Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Bersiaran lagi kita di dalam blog rashidsalim.com, semoga korang semua berbahagia selalu. 

Semalam kita telah mengikuti sebuah kisah hantu budak bertajuk Saya terkejut 'benda' tu merangkak tengah jalan dan kali ini kita layan pula sebuah kisah seram asrama yang datangnya daripada Zuraida (bukan nama sebenar) yang pernah menjadi warden asrama.

Ayuh kita sama-sama hayati perkongsian cerita ini, selamat membaca...

Warden Asrama Perempuan

Bila sebut tentang asrama, saya tak dapat lupa akan kejadian seram dan misteri yang pernah terjadi sewaktu saya bertugas sebagai warden. Saya pernah juga bercerita dengan warden lelaki mengenai masalah histeria...

Tetapi responsnya berbeza, menurutnya budak-budak ni sengaja buat-buat histeria. Tertutama apabila tiba minggu peperiksaan. Pakat nak balik semuanya. Mereka tahu bila ada kejadian begitu, pasti mereka boleh balik.

Mungkin berbeza bagi saya yang melalui sendiri suatu kejadian yang aneh. Pada mulanya termakan juga kata-kata Cikgu Farouq tu mengenai perangai budak-budak. Saya ni warden baru di asrama perempuan.

Cikgu Farouq ni pernah pesan pada saya, jangan percaya sangat dekat budak-budak ni, sebab banyak sangat helahnya. Nampak hantulah, nampak itulah nampak inilah. Mana ada hantu... itu katanya.

Saya pula cuma berjaga-jaga sahajalah. Pernah pelajar mengadu pada saya terdengar aras atas seperti ada benda berlari-lari. Kemudian mereka bertanya pada saya, kenapa asrama aras empat dibiarkan kosong?

Soalan itu pula saya ajukan kepada Cikgu Farouq. Dia pun tak tahu, pihak pengurusan kata memang aras tu tak didiami pelajar. Memang dibiarkan kosong.

Pelik tapi memang itulah yang berlaku. Pada suatu malam tu, saya dapat laporan pelajar histeria. Menjerit-jerit kuat. Saya cepat-cepat pergi tengok. Saya dapati pelajar tu dah pengsan.

Bila dia sedar semula saya tanyalah kenapa, dia jawab masa dia nak ke tandas dia tegur kawan dia di hadapan tu. Dia tanyalah kenapa termanggu sahaja? Tapi kawan dia tu diam sahaja. Dia pun biarkan  dan pergi ke tandas.

Apabila dia masuk tandas, tengok-tengok kawan dia ada dalam tandas berdiri rapat dekat penjuru tenung dia dalam-dalam. Dia tanya kenapa pandang macam tu. Tiba-tiba sahaja kawan dia tu seperti mahu menerkamnya.

Ketika itu dia menjerit dan kawan dia tu ghaib serta merta. Hakikatnya, kawan dia yang sebenar ada saja dalam bilik. Kejadian tersebut berlaku pukul satu pagi. Itu apa yang dia cakap.

Selepas itu saya terfikirlah, apakah mereka ni sengaja mencipta alasan? Memandangkan memang minggu itu minggu peperiksaan, keadaan asrama agak sunyilah sebab hanya mereka yang nak duduki exam masih stay di asrama.

Boleh jadi mereka ni nak balik study dekat rumah kut? Jadi mungkin betul apa yang Cikgu Farouq tu katakan. Bila buat begini, maka pihak pengurusan mesti buat keputusan benarkan mereka pulang.

$ads={1}

'Dia' merenung saya

Cikgu Farouq lebih berpengalaman. Namun, pada malam itu saya rasa pelik. Waktu saya turun dari asrama tu, saya sempat tengok ke aras empat. Saya seperti ternampak-nampak sosok perempuan dekat koridor sedang merenung saya.

Ya Allah! siapa tu? Berpakaian putih lusuh dan berambut panjang mengurai. Saya dah meremang bulu roma. Saya terus menuruni anak tangga meskipun langkah terasa berat.

Sekali lagi saya cuba menoleh dan kelibat itu hilang. Keesokannya saya bertemu dengan warden lelaki, saya bercerita tentang apa yang saya nampak malam tu.

Saya ingin tahu sangat apa sebenarnya yang terjadi pada aras empat itu, kenapa ia kosong? Akhirnya cikgu Farouq memberitahu saya bahawa dulu ada kes bunuh diri. Tapi pihak sekolah tak mahu perkara ini heboh.

Saya terkejut, macam mana hal itu berlaku? Benda itu katanya dah lama. Pelajar tu terjun dari aras empat. Masa tu pelajar tu didapati hamil. Ya Allah.... saya rasa pelajar tersebut hadapi tekanan.

Aras tu kosong kerana sering terjadi histeria gara-gara pelajar selalu ternampak kelibat pelajar yang mati bunuh diri tu mundar mandir di koridor.

Saya tanyalah tak ikhtiar bersihkan ke? Lalu jawabnya sudah, tapi masih ada. Jadi pihak pengurusan mengambil tindakan menutup aras empat itu. Namun gangguan masih juga berlaku cuma tidak sekerap sebelum itu.

Saya merasakan bahawa roh perempuan itu barangkali tidak tenteram. Boleh jadi juga jin dan syaitan telah menyerupai perempuan itu dan menganggu pelajar-pelajar yang tinggal di asrama.

$ads={2}

Pintu tingkap diketuk-ketuk

Saya sampai terbayang-bayang akan kematian yang menyeksaan pelajar tersebut. Sehinggalah pada suatu malam ketika saya hendak tidur, tiba-tiba tingkap bilik saya diketuk.

Dush dush dush dush!

Semakin lama semakin kuat. Bergegar. Ketika itu sekitar jam 1:30 pagi. Lena saya terganggu. Saya risau kalau ada pelajar histeria lagi dan memanggil saya melalui tingkap. Saya hidupkan lampu.

Saya tanpa bersangka apa-apa, terus ke tingkap dan menyelak langsir. Allahu`Akbar!!! Cepat-cepat saya lepaskan semula langsir tersebut.

Ya Allah!!! Betul ke apa yang saya lihat??? Seluruh tubuh saya terketar-ketar. Kaki saya terasa berat nak melangkah ke katil. Sangat berat. Saya cuba kuatkan semangat.

Ketika itu saya terhidu bau busuk seperti bangkai. Saya rasa benda tu dah mula nak kacau saya. Saya tak tahu apa dia nak dari saya. Ya Allah, tolonglah! Saya hanya berdoa pada Allah, minta dijauhkan.

Benda tu terbalik, kepala ke bawah dengan rambut berjuntai begitu. Terawang-awang depan tingkap saya. Wajah buruk berdarah, nampak otak terlopong dekat dahi yang melohong tu.

Baca: Sungguh tak sangka rupa-rupanya saya bercinta dengan orang yang telah mati

Saya kuatkan semangat, saya baca ayat suci. Saya baca berulang kali. Saya minta pada Allah supaya terhindar dari gangguan benda-benda ini.

Ketukan tingkap tidak lagi kedengaran. Walau bagaimanapun, saya tak dapat tidur sehingga siang kerana khuatir kalau-kalau ia menjelma masuk ke dalam bilik tidur saya pulak. Alhamdulillah, ia tiada.

Baca: Misteri Tasya

Namun, disebabkan saya tidak tahan dengan gangguan demi gangguan, akhirnya saya sendiri yang minta ditukarkan ke sekolah lain. Mujurlah permohonan saya diluluskan.

Inilah pengalaman saya berhadapan dengan makhluk yang saya kira ia adalah jelmaan pontianak hasil dari kematian pelajar terbabit. Wallahu a’lam.

Sekian.

Cerita asal: Zuraida
Ditulis oleh: Rashid Salim
Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditinggalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan berhemah serta ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni.

Kirim Komen

Terbaru Lebih lama