Misteri : Siapa Di Dapur? - Kisah Pengalaman Aku Di Paloh


Pada tahun 2012 aku pernah berada di Paloh, Kluang Johor. Aku bercuti di rumah kawan aku dekat dengan SMK Paloh tu. Dia menyewa di situ. Kawan aku tu merupakan seorang cikgu.

Aku tumpanglah di rumah dia. Kiranya aku nak habiskan masa sebulan dengan suasana baru di situ sambil berkarya. Masa tu aku sedang siapkan manuskrip novel Abang Pailang Ke?

Ketika suatu malam, dia balik ke rumah ibunya, katanya ada hal. Selepas tu akan pulang semula. Maka tinggallah aku sorang-sorang. Kadang selalu juga aku duk sorang-sorang dalam rumah tu. Cuma pada malam kejadian, perasaan aku lain macam sikit.

Malam bila dah sunyi, idea mencurah-curah datang. Laju jari jemariku menari di atas keyboard laptop menulis cerita tu. Genre ni thriller romantik, tak ada la babak seram ke apa, tapi yang seramnya ada aku kena sakat di rumah tu. Hal tersebut yang buat bulu roma aku naik.

Sedang aku berada di ruang tamu, aku dengar seperti ada orang sedang mencuci pinggan mangkuk di dapur. Bunyi air dan pinggan mangkuk terketuk-ketuk itu menambahkan rasa seriau.

Setahu aku... memang aku seorang sahaja yang berada di dalam rumah ini. Kawan aku itu kan balik rumah mak dia dan tak tahu pukul berapa nak balik sini.

Haa… aku dah tak sedap hati. Aku pun berhenti menulis. Nak pergi intai pun dah rasa takut dan seram sejuk. Ke itu cuma perasaan aku je kut? Berkira-kira aku nak bangun ke tak nak pergi tinjau. Perasaan dah tak tenteram dah. Sempat aku tengok jam di laptop tu, pukul 11 malam.

Masa tu jugaklah aku rasa nak terbuang air kencing. Alamak…. Maknanya aku kena pergi ke dapur! Gila la aku nak kencing kat situ je… benda apa yang ada dekat dapur tu? Main-main betul la!

Perlahan-lahan aku bangun. Ketika itu, aku nampak silau lampu kereta terpancar ke arah pintu sliding. Nasib baik, kawan aku tu dah balik. Kemudian bunyi bising dekat dapur senyap serta merta. Aku dengar pintu pagar dibuka, aku selak langsir, memang itu kawan aku. Lega rasanya.

Sebaik sahaja kawan aku tu masuk dalam rumah, dia pun tanya aku, kenapa aku nampak cuak, aku pun jawablah tak ada apa-apa. Masa tu aku rasa beranilah sikit lalu bangun pergi ke dapur untuk lepaskan hajat yang aku tahan-tahan tu.

Aku rasa pelik jugak, selama kawan aku duk kat rumah ni, dia tak ada rasa apa-apa ke? Atau dia dah terbiasa terhadap gangguan seperti itu? Ah… abaikan je la… aku pun masuk dalam tandas. Ini yang buat perasaan aku lagi tak tenteram!

Tiba-tiba aku nak buang air besar la pulak. Aku pun apa lagi terus mencangkung la… dan tersembur darah! Aku jadi panik. Banyak darah keluar, Allahu`Akbar! Cemas aku rasa. Selama ni tak pernah terjadi sedemikian rupa.

Aku cuci darah tu, aku tak buang air besar pun, yang keluar hanya darah. Masa aku nak bangun, badan aku rasa berat seolah-olah mendukung sesuatu. Sampai ke pintu jamban aku terpaksa merangkak. Aku merangkak dan merangkak pergi dekat kawan aku. Ya Allah! Berat!

“Is!!!” Panggil aku menyebut namanya. Dia keluar dari bilik tengok aku dalam keadaan macam tu. Dia papah aku bangun. Dengan susah payah aku bangun. Aku cakaplah yang masa aku nak berak keluar darah, tersembur. Malam tu aku tak dapat tidur.

Sebelah malam itu, memang seram sejuk sebab aku rasa terdengar-dengar bunyi pinggan mangkuk itu dekat dapur dan selepas itu rasa dada aku sesak susah nak bernafas dan badan aku keras tak dapat bergerak.

Beberapa ketika aku cuba menjerit panggil kawan aku tu tapi macam suara aku terkunci sahaja. Tak lama selepas itu baru aku rasa lega semula. Yang ini aku tak faham tapi orang kata kena tindih dengan benda ghaib. Tapi masalahnya ia tak memunculkan dirinya. Minta dijauhkan...

Dan esoknya kawan aku tu bawa aku pergi klinik, doktor cakap aku kena buasir. Dari segi medikal aku terkena sakit itu. Tapi yang berat satu badan aku tu apa? Yang terasa aku dukung sesuatu itu pula apakah ia? Sukar untuk aku rumuskan. Dan dari mana asalnya bunyi pinggan mangkuk di dapur rumah itu....? - Sekian.

Rashid Salim.
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Misteri : Siapa Di Dapur? - Kisah Pengalaman Aku Di Paloh"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK