Kelakuan jadi pelik selepas menangkap ikan laga yang aneh


Terdapat pelbagai jenis ikan laga yang ada di pasaran sehingga harganya mampu mencecah ribuan ringgit. Setakat ini ikan laga jenis Avatar memegang rekod paling tinggi nilainya. Tetapi bukan itu yang saya nak cerita di sini...

Saya nak sampaikan satu kisah misteri yang dialami oleh Azli. Dia ni anak kepada Osman. Azli ada tiga adik beradik, yang tengah nama Amin dan yang bongsu nama Azim. Mereka tiga beradik ni masih kecil dan jarak usia mereka berbeza dua tahun setiap seorang.

Ketika itu Azli berusia 10 tahun, Amin 8 tahun dan Azim 6 tahun. Mereka ikut ayah mereka pergi tangguk ikan. Osman ini ada hobi iaitu bela ikan laga. Ayahnya sanggup membina kolam semata-mata untuk pelihara ikan laga kampung atau juga dikenali sebagai Peaceful Betta untuk dibuat baka.

Kejadian ini berlaku pada tahun 90an ketika Osman bawa ketiga-tiga mereka ini ke satu tempat untuk cari ikan laga ini. Kawasan paya. Mereka pergi dengan tunggang motosikal sahaja. Itu juga merupakan pertama kali Azli ikut ayahnya pergi tangguk ikan laga.

Kawasan paya itu terletak di bawah bukit. Jadi mereka mesti menuruni bukit untuk sampai ke bawah. Ayah mereka parkir motosikal di atas tepi jalan raya. Kawasan tersebut di kelilingi hutan. Azli pun tak tahu dari sumber mana ayahnya dapat tahu situ terdapat ikan laga.

Mungkin dari orang-orang atau kenalannya. Jadi mereka tiga beradik ini ikut turun dengan berhati-hati. Azli bawa botol untuk letak ikan laga dalam tu. Kata ayahnya, kalau nak dapatkan ikan lagi, tengok ada buih-buih kecil. Di bawah rimbunan buih tersebut terdapat ikan.

Dipendekkan cerita, pada petang itu Azim yang berada di tepi paya tiba-tiba sahaja berteriak. Wajahnya nampak seperti terkejut sambil tangannya tunjuk-tunjuk ke aras seberang paya. Di situ adalah hutan. Jadi Azli dan Amin pun tengok. Osman turut menoleh tempat yang Azim tunjuk.

Osman tak nampak apa-apa kecuali dahan yang nampak bergerak-gerak seperti dilanggar sesuatu. Sementara itu bunyi cengkerik yang mulanya bingit tiba-tiba jadi senyap sunyi. Azli ketika itu dah tangguk seekor ikan laga. Masa dia nak tangguk tu dia nampak ada buih timbul.

Dia pun masukkan ikan itu dalam botol. Dia saja simpan seekor untuk buat main. Ayahnya pula mencari yang betul-betul berkualiti. Kalau tak berapa elok, ayahnya akan melepaskannya semula. Azli dapat ikan laga warnanya hitam.

Berbalik pada tangisan Azim tadi, Osman berhenti tangguk ikan. Mereka pun bergegas naik ke atas. Amin dan Azli pun ikut naik motosikal itu setelah ayah mereka dah angkat Azim letak dekat depan motosikal di bahagian raga. Amin dan Azli dekat belakang motosikal Honda C70.

Botol yang Azli letak ikan tu bersilang dekat bahu sebabnya botol tu dia ikat dengan tali. Botol plastik yang telah ditebuk lubang halus untuk pengudaraan ikan tersebut. Azli berada di belakang sekali. Azim yang tadi menangis masih tersedu sedan.

Osman sebenarnya agak cuak sebab Azim tiba-tiba teriak seperti ternampak sesuatu manakala Azli pula di belakang rasa bahunya berat. Entah kenapa dia rasa botol itu rasa amat berat sekali. Senget-senget bahu jadinya. Selepas itu kembali normal semula.

Tidak lama kemudian, selepas sampai di rumah, Osman tanya Azim, anaknya itu nampak apa? Azim kata nampak harimau yang sangat besar tapi ada tanduk. Osman pun tenangkan anaknya itu. Dirasakan semua itu cuma bayangan sahaja.

Mereka sampai rumah pun dah maghrib. Selepas itu Osman pun simpan ikan-ikan itu dalam botol kaca buat sementara. Azli pula minta botol kaca dekat ayahnya nak letak ikan laga yang dia tangkap tu jugak.

Masa dia pindahkan ikan laga tu masuk dalam botol kaca, tiba-tiba je ikan laga tu keluarkan banyak buih dari mulutnya. Azli tak rasa apa pun. Sebab dia anggap ia perkara biasa. Osman pula buat tak tahu je sebab dia anggap ikan laga yang ditangkap anaknya itu hanya ikan laga biasa.

Ikan-ikan laga itu disusun di satu ruang khusus dekat bahagian dapur rumah. Osman suka tengok ikan-ikan tersebut. Ia memberikan ketenangan dan dalam masa yang sama Osman suka melagakan ikan tersebut dengan ikan orang lain.

Jadi pada malam itu, Azim tak henti-henti menangis, teriak dan menjerit. Anak bongsunya itu ketakutan. Tak boleh tidur. Bila Azim bising, semua orang terganggu. Osman tanya, kenapa? Azim beritahu ada harimau bertanduk dalam rumah.

Osman pun nampak Azli ada di dapur duk tengok ikan laganya. Lagut duk perhati ikan laga, Azli keras macam patung berdiri menghadap botol kaca tu. Bila Osman tengok tak ada ikan pun dalam tu.

Osman pun goncang-goncang tubuh Azli. "Along!" Panggil Osman. Si Azli ni tak jawab apa-apa. Kemudian Azli pun rebah. Seluruh tubuh tak bergerak. Osman jadi panik, isterinya pun turut terkejut apabila si Azli jadi macam tu, mata terbeliak, badan tak bergerak.

Tak lama selepas itu, Azli meracau dan terus bangun lalu bergegas keluar rumah menuju ke kolam. Azli terjun dalam kolam ikan laga milik Osman. Azli beredam dalam tu hanya timbulkan kepala sahaja. Osman minta Azli keluar. Tapi Azli tak keluar.

Isteri si Osman ni pun panggil adik dia kat rumah sebelah. Ketika itu jam 1 pagi. Dia panik sebab Azli macam dah kena rasuk. Azli pun selam sikit mulutnya sambil tiup air buat buih. Menggelegak air dekat mulutnya tu.

Tidak lama kemudian, adik ipar Osman pun datang, dia nampak apa yang berlaku. Dia beritahu Osman, tu bukan anak kau Man! Adik ipar Osman ni nama Fadhil. Jadi Fadhil usahakan sesuatu tarik Azli keluar. Memang tubuh berat gila macam nak tarik lori satu tan keluar dari kolam.

Bila Fadhil baca-baca sikit, baru dapat tarik keluar. Lepas tu Fadhil tanya sesuatu membuatkan Azli menjawab dengan suara yang kasar dan garau, "Hantar aku pulang!!!"

Fadhil berbincang dengan Osman, dia tanya kat mana Osman tangguk ikan? Lepas tu Osman beritahu di tempat sekian-sekian. Lalu Fadhil kata kena pergi malam ni jugak, kalau tak, Azli akan jadi makin teruk.

Tempat yang Osman pergi tu berpenunggu dan ikan yang Azli bawa pulang itu adalah milik penunggu tersebut. Pada malam itu juga mereka pergi bawa Azli ke sana dalam keadaan gelap. Mereka tiga orang pergi bersama. Yang lain tunggu di rumah sahaja.

Sampai je dekat situ, Azli terus berlari dalam gelap dan terjun dalam paya tu seperti orang yang dah hilang akal. Dalam gelap Azli hilang. Fadhil dan Osman tak sempat nak halang. Dah pukul 3 pagi, mereka suluh cari Azli dalam paya tu lepas tu baru nampak. Cepat-cepat mereka bawa naik.


Selepas bawa balik, Azli tak dapat bergerak, lumpuh. Fadhil kata benda tu kunci saraf Azli. Pihak hospital pula kata Azli kena stroke. Terlalu muda Azli berusia 10 tahun diserang stroke. Ia agak mustahil.

Sehinggalah Osman dapat mimpi, kalau nak anak dia sembuh, kena lepaskan semua ikan-ikan laga tu. Jangan bela dan laga-lagakan ikan-ikan itu untuk taruhan. Selama beberapa bulan Azli lumpuh, akhirnya Osman pun memusnahkan kolam ikan laga dia tu. Dia tak bela lagi ikan laga.

Lama kelamaan, keadaan Azli beransur pulih. Kaki dan tangan anak lelakinya itu boleh bergerak-gerak semula walaupun pada permulaannya agak lemah. Namun ia menggembirakan hatinya. Alhamdulillah...

Sekian...Cerita Asal: Fadhil
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Kelakuan jadi pelik selepas menangkap ikan laga yang aneh"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK