IKLAN

Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat rakan-rakan dan pembaca sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan baik-baik sahaja hendaknya.

Baiklah, pada kali ini blog RS akan mempersembahkan lagi sebuah kisah seram misteri yang datangnya daripada Yanti (bukan nama sebenar), seorang cikgu Matematik yang mengajar di sebuah sekolah rendah. 

Menurutnya, pada ketika itu beliau baru sahaja berpindah ke sekolah berkenaan. Pada awalnya tiada apa-apa kejadian aneh, namun apabila mengajar pada waktu malam... katanya berlaku hal yang tidak diduganya.

Apakah ia? Jadi, sama-samalah kita menelusuri kisah tersebut.... 

Penghuni misteri di sekolah

Peristiwa ini berlaku pada tahun 1997. Ketika itu tuisyen kelas malam mula diperkenalkan untuk murid UPSR di sekolah saya. Tidak dapat dinafikankan sumbangan kelas malam pada tahun tersebut begitu baik sehingga sekolah saya mendapat kecemerlangan dalam UPSR.

Namun saya ada pengalaman seram ketika mengajar di sekolah berkenaan. Saya merupakan cikgu subjek matematik. Jadi murid-murid hendaklah memberikan perhatian saya pun perlu memastikan murid-murid tidak tercicir.

Saya mengajar di blok baru. Jadi murid-murid berada di blok bangunan baru berdekatan dengan bangunan lama. Jadi kalau mengajar tu, dari tingkap naco, nampaklah bangunan lama. Di situ terletakkan bilik guru. Bangunan itu cuma ada dua aras sahaja.

Jadi kami berada di aras tiga, blok yang baru. Masa saya tengah mengajar, tiba-tiba saya seperti ternampak ada benda melintas dari luar tingkap naco. Masa tu saya sekilas memandang. Saya pun mula fikir mungkin unggas kut.

Tapi… takkan warna putih? Saya pun abaikan sahaja. Masa saya dah sediakan latihan di papan hitam, saya pun minta murid-murid salin dah siapkan. Saya pun kembali semula ke meja. Meja tu kan di penjuru tingkap. Jadi saya pun tertoleh ke luar jendela.

Saya nampak ada benda atas bumbung bangunan lama tu. Lepas tu terbang, aih… saya rasa sesuatu dah ni. Saya rasa meremang sedikit sebab sebelum ini saya tak pernah lagu melalui perkara tersebut di sekolah berkenaan. Lagipun saya cikgu baru berpindah ke situ.

Tak lama kemudian saya dengar murid kelas sebelah menjerit. Jadi kami ni terpinga-pinga gara-gara mendengar suara histeria. Saya ni jadi nak tahu pergi la tengok. Murid-murid lain pun pergi intai budak kelas sebelah juga.

$ads={1}

Tengok-tengok ada murid perempuan menggelupur. Ah sudah… saya pun dah bingung. Tak tahu nak buat apa. Mulutnya dah berbuih macam kena sawan. Kemudian dengar lagi murid lain menjerit histeria juga tapi tak sawan la, cuma kata ada benda tepi tingkap.

Saya pun pergi tengok, sebab mereka semua memerhati di tingkap naco itu. Dalam bilik darjah terang, cuma di luar itu gelap. Saya tengok tak ada apa-apa. Saya bercakap dengan guru kelas tersebut, kenapa?

Cikgu tu beritahu murid perempuan tu pergi dekat naco lepas tu menggelupur. Kami agak panik seketika. Kebetulan masa tu ada Cikgu Aziz, nampak macam pandai baca-baca. Dia tenangkan budak perempuan tu.

Disebabkan perkara tersebut, kami terpaksa tangguhkan pelajaran. Suasana agak gamat sedikit sebab budak-budak dah mula takut. Tapi kami sebagai guru kena tenangkan murid-murid. Minta semua kembali ke kelas.

Masa tu baru pukul 9:30 malam. Lagi setengah jam mereka akan balik. Ibu bapa akan jemput anak-anak mereka. Bila semua tak berasa tenang, jadi kami terpaksa batalkan kelas. Ibu bapa datang menunggu. Yang datang awal masa tu adalah parent murid perempuan tu.

Sebab kami memaklumkan anaknya menjerit-jerit dalam kelas. Ibu bapanya kata tak pernah lagi anaknya kena macam tu. Habis tu kami nak buat macam mana. Kami minta maaf.

Tapi mereka tak marahkan kami. Selepas semua dah selesai pulang maka tinggal kami cikgu-cikgu berbincang sekejap. Saya tanyalah, sekolah ni sebelum ni ada apa-apa ke? Mereka diam je. Kalau saya nak lebih tahu, tanya sekurity.

Saya pun tak nak tanya apa-apalah. Biarlah. Harap-harap semuanya akan baik-baik sahaja selepas ini. Kemudian saya tertinggal kunci kereta saya dalam bilik darjah. Semua lampu dah terpadam, yang ada hanyalah lampu koridor sahaja.

Masa saya nak pergi ambil tu saya terserempaklah dengan jaga, dia tegur saya, Cikgu Yanti nak ke mana? Saya pun jawablah tertinggal kunci kereta dalam kelas. Lepas tu dia pesan pada saya, baik-baik cikgu.

$ads={2}

Saya pun senyum. Kalau nak diikutkan saya ni tak adalah kuat semangat, dan apa yang berlaku di dalam kelas tadi buat saya sedikit cuak tapi saya beranikan diri. Mahu atau tidak saya kena ambil kunci kereta.

Kalau saya tak pergi ambil, saya nak balik naik apa? Lagipun awal lagi, baru dekat pukul 11 malam. Jadi saya pun naiklah anak tangga. Sampai ke bilik darjah, saya buka lampu. Saya pun nampak kunci kereta saya tu ada atas meja.

Selepas saya ambil, saya rasa nak menoleh lagi dekat atap bangunan sebelah tu. Nasib baik tak ada apa-apa. Benda putih tu tak ada. Saya pun berpaling dan menuju ke suis lampu untuk off kan semula lampu bilik darjah.

Selepas selesai, saya melangkah keluar, kemudian saya nak tutup pintu kelas tu, tiba-tiba tersangkut. Macam ada benda pegang pintu tu. Aih! Berat tak dapat nak tutup. Masa tu juga bulu roma saya merinding.

Saya tak tutup, saya biarkan sahaja. Saya cepat-cepat melangkah turun tangga. Masa melintas tandas nak turun ke tangga tu dari aras tiga, saya dengar suara orang mengira, satu, dua tiga, empat, lima, enam, tujuh, lapan, sembilan… sampai situ terhenti.

Ulang lagi… satu, dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh, lapan, sembilan… senyap.

Waktu saya nak pusing turun ke anak tangga seterusnya, tiba-tiba jantung saya bagai nak luruh. Saya nampak ada budak perempuan rambut panjang berteleku dekat tangga. Saya dah cuak, nak turun ke tak? Sebab dia ada bawah tu.

Dia tenung saya, nampak mata putihnya tu cuma wajahnya terlindung di sebalik lengannya. Sebab dia berkedaan berteleku memakai gaun. Tapi kakinya berkasut sekolah lusuh. Wajahnya pula nampak pucat.

Darah saya yang mengalir laju ni membuatkan kepala saya rasa kecut. Saya pun berpatah lalu ikut laluan satu lagi. Ketika saya lalu ke tangga yang di situ pun sama, suara budak mengira tu kedengaran.

Situ saya bertemu lagi dengan jaga, dia tanya saya, kenapa cikgu? Nampak hantu ke? Betul-betul hati kering la jaga ni siap tanya saya begitu. Mungkin dia lihat saya terkocoh-kocoh seperti melarikan diri dari sesuatu.


Saya tanpa banyak bicara terus meluru ke arah kereta dan balik rumah. Esoknya saya bertanya pada cikgu-cikgu yang lain, memang sekolah ni ada hantu ke? Mereka cakap mana ada hantu. Saya pun beritahulah malam tadi saya jumpa budak perempuan.

Mereka cakap rezeki sayalah tu terserempak. Amboi… terserempak dengan hantu pun dikira rezeki jugak ke? Pelik mereka ni. Saya pun tanya-tanyalah dengan jaga, lepas tu mereka kata tu perkara biasa cikgu…


Perkara biasa kata mereka, sepanjang mereka jaga sekolah ni, selalu dengar benda-benda pelik, bahkan pernah juga nampak entiti yang bukan-bukan, tapi mereka tak layan. Katanya lagi, kalau kita takut, semakin mereka galak mengacau.

Cuma peristiwa kelas malam tu, kami membuat solat hajat supaya tidak lagi diganggu benda-benda tersebut. Alhamdulillah, selepas itu keadaan kembali baik. ‘Mereka’ tu sebenarnya mungkin nak ikut study juga kut kelas malam….

Cerita asal: Yanti
Ditulis oleh: Rashid Salim

IKLAN

FOLLOW KAMI DI FACEBOOK
Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditinggalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan berhemah serta ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni.

Kirim Komen

Terbaru Lebih lama
IKLAN
IKLAN