Siri Seram Hakim - Bab 4

 

Bab 4

 

Suatu malam Jumaat selepas solat Isyak, satu perbincangan telah berlangsung. Ia mengenai hal yang sedang hebat diperkatakan. Tak lain dan tak bukan adalah isu yang menghuru-harakan Kampung Damai ni. Isu Hakim.

“Saya ni pak imam bukan apa... Sejak hantu Hakim berkeliaran dalam kampung kita ni, makin menjadi-jadi orang kena rasuk. Kasihan saya tengok anak si Leha dengan Senah tu hah,” ujar Rahim.

“Dengar khabarnya dah puas mereka ikhtiar berubat tapi tak sembuh-sembuh jugak tu. Malu saya nak cakap ni imam...” Ulas Kadir pulak.

“Ada apa-apa lagi ke kamu nak beritahu saya?” Tanya Imam Hadi dekat pintu keluar surau.

“Pak Imam sebagai orang penting dalam kampung kita ni, kena la ambil tindakan. Anak Leha dan Senah tu sampai tak berpakaian berlari keluar rumah. Katanya macam dah tak sedarkan diri. Perkara ni dah jadi buah mulut orang.” Ujar Rahim pulak.

“Mana kamu tahu anak mereka jadi macam tu gara-gara hantu si Hakim? Orang yang dah mati mana boleh hidup balik dan ganggu orang lain. Setiap yang dah mati putus segala-segalanya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah amal jariahnya, ilmu yang bermanfaat dan doa anak-anak yang soleh,” nasihat Imam Hadi kepada mereka berdua agar tidak mengapi-apikan keadaan.

Namun, Kadir dan Rahim tidak berkenan dengan cara Imam Hadi seolah-olah mahu membiarkan sahaja keadaan ini berlarutan. Seperti tiada memberi apa-apa kesan yang buruk kepada masyarakat.

“Bagaimana pulak kalau buruk amalannya pak imam? Yang diamalkan atas masa hayatnya adalah benda-benda syirik, kemudian benda-benda tu mengganggu selepas pemiliknya dah tiada?” Rahim mahu Imam Hadi memikirkannya.

“Astarghfirullah al'adzim... Sampai ke situ kamu fikir ya Rahim? Sepatutnya kita yang hidup ni kena berbaik sangka. Apa yang berlaku ni adalah ujian. Jin dan syaitan ni memang diwujudkan untuk menyesatkan kita. Kalau kita tak kuat menepis godaannya maka kita akan tewas. Sebab tu la Al-Quran adalah mukjizat yang paling besar untuk kita amalkan. Ia pelindung kita.” Hujah Imam Hadi supaya mereka berdua tidak lagi menyelahkan keadaan.

“Habis tu pak imam...” Rahim belum habis cakap Kadir terus cuit lengan Rahim supaya memberhentikan pendebatan. Takkan menang kalau bersoal jawab dengan Imam Hadi.

Kemudian Imam Hadi berlalu. Kadir dengan Rahim agak kecewa. Aduan mereka seperti mencurahkan air di dain keladi.

“Aku dah cakap kat kau Rahim, imam tu macam pelik sikit. Kita cuma mahukan keadaan kembali pulih, tapi dia asyik cakap semua ni ujian. Memang la ujian, tapi kita kena ikhtiar juga meredakan keadaan.” Ucap Kadir.

“Itulah Dir, aku pun pelik dengan orang yang pandai ilmu agama ni. Sepatutnya dia kenalah tolong orang yang dalan kesusahan,”

“Mungkin tangkap-tangkap hantu ni bukan bidang dia kut...” Balas Kadir.

“Tak pernah pulak aku dengar Iman Hadi pandai tangkap hantu?” Rahim juih bibir. Memang tak pernah mereka tahu.

Kadir jongket bahu sambil melangkah keluar. Mereka berdua orang terakhir yang tinggal di surau tersebut. Jemaah yang lain sudah pun pulang.

Tidak lama kemudian, Kadir mendengar bunyi air paip terbuka. “Rahim, ada orang ke yang datang nak solat?” Soal Kadir.

Mata mereka memandang ke arah tempat berwuduk. Jelas memang kedengaran seperti ada orang sedang mengambil wuduk.

Kadir meminta Rahim tunggu, biar dia yang pergi melihatnya, Rahim pun tunggu. Tetapi semakin ditunggu, semakin lama... Kadir tak kunjung tiba...

Hal tersebut membuat Rahim berasa tidak sedap hati.

“Dir...” Panggilnya. Namun tidak menyahut.

“O...Dir....” Sekali lagi Rahim memanggil. Keadaan diam membisu. Bunyi curahan air paip pun tiada lagi.

Tidak semena-mena Rahim tercium aroma yang sangat busuk membuatnya termuntah serta merta. Seperti bau bangkai.

Kelibat Kadir tidak kelihatan, hilang. Rahim cari tak jumpa. Dia mula panik tatkala mendengar dengus nafas yang sangat kasar. Dek terlalu takut, cepat-cepat dia lari meninggalkan surau.

***

Halimah baru sahaja ingin masuk ke dalam perut kereta selepas keluar dari kedai emas. Tiba-tiba dia didatangi Khatijah. Halimah terperanjat.

“Hei Limah!” Tangan Halimah ditarik.

“Kau ni dah kenapa?” Marah Halimah berkerut dahi memandang Khatijah.

“Wah! Senang lenang kau sekarang merasa harta kekayaan anak aku!” Marah Khatijah melihat atas dan bawah batang tubuh Halimah. Rasa nak cekik sampai mati.

“Kau merepek apa ni?”

“Kau ingat aku tak tau kau sekarang berbelanja sakan selepas segala harta anak aku berpindah milik pada anak kau yang tak guna tu!”

“Amboi, amboi amboi! Sedapnya mulut kau kalau bercakap.” Halimah singsing lengan baju. “Kau kalau tak tau apa-apa lebih baik diam Tijah!” Bentak Halimah.

“Hei Limah, kau dengar sini, kau jangan ingat aku tak tau apa kau dan anak kau dah buat pada anak aku. Korang berdua memang dah bunuh anak aku!”

“Kau ni memang dah gila tau Tijah!”

“Kau tu yang gila!” Khatijah terus sambar kepala Halimah sampai tertanggal tudung. Mereka saling tarik menarik tudung dan tertanggal. Tarik tarik rambut pulak.

Orang yang kenal mereka berdua terus halang perkelahian itu. Malah hebohlah satu kampung, Khatijah dengan Halimah bergomol dekat kedai emas.

***

Dekat tingkap, ada dua insan sedang berbual menyampaikan cerita sensasi. Berita itu mesti segera disampaikan agar ia masih panas dan sedap didengar.

“Eh Senah, kau tau... Limah dengan Tijah tu bergomol kat kedai emas pagi tadi,” ujar Leha depan tingkap dapur rumah Senah.

“Tahu, aku pun ada dengar juga. Tapi yang aku duk risau ni pasal anak aku ni...” Senah khuatir akan keadaan Wawa yang macam sasau.

“Bukan anak kau je Senah... Anak aku pun sama. Tapi tu dah puas ikhtiar... Ni semua hantu Hakim punya pasal ni. Mari kita pergi jumpa keluarga Tijah tu Senah.” Usul Leha.

“Nak buat apa?” Senah hampir berputus asa. Wawa asyik berkurung dalam bilik.

“Kau tanya lagi nak buat apa? Minta diorang jangan kacau anak kita. Dah malu aku ni Senah oih anak jadi macam tu. Orang kampung cakap anak aku sawan mental.”

Mereka berdua berasa malu sebab ada ketikanya Heliza dan Wawa jadi tak tentu arah keluar rumah sambil berbogel. Orang kampung mengatakan anak mereka berdua sudah tidak siuman.

Disebabkan itu Leha mengajak Senah membuat penghitungan dengan Khatijah. Mereka sangat pasti ia memang ada kena mengena dengan arwah Hakim.

Tiba-tiba terdapat ramai orang kampung sedang berjalan melintasi rumah Senah. Mereka kelihatan seperti tergesa-gesa. Ada yang bermotosikal dan ada yang mengayuh basikal.

“Eh... Leha... Kenapa tu macam pelik je?” Tegur Senah terjengul-jengul ke luar jendela.

Leha menoleh dan mendapati mereka seperti menuju ke suatu tempat.

Leha nampak budak lelaki mengayuh basikal yang agak ketinggalan kebelakang, lalu dia pun panggil. “Dikkkk comel, mari ini sekejap.”

Budak tu pun menoleh dan datang dekat, “Ya makcik,”

“Kenapa dengan mereka semua tu, nak ke mana?”

“Ada orang jumpa mayat kat tepi sungai tu, jadi mereka nak pergi tengok.” Beritahu budak tu

“Ehhh... Mayat siapa pulak?”

“Entahlah makcik, saya pergi dulu,” budak tu terus mengayuh laju tak sabar-sabar nak pergi tengok.

“Siapa pulak yang mati ni Leha?” Senah agak terkejut mendengar khabar itu.

“Ni yang aku musykil ni... Takkan ada lagi yang mati selepas Mail? Tak boleh jadi ni Senah, kalau kes ni berulang memang kampung kita ni ditimpa bala,” ujar Leha gusar. “Tak apa la Senah, aku balik dulu.” Leha tak sedap hati.

Senah pun rasa tak sedap hati juga, rasa seperti diperhatikan sahaja. Setelah Leha pergi, segera dia tutup jendela walaupun di siang hari. Dia berasa bimbang.

***

Sepasang suami isteri sedang berbicara soal masalah yang melanda. Si suami mahu si isteri banyak bersabar.

“Abang tak berkenan sungguh Limah berperang dengan besan kita tu.” Baharom menggeleng.

“Dia cari pasal dulu bang. Kalau tidak saya tak adanya nak ambil peduli lagi dengan diorang tu.” Halimah memuncungkan mulutnya tatkala mengenangkan insiden yang berlaku di antara dirinya dengan Khatijah pada pagi tadi.

“Malu kat orang kampung Limah oih, mereka orang-orang kampung asyik mengata kita.”

“Biarkan. Mereka apa tahu. Bukan mereka yang rasa. Kita yang rasa sakitnya kena fitnah sampai macam ni sekali. Si Tijah tu memang dah gila bang.” Balas Halimah segera bangun dari sofa

“Hah... Awak nak ke mana pulak tu? Saya belum habis cakap lagi ni.”

“Nak ke dapur, buatkan abang kopi.”

“Dalam duk marah-marah pun, ingat juga ya awak nak buatkan abang kopi.”

“Aih mestilah... Siapa tak sayang laki...”

“Iyalah...”

Halimah terus mengorak langkah menuju ke dapur sambil membawa rasa geram yang masih bersarang.

Tiba-tiba dia terdengar suara orang perempuan bercakap. Dia kenal suara tu. Dia intai tengok sambil memasang telinga.

“Abang jangan tinggalkan Sarah lagi tau... Sarah tak boleh hidup tanpa abang...” Halimah mendengar Sarah berkata-kata sedemikian.

Dia nampak Sarah sedang duduk di meja makan sambil memerhatikan sesuatu, seolah-olah sedang bercakap dengan seseorang.

“Sarah.” Panggil Halimah membuatkan Sarah terperanjat. “Kamu bercakap dengan siapa?”

“Eh mak... Sarah cakap dengan Abang Hakim...” Beritahu Sarah membuatkan Halimah mula merasakan sesuatu yang tak kena dengan Sarah.

“Kamu kena kuat Sarah. Jangan ikutkan perasaan. Hakim dah mati, kamu kena terima kenyataan tu.” Nasihat Halimah namun Sarah enggan menerima takdir itu.

“Mak! Abang Hakim ada mak! Dia ada je.” Bentak Sarah bangun berdiri lalu bergegas pergi masuk ke biliknya.

Disebabkan hal itu dia mahu berbincang dengan suaminya mengenai masalah ini. Usai dia bancuh kopi, dia bersemuka semula dengan suaminya.

“Bang, kuat sungguh sihir Tijah tu bang, sampai makin teruk anak kita ni bang.”

“Limah... Berapa kali abang pesan, jangan menuduh, berdosa.”

“Tapi Tijah menfitnah kita tak apa pulak?”

“Kita jangan balas kejahatan dengan kejahatan. Biar Allah yang membalas setiap kejahatan itu. Lagipun kita tak boleh menuduh sembarangan Limah. Abang kenal sangat Karim tu... Dia tak akan bersengkongkol dengan benda-benda khurafat,” ujar Baharom.

“Laki bini sama je bang... Mesti ada agenda. Lagipun Tijah tu memang tak puas hati, menuduh kita nak merampas harta si Hakim tu sedangkan Hakim tu sendiri yang mewarisi harta dan perniagaannya kepada Sarah.”

“Ini yang abang pelik, kenapa arwah Hakim buat macam tu?” Baharom capai cawan kopi, dia pun menyisipnya.

“Manalah saya tahu bang. Sebab tu la yang Tijah marah sangat kut?”

“Abang tak tahu dah nak cakap apa lagi Limah... Oh ya... Tadi abang dapat call daripada Imam Hadi,”

“Apa katanya?”

“Orang kampung ada jumpa mayat kat sungai. Katanya tu mayat Rahim. Jadi abang nak pergi melawat dulu,” beritahu Baharom.

“Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un, Rahim tukang kayu tu ke?”

“Ye...”

“Lemas ke?”

“Menurut Imam Hadi, keadaannya sama seperti arwah Ismail, mati darah kering kena sedut.”

“Pelik ni bang...” Seriau Halimah mendengarnya.

Sudah terdapat dua kematian sedemikian di kampung Damai. Keadaan ini menambahkan kegusaran penduduk.

***

“Malam tadi saya memang dengan Rahim tu imam, tapi saya dengar bunyi pelik kat tempat ambil wuduk. Saya pergi dekat nak tinjau, tak sedar imam saya pun tergelincir. Saya dengar Rahim panggil tapi saya sakit, tau-tau saja Rahim lari tinggalkan saya. Masa tu saya nampak macam ada benda kejar dia dari belakang.” Terang Kadir kepada Imam Hadi dekat bilik mayat.

Pihak polis telah selesai menjalankan kerjanya kini tinggal kerja-kerja pengurusan jenazah sahaja. Sekali lagi kes diklafikasikan sebagai kematian mengejut.

“Seseorang yang diambang kematian akan diikuti oleh Malaikat Maut... Mungkin itu bayangan kematian yang mengejarnya. Manusia tidak dapat lari dari ajalnya. Tidak awal sesaat dan tidak lambat sesaat.” Balas Imam Hadi.

“Imam, apa yang saya katakan ni betul... Ada benda yang tak kena. Kematian yang sama berulang. Imam tak nampak ke bagaimana keadaan mayat Rahim tu?”

“Serah pada Allah, Kadir. Tugas kita menyelesaikan fardu kifayah ni...”

Tidak lama selepas itu Baharom pun tiba. Kadir terus perhatikan lelaki itu. Keluarga Baharom dan Karim sedang berperang sekarang. Gara-gara itu ada sesuatu yang tak kena berlaku. Kadir menaruh syak.

“Hah Baha elok pun kau datang. Kau kena siasat besan kau ni Baha. Aku rasa kematian Rahim ni ada kena mengena dengan anak dia menantu kau jugak si Hakim tu.” Ucap Kadir selepas bersalaman dengan Baharom.

Baharom diam. Dia tak membalas kata-kata Kadir itu sebaliknya dia hanya menggeleng sahaja.

“Ish kamu ni Kadir, jagalah sikit mulut tu.” Imam Hadi memarahi Kadir yang lancang dalam berbicara.

“Tak apa imam, saya faham.” Balas Baharom lalu mamandang Kadir, “Aku ni Kadir malas nak bertengkar dengan kau. Kita ni kalau belajar agama setinggi mana pun tapi kalau tak ada adab pun tak guna jugak, jadi kalau kau nak siasat, kau pergi siasat sendiri. Lagipun aku dengan Karim tak ada apa-apa masalah.” Bidas Baharom.

“Memang la kau dengan Karim tak ada masalah tapi bini korang berdua yang bermasalah. Jagalah, jangan sampai kecoh satu kampung ni, buat malu je. Sekarang ni macam mana nak selesaikan masalah hantu menantu kau ni?” Kadir menempelak semula Baharom.

“Sudah. Tak malu ke orang lain tengok korang berdua bertengkar dekat sini. Kita sebagai orang Islam kena jaga hubungan persaudaraan. Jaga ukhuwah, jaga silaturahim, jangan putus. Allah murka pada orang-orang yang saling berbalah ni. Faham ke tidak?” Imam Hadi mencelah tidak mahu keadaan menjadi marak.

Masing-masing terbungkam.

Bersambung....

Penulis: Rashid Salim


p/s: Terima kasih kerana mengikuti cerita ini. Jangan lupa untuk follow blog ini untuk update yang akan datang... share untuk semua... jutaan terima kasih sekali lagi...
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Siri Seram Hakim - Bab 4"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK