Seram! Sebenarnya saya dah rasa lain macam bila nak masuk solat dekat situ


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Berjumpa lagi kita dalam kisah seram. Semoga kenalan dan pembaca semua berada dalam keadaan baik-baik sahaja hendaknya.

Baiklah, kali ini kita layan pula kisah dari Zul (bukan nama sebenar) yang berkongsi pengalamannya jadi penjual ais krim potong.

Beliau pun cuma bercerita serba ringkas sahaja dengan tidak menyatakan lokasinya kerana tidak mahu timbul masalah di kemudian hari.

Apa yang disampaikan oleh beliau hanyalah dari cerita dan pengalamannya sahaja, yang tiada kena mengena dengan sesiapa dan jika ada, mungkin itu hanyalah kebetulan sahaja.

Jom kita menelurusi kisah daripada Zul....

Kisah Seram Si Penjual Ais Krim Potong

Saya ada pengalaman seram yang ingin dikongsikan kepada pembaca sekalian. Peristiwa ini berlaku 10 tahun lepas waktu saya mula-mula berniaga ais krim potong. Ketika itu saya baru angkat motosikal EX5 baru dan terfikir nak berniaga ais krim potong.

Beli motosikal baru buat berniaga ais krim potong. Jadi kena modified sedikitlah untuk letak tong dekat belakang motor tu. Lepas deal semua dengan supplier kira dah kawtim. Saya pun sah jadi penjual ais krim potong.

Hari pertama berniaga seperti biasa ronda-ronda bawa motor perlahan-lahan pusing kampung cari port budak-budak lepak. Lalu tayang tong ais krim depan diorang bagi diorang meleleh air liur tengok.

Saya bermula selepas Zohor, round dari kampung saya dulu, nampak macam tak ada orang nak support, bukan apa rasa malu sikit. Ya la kampung sendiri…. Nanti cakaplah, ala Zul… niaga ais krim je? Mana la tau kan mulut orang…

Saya pun geraklah pergi jauh sikit masuk kampung orang lain. Adalah jumpa dua tiga orang memberi, kantoi saya jual ais krim. Oih Zul….! Diorang panggil…. Jual ais krim pulak ke?

Ha`ah… nak buat macam mana…. Aku minat berniaga, nak cuba jual ais krim la pulak… lalu diorang tanyalah, apa dah jadi dengan kedai kecik saya tu, saya jawablah kedai tu bini yang uruskan, ala kedai runcit kecik-kecik je depan rumah.

Mereka kata ooo tak apalah still ada. Memang sibuk betul mereka ni. Tak apalah, saya pun terus jalan. Tapi sempat jugalah mereka support sebatang dua ais krim potong saya, Alhamdulillah.

Sebenarnya rasa seronok pulak jual ais krim potong ni, rupanya ramai yang suka makan ais krim ni tak kira budak-budak mahupun orang dewasa. Seterusnya dah telat nak solat Asar, jadi saya pun berhenti solat kejap dekat sebuah surau.

Surau tu dah katup semua, iyalah dah dekat pukul 5 setengah. Saya lambat dah nak solat. Tak baik kalau lengah-lengah. Surau tu berada dekat sebuah taman perumahan. Tapi agak jauh sikit jaraknya dari perumahan tu. Ia dekat dengan kawasan semak.

Saya parkir motosikal elok-elok dan terus melangkah ke surau berkenaan. Masa saya nak pergi ambil wuduk, saya dengar air paip terbuka. Saya pun cepat-cepat tengok. Ha`ah memang air paip terbuka. Siapa yang buka tiba-tiba kan?

Saya pun tutup balik. Tadi saya tak dengar pun air paip terbuka masa mula-mula nak ke tempat wuduk tu. Saya tercengang sekejap. Aih… saya pun berwuduklah… selepas selesai, saya pun ready nak masuk dalam surau.

Seterusnya saya tengok kipas terpasang, tingkap pula terbuka. Saya fikir mungkin orang sebelum ini lupa nak tutup, dibiarkan kut. Itu satu pembaziran. Orang tak ada tapi kipas terpasang. Itulah fikir saya masa tu.

Saya pun melangkah dan solat dekat depan. Masa saya angkat takbir, tiba-tiba saya dengar suara ramai di belakang saya ikut takbir. Ketika itu meremang habis bulu roma saya. Suara takbir tu bergema.

Serius saya ni bukan orang yang berani, kecut kepala saya, nak berpaling ke tak nak? Tubuh dah kaku, bacaan pun dah tak menentu. Bulu roma dah tegak berdiri. Kalau cabut lari macam mana? Kalau saya patah pusing, mereka ada di belakang?

Siapa belakang saya ni? Suaranya tiba-tiba ramai? Saya tak jadi solat Asar di situ. Saya terus terjun dari tingkap depan saya tu. Saya terus pusing belakang, ambil kasut saya. Saya dah tak tengok dah dalam surau ada apa.

Saya start motor nak pergi dari situ. Motosikal pula tak hidup tiba-tiba. Saya dorong motosikal saya. Saya menjauh dari situ. Allahu`Akbar! Motosikal saya berat! Sangat-sangat berat. Saya nak kata ada gear ke? Saya dah free gear pun. Apa lagi yang tak kena?

Saya dah tak keruan. Padahal hari siang lagi tu. Saya pun tinggal motor dekat situ saya pergi ke arah taman. Saya carilah sesiapa yang ada dekat situ saya nak beritahu saya kena kacau. Tak ada seorang pun yanga da dekat luar rumah masa tu.

Saya cuma nampak ada seorang budak perempuan je dekat bawah pokok gajus duduk tunggul kayu. Rambutnya paras bahu. Dia termenung di situ. Saya tanya, dik… ayah ada?

Dia pun jawab ada… saya pun tanyalah, mana?

Dia pun beritahu, tengah solat berjemaah di surau. Saya pun garu-garu kepala. Jadi yang solat belakang saya tu orang ke? Adui… saya ni yang menggelabah sangat kenapa. Mesti saya dah kena gelak sakan dengan orang kampung ini.

Saya pun toleh sekejap ke arah surau, tengok betul ke tak. Saya pun tengok semula ke arah budak perempuan tadi. Eh? Tak ada. Masa tu berderau darah saya. Padahal saya cuma pandang sekejap sahaja, takkan dah tak ada?

Masa tu saya rasa ni memang betul-betul kena kacau. Bulu roma merinding berganda-ganda. Lepas tu bila saya nampak budak naik basikal saya dah tak tegur dah. Takut salah tegur lagi.

Masa tu saya ditegur oleh seorang lelaki, dia tanya saya apasal nampak pucat. Saya pun ceritalah dengan penuh debaran. Saya kata saya berhenti solat dekat surau tu, tapi ada orang solat belakang saya ramai-ramai.

Pakcik tu cakap, la… tu surau yang lama, mana orang pakai dah. Surau baru ada sebelah sini. Surau tu dah nak dirobohkan sebab ada masalah isu tanah, katanya. Lagipun surau tu pun mana ada air, mana ada bekalan elektrik dah.

Bila dia cakap macam tu… saya jadi bertambah seriau… pakcik tu beritahu lagi, bukan saya je yang pernah kena, sebelum ni ada yang pernah kena berhenti solat dekat situ. Tak ada apalah… mungkin tu jin Islam kut… katanya berseloroh.

Tapi pakcik tu nasihatkan saya, tak perlulah kita takut dengan perkara-perkara begitu ketika sedang mengerjakan solat. Cuma nasihat pakcik tu lagi, kalau nak masuk suatu kawasan tu, bagilah salam dulu atau baca doa supaya hijab tu terbuka nampak perkara yang sebenar.

Surau tu buruk sebenarnya kalau lihat dari luar mana ada orang nak masuk solat. Memang tak terjaga. Sebelum ini memang ada orang tolong jaga, dah yang biasa jaga tu dah meninggal, kemudian lama-lama dah terbiar begitu. Cuma adalah orang tolong pantau sebab risau kut jadi sarang penagih, itu je.

Ooo... baru saya faham....

Sekian…

Cerita asal: Zul
Ditulis oleh Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Seram! Sebenarnya saya dah rasa lain macam bila nak masuk solat dekat situ"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK