada lampu jalan. Tambah lagi ia berada di tempat yang jauh dari perkampungan.

Tiba-tiba 'benda' tu muncul!

Laluan yang saya guna itu menghubungkan susur masuk dan keluar ke LPT2 yang berada tidak jauh di hadapan. Kiri dan kanan gelap sahaja kerana ketiadaan lampu jalan.

Yang terang hanyalah di hadapan kenderaan saya sahaja disuluh lampu kereta. Kemudian saya pun melepasi tempat pembuangan sampah tersebut. Tapi tiba-tiba saya terkejut!

Berderau serta merta darah saya ni. Astagfirullah! saya sempat mengelak. Di tengah-tengah malam macam ni di tempat yang gelap, ada budak kecil merangkak melintas jalan dalam keadaan berbogel.

Mujurlah tiada kenderaan lain waktu saya menyusur ke laluan bertentangan. Jikalau tidak, pasti saya terlibat dengan kemalangan. Budak tu saya anggarkan baru pandai merangkak. Budak kecil sahaja berkepala botak.

Tapi dia tak pandang ke arah saya. Dia hanya merangkak melintas jalan. Saya jadi terperanjat sebab dengan tiba-tiba sahaja dia ada di hadapan.

Ya Allah! Saya pun beristighfar. Saya nak pusing balik ke tak nak ni? Saya dah kecut perut. Sebab di hadapan sana laluan ladang kelapa sawit. Jalannya pun sunyi.

Saya terfikir, kenapa saya boleh nak memandu pada malam begini dan melalui jalan itu sehingga bertemu dengan benda-benda ini? Saya menyalahkan diri sendiri.

Dup dap dup dap! Jantung saya berdetak kencang. Panik saja jadinya. Saya tarik nafas tenangkan hati. Saya terus memandu seorang diri. Kali ini saya bawa laju sedikit tapi dengan berhati-hati. Kalau tadi saya bawa dengan layan perasaan kecewa, kali ini bersama rasa gementar.

Kiri dan kanan adalah tanaman sawit, saya rasa nak cepat balik. Tapi saya kena terus memandu lagi untuk menuju pulang ke rumah dan saya tidak berpatah balik. Saya teruskan pemanduan melalui jalan yang jauh.

Suara tangisan bayi!

Bulu roma tak sempat turun lagi, sekali lagi saya terkejut terdengar-dengar tangisan bayi. Suara tangisan itu sepertinya berada sangat dekat. Ia seolah-olah berada di tempat duduk belakang je.

Suara budak menangis lapar susu, macam tu la cara tangisan itu. Sakit telinga saya. Bingit suaranya. Meremang habis bulu tengkuk saya. Kecut sekecut-kecutnya kepala saya ni.

Saya nak menoleh pun tak berani. Rasa 'benda' tu ada dekat tempat duduk belakang. Saya baca apa sahaja ayat suci yang terlintas dalam kepala saya. Saya baca Ayatul Qursi beberapa kali dengan harapan benda tersebut pergi.

Saya seriau. Saya memandu pun dah tak tentu arah. Menggeletar seluruh tubuh. Tangan saya yang pegang setereng pun turut meligih. Kaki saya pun sama, seram sejuk jadinya. Saya dah tak tahu nak berbuat apa lagi.

Selepas itu saya tiba ke sebuah pam minyak. Saya lepaskan nafas lega. Sebab keadaan dah terang. Bunyi suara tu pun hilang. Saya dah tak tahan, saya berhenti nak buang air kecil. Tapi masa saya turun dari kereta...

Saya perhati pekerja yang jaga pam minyak tu pandang saya dengan perasaan terkejut dan pelik. Saya tak tahu kenapa. Saya pun buat tak tahu je la. Saya pun masuk tandas dan buang air. Masa tu saya dah rasa bahu saya dah berat semacam. Dahi saya pun seperti ada benda menekap.

Ketika saya pandang cermin yang ada dalam tandas tu, Allahu`Akbar! Ada budak duduk atas bahu saya! Matanya kemerahan, berkepala botak. Nampak taringnya keluar dari mulut. Seluruh kulitnya penuh dengan kesan lebam.

Saya punya terkejut terus libas-libas tangan macam nak tolak budak tu lepaskan dari badan saya. Saya tepis-tepis tapi tak rasa pun jasadnya. Saya punya takut terus lari ke arah lelaki tadi. Saya panik, saya kata ada hantu budak.

Saya bercerita kepada lelaki tadi. Dia pun tanya saya, saya lalu mana? Saya pun bagitahu yang saya lalu kat tempat buang sampah tu. Dia pun cakap kalau nasib baik jumpalah budak tu, dan memang saya terkena.

Dia beritahu saya bukan saya orang pertama yang terkena gangguan budak kecil tu. Sebelum ni dah ada yang kena. Saya teringin nak tahu apa sebabnya dan macam mana ia boleh berlaku.

Dia kata biasalah, jin memang suka menyerupai benda-benda yang menakutkan. Lagi manusia takut, lagilah jin ni suka. Lagipun jin kan suka mengusik.


Menurutnya, dulu tempat tu ada orang buang bayi, orang yang kerja dekat tempat tu jumpa mayat budak. Penuh kesan lebam. Saya dengar jadi kasihan. Itu dari apa yang lelaki itu cerita.

Bila dengar begitu, saya rasa insaf. Teringat anak-anak di rumah yang sangat memerlukan kasih sayang dari orang tua. Kasihan anak-anak yang tak berdosa menjadi mangsa keadaan.


Malam itu saya pulang ke rumah membawa perasaan sedih, namun suara tangisan bayi tersebut seakan-akan terdengar sahaja. Saya tak biarkan di situ. Saya pergi berubat dan ustaz beritahu memang terdapat gangguan.

Alhamdulillah, selepas itu semua baik-baik sahaja. Itu pengalaman saya ketika tinggal di sana bertemu dengan 'hantu budak'. Kini dah berpindah ada cerita lain pula. Insya-Allah. Ada kesempatan saya kongsi lagi. 

Sekian.

Cerita asal: Fikri
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Saya terkejut 'benda' tu merangkak tengah jalan"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK