Misteri Rumah Sewa Bau Bangkai


Selepas Isyak, aku duduk mengelamun di luar rumah, kira-kira di hati hanya mahu sekejap sahaja. Tak sangka pula lama lepak sorang-sorang. Dengan bertemankan sebatang rokok, aku pun berangan sambil memikirkan apa lagi yang aku nak kongsikan bersama pembaca aku di group Facebook dan pages. Aku harap mereka bersabar menanti setia coretan kisah seram yang akan disampaikan. Harap mereka suka walapun tak seberapa.

Yang paling aku risaukan adalah mereka sentiasa menanti sambungan kisah misteri Perigi Lama Nek Mah yang masih belum menemui titik penamatnya (Sekarang dah terbit jadi buku). Itupun aku harap sangat mereka tak bosan menunggu. Maklum sahajalah, aku ni pun bukan pandai sangat menulis. Baru belajar-belajar mengarang cerita seram.

Kalau nak diikutkan, sebenarnya aku ni seorang penakut. Nak berdiri di kawasan yang sunyi pun dah mula resah, dengan suasana heningnya, bunyi cengkerik lagi. Kadang tu bila sang unggas bersuara, aku dah cemas. Andrenalin berubah. Tambah-tambah lagi bila menghadap laptop masa nak menulis. Aku kena bayangkan imej-imej ngeri. Huh!

Rokok pun dah tinggal separuh aku hisap, tiba-tiba aku mendapat panggilan telefon daripada Kamal. Segera aku menjawabnya. Dia bertanyakan khabar aku, lantas aku pun jawab, baik sahaja.

“Sepi je dua hari ni, apa cerita...?” Soalnya. Macam biasalah jawapan aku, writer block. “Asyik tak ada idea saja kau ni Shid...” Katanya.

Memanglah, bukan senang nak menulis di saat otak tepu. Ha ha ha. Aku gelak. Lantas katanya dia ada kisah nak dikongsikan kepada aku. Kalau macam tu, aku okay sahaja. No problem!

“Sekarang ni kau kat mana?” Soalnya, aku beritahu dia yang aku ada depan rumah sambil merenung jauh ke dada langit malam. Bulan yang tadinya terang, sudah pun dipasung awan. Gelap gelita jadinya.

“Kau tak datang, rasa boring pulak.” Ucapku.

“Aku malas nak kacau kau Shid kat rumah. Ni aku call pun sebab aku dapat cerita ni dari kawan aku.” Ucap Kamal. Jadi, bolehlah aku dengar.

“Teruskan Mal, aku dengar.”

Kemudian dia pun memulakan cerita...

Kisah dua sahabat berpindah rumah sewa baru. Rumah sebelum ini pemiliknya nak jual. Jadi terpaksalah mereka cari tempat lain.

Sudah siap punggah barang bawa masuk, tiba-tiba salah seorang dari mereka nak buang air. Saat tiba ke pintu tandas, dia terhidu bau busuk. Luar biasa baunya sehingga membuatkan tekaknya berasa loya. Macam bau bangkai. Nauzubillah…

Seorang nama Suria, seorang lagi nama Diana. Diana muntah akhirnya bila terlalu lama terhidu bau busuk itu. Suria tanya, kenapa? Diana pun jawab ada bau busuk tapi yang peliknya, Suria tak ada pulak terhidu apa-apa pun. Baginya normal sahaja.

Pada sebelah malamnya pula, sekali lagi Diana terhidu bau yang sama. Dia tak tahu nak buat apa lantas dia pun memberitahu pada Suria bahawa rumah ni tak beres. Ada benda yang tak kena.

Suria tak percaya dan menyatakan pada Diana bahawa itu semua mainan perasaan. Jadi nak tak nak, Diana terpaksa harungi sendiri bau yang sangat busuk itu yang datang sesekali. Sudah Diana katakan ada bena yang tak beres tetapi Suria tidak mempercayainya.

Oleh kerana dihantui perasaan takut, Diana nak ke tandas pun rasa was-was. Pernah dia terkejut bila mana ada gelas kaca pecah jatuh dekat kakinya dari meja, padahal dia sikit pun tidak merempuhnya. Barangkali ada tangan ghaib yang melakukan hal itu.

Tiba-tiba Diana terdengar suara bisikan...

Pergi..........

Nampaknya Diana mahu diusir. Tidak lama kemudian Suria datang dengan wajah cuak, berpeluh-peluh. Laju dia mahu mendakap tubuh Diana, malangnya kaki Suria terpijak kaca lalu berdarah. Suria mengerang kesakitan. Diana cepat-cepat tolong mengeluarkan kaca yang tertusuk di telapak kaki Suria. Mengaduh Suria kesakitan. Waktu itu Suria ternampak pula sosok perempuan berdiri di muka pintu tandas dalam keadaan mengerikan. Wajah itu mencair dan berasap. Kulit-kulitnya menggelupas kepanasan.

Rupa-rupanya Suria yang tadinya berlari mendapatkan Diana turut terdengar bisikan yang sama menyuruhnya,

Pergi..........

Keadaan menjadi tegang bila kedua-duanya terhidu bau busuk. Sosok perempuan tadi hanya dilihat Suria sekilas pandang sahaja. Disebabkan tidak tahan dengan gangguan, maka mereka pun mengambil keputusan untuk pergi pada malam itu juga.

Akhirnya mereka dapat tahu bahawa rumah itu selalu tak lekat penyewa. Asyik bertukar sahaja. Menurut pemilik asal rumah tersebut, pernah berlaku kejadian bunuh diri seorang perempuan yang mempunyai tompok tanda lahir yang besar pada wajahnya. Seumur hidupnya selalu diperli sehingga mengakibatkan kemurungan.

Lantas, tanpa berfikir panjang, saat dia merenung ke cermin kaca dalam tandas... dia terus menuang asid ke wajahnya sendiri seraya menjerit pergi!! Dalam kesakitan itu sempat mengelar lengannya sendiri. Mayatnya disedari keberadaan di dalam tandas setelah membusuk. Beginilah jadinya ditinggalkan bersendirian tiada teman.

Kamal menghabiskan ceritanya, aku pulak rasa meremang bulu kaki. Tak senang duduk dibuatnya. Seram dan mengerikan. Teringin juga aku nak tahu apa yang mempengaruhi perempuan tu dan jawab Kamal, semua tu kerana desakan jiwa. Bahaya juga bila kemurungan dan tak ada siapa yang faham. Perempuan tu bukannya minta dilahirkan begitu, kenapa perlu dibuli dan diperli sehingga jiwa orang jadi tertekan? Seolah-olah mereka menidakkan ciptaan Tuhan. Astarghfirullah Al'adzim...

Terima kasih Kamal kerana sudi share dengan aku... Paling tidak pembaca aku nanti ada bahan yang nak dibaca, ada pedoman yang dapat dikutip, Insya-Allah...

“Lepas ni kau bolehlah olah cerita ni untuk pembaca kau nanti Shid…” Ujarnya.

Aku terdiam.

“Hello Shid…. Kau dengar tak ni?” Kamal bersuara memanggil aku.

Pergi..........

Aku seperti terdengar-dengar sahaja suara perempuan menyeru pergi… macam yang Kamal ceritakan tu. Terbayang-bayang pulak, Ish!!! Meremang bulu roma aku ni.

p/s: Sekian cerita aku kali ini untuk anda semua. Kisah ini aku ulang siar dari Facebook untuk diabadikan di dalam blog ini. Semoga terhibur. Jangan lupa follow blog ini ya. Terima kasih daun keladi, jemput baca lagi…
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

2 Responses to "Misteri Rumah Sewa Bau Bangkai"

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK