Pengalaman seram dan misteri bekas pemandu van jenazah


Assalamualaikum buat semua pembaca cerita kisah seram di blog ini. Saya doakan anda semua berada dalam keadaan baik-baik sahaja tidak kira walau di mana anda berada.

Terima kasih saya ucapkan di atas kesudian tuan-tuan dan puan-puan hadir ke blog saya dan membaca cerita-cerita yang terdapat di sini.

Salam kenal dan salam sayang dari saya yang mana belum kenal. Secara tidak langsung kita sama-sama berbagi cerita dah pengetahuan agar mendapat manfaatnya.

Baiklah, kisah yang saya nak kongsikan dengan anda pada kali ini adalah dari pengalaman seram dan mistik seorang pemandu van jenazah bernama Pak Muzir (bukan nama sebenar).

Dia ni dah lama bawa van jenazah dari muda sampai ke tua. Tapi sekarang ni dia dah pun bersara. Saya berbesar hati apabila Pak Muzir sudi berkongsi kisah yang pernah dialaminya.

Saya tertarik dengan sikap peramah yang ditonjolkan oleh Pak Muzir kerana bicaranya bersahaja kadang berselang-seli dengan seloroh, tak kering gusi dibuatnya.

Namun, apabila ditanya berkenaan dengan kisah pelik sepanjang dia jadi pemandu van jenazah, Pak Muzir diam sejenak, kemudian terdengar dia gelak kecil.

Saya menjadi pendengar yang baik melalui perbualan telefon itu. Pekenalan bermula dari Facebook membawa kepada perbualan telefon.

Pak Muzir secara ringkas berkata, ada suatu hari berlaku kematian. Jadi dia ni ditugaskan untuk membawa jenazah dari hospital ke kampung si mati. Segala urusan mandi dan kafan semuanya telah diuruskan oleh pihak hospital.

Hanya sahaja pengembumian jenazah sahaja akan dilakukan di kampung si mati. Jadi semasa dalam perjalanan di senja itu, dia bersama pembantu tiba-tiba terdengar suara orang menangis di belakang.

Pembantu Pak Muzir waktu itu pula pertama kali mengikutinya, jadi berasa pelik lalu menegur, bunyi apa tu. Lantas dia pun berpesan kepada pembantunya itu supaya jangan cakap apa-apa. Diminta istighfar sahaja.

Memang pembantu tersebut rasa pelik, sebab mana ada orang di belakang van jenazah tu melainkan jenazah sahaja. Disebabkan itu pembantunya diam.

Tidak lama kemudian suara tangisan yang teresak-esak tersebut diam membisu. Mustahil orang yang telah mati akan menangis, pasti ada benda lain bersama di dalam van tersebut.

Pak Muzir menoleh ke belakang, terus dia berpaling semula dengan laju. Dia pesan pada pembantunya, jangan tengok belakang. Bila dah pesan begitu, pembantunya tetap juga nak tengok.

Bila dah tengok, automatik jadi tergamam. Terketar-ketar pembantu dia. Mulut terkunci tak cakap apa. Selepas itu pembantunya kelihatan cemas, wajahnya jadi pucat.

Mereka terpaksa menahan debaran tersebut sehingga ke kampung. Setiba di kampung si mati hampir Maghrib, jenazah mahu dikeluarkan tetapi pembantu Pak Muzir bimbang nak buka pintu belakang van tersebut.

Pak Muzir kata Insya-Allah tak ada apa-apa. Bila pihak keluarga si mati dah turun untuk datang menyambut, pembantunya pun buka pintu van, sekali lagi tergamam kerana ternampak kelibat menyerupai orang ada dekat sebelah keranda.

Menurut Pak Muzir, kelibat itu seperti seorang wanita, berambut panjang menutupi wajah. Namun kedudukannya seperti terbongkok seperti wanita tua yang keuzuran.

Tidak lama kemudian kelibat itu hilang. Ahli keluarga si mati pula tidak dapat melihat apa yang pembantu dan Pak Muzir nampak, kerana ia berlaku pantas.

Pak Muzir tak dapat nak meneka apa sebenarnya yang berlaku terhadap jenazah tersebut dan apa yang telah dilakukan semasa hayat si mati.

Kejadian seterusnya pula membawa jenazah yang mati akibat kemalangan jalan raya ke tanah perkuburan. Perkembunian pula dilakukan selepas waktu Isyak, kerana ahli keluarga si mati mahu selesaikan urusan tersebut secepat mungkin.

Peristiwa pelik ini terjadi, apabila sampai ke tanah perkuburan, jenazah di dalam keranda tidak ada. Mereka berasa kehairan kerana keranda tiba-tiba berasa ringan, rupa-rupanya mayat tidak ada di dalam keranda itu.

Mereka yang yang terlibat memang bersaksi bahawa jenazah memang dah letak dalam keranda, mana mungkin tiba-tiba hilang?

Waktu itu orang yang ada di tanah kubur pelik, begitu juga dengan Pak Muzir sebab dia sendiri yang memeriksa bahawa jenazah itu memang dibawa bersama. Tambah pula salah seorang ahli keluarga si mata juga ada dalam van turut teman.

Tiba-tiba pihak hospital memaklumkan jenazah ada di bilik mayat, tak dibawa pun lagi. Jadi garu kepala mereka. Nak tak nak pergi semula ke hospital ambil jenazah berkenaan.

Persoalannya terlintas, yang mereka usung bawa masuk dalam keranda semasa mula-mula berada di hospital tu jenazah siapa yang tiba-tiba hilang ghaib?

Pak Muzir kata selepas itu mereka membawa semula jenazah yang sebenar ke tanah perkuburan dan Alhamdulillah semuanya dipermudahkan.

Begitulah beberapa peristiwa yang dialami sendiri oleh Pak Muzir sejak lama dulu dan saya bertanya ada lagi ke tak? Lantas Pak Muzir menjawab ada tapi kalau punya masa dan diizinkan Allah, Insya-Allah dia kongsikan.

Sejak dahulu sebenarnya ada sahaja hal yang aneh-aneh berlaku di tanah berkuburan mahupun orang yang terlibat dengan pengurusan jenazah. Cuma ia tidaklah disebarkan secara meluas kerana melibatkan soal keaiban.

Walau bagaimanapun ada juga kisah-kisah yang diceritakan secara umum sekadar untuk iktibar dan pengajaran. Hal itu cuma untuk peringatan kita sesama manusia yang masih hidup.

Sempat juga saya bertanya, ada tak Pak Muzir diganggu selepas selesai waktu kerja? Dia hanya gelak kecil, itu biasa terjadi, tapi saya ingin dia kongsikan juga nanti, itupun jika berkesempatan.

Sekian.

Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Pengalaman seram dan misteri bekas pemandu van jenazah"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK