Tapak Rumah Berhantu


Cerita ni aku ulang siar. Waktu itu aku tulis masa PKP tahun lepas. Jadi ini dah bulan puasa, memang tak ada kena mengenalah kan. Lagipun bulan puasa aku tak dapat berniaga ais cendol dan pisang goreng di atas sebab-sebab tertentu. Aku duk update blog je dekat rumah ni sambil layan anak-anak.

Jadi jemput baca cerita ni ya. Ia tentang perbualan antara aku dengan Kamal. Ni kisah ketika aku aktif dekat group di Facebook. Sekarang pun aktif lagi cuma tak sekerap dulu la. Sibuk sikit.

Aku tetap sayangkan semua pembaca aku termasuklah yang ada di dalam group, page dan di personal fb aku. Tak kisahlah di mana-mana. Terima kasih support aku.

Baiklah, jom layan kisah tapak rumah berhantu ni...

Selepas aku siap-siap menggoreng pisang, aku ternampak kelibat Kamal keluar dari perut keretanya. Dia datang dekat dan aku pun pergi sambut. Kalau ada karpet merah, memang awal-awal lagi aku dah bentangkan untuk dia. Kami pun langsung bertanya khabar.

"Lama la kau tak update cerita seram kat page kau," Kamal tepuk-tepuk bahu aku.

Sebenarnya, aku hadapi kekangan waktu, busy berniaga selepas cuti panjang musim pkp. Balik je badan dah penat. Memang payah nak hadap benda-benda ni. Aku harap Kamal fahamlah situasi aku sebagai peniaga jalanan ni.

"Busy kat gerai ni la." Aku duduk. Kamal pun duduk dekat meja aku. "Tak nak order cendol ke?" Tanya aku lalu dia angguk.

"Kalau kau tak ada idea, meh aku cerita satu kisah ni." Kamal menawarkan diri untuk menceritakan aku satu kisah. Jika sebelum-sebelum ni memang aku yang galak meminta cerita. Mungkin dah lama aku tak bodek Kamal kut.

"Tunggu jap. Aku buatkan kau cendol dulu." Balasku sambil bangun dan buatkan dia cendol. Usai itu aku duduk semula sambil memberikan Kamal semangkuk cendol. 

Kamal kacau dalam mangkuk cendol dengan sudu. Disisipnya. Jelas tersungging kenikmatan pada wajahnya. Pekena cendol di waktu dinihari panas, lazat.

Aku pun apa lagi, minta dia ceritakan tentang apa yang dia nak sangat cerita tu. Bolehlah pembaca-pembaca aku ikutinya nanti.

"Begini Shid... Pada satu malam tu, selepas kenduri doa selamat naik rumah baru, satu famili ni kena usik." Katanya. Kamal memulakan ceritanya.

"Eh, lepas buat majlis kesyukuran pun ada benda halus ke?" Aku agak kehairanan. Biasalah kalau dah buat kenduri doa selamat ni, memang diminta dijauhkan segala benda-benda yang tak baik.

"Apasal pulak tak ada, kalau nak kata hebat, iblis pun hebat dalam mengaji kitab. Cuma mereka terpesong je tetapi tak mungkir janji dengan Tuhan. Berjanji akan terus menyesatkan anak cucu Adam sampai kiamat." Katanya. Aku angguk-angguk. Kemudian aku minta dia sambung

"Terus apa yang berlaku?"

"Pada malam tersebut... mereka nampak ada bayi sedang merangkak-rangkak, selepas tu hilang."

Glurp! Aku telan liur.

"Selepas tu ada pula bola tergolek-golek...kemudian hilang. Mereka dalam ketakutan, tapi buat tak tahu lagi dan beranggapan itu cuma khayalan. Tapi pada malam berikutnya, mereka terdengar pulak suara tangisan bayi. Dalam keluarga mereka mana ada bayi pun, itu yang jadi tanda tanya."

"Hantu bayi?" Soal aku. Kamal angguk-angguk.

"Ada malam tu pulak, si ibu ni termimpi tengah susukan bayi tu. Anaknya pula ada bermimpi bermain-main dengan bayi tersebut. Si ayah pula main cak-cak, seolah-olah ada ahli baru dalam keluarga mereka....

"Dalam suami isteri ini cuma ada dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Yang perempuan jadi histeria selepas tengok cermin ada budak bertengek atas bahunya." Aku semakin kusyuk dengar.

"Lama kelamaan mereka tak tahan dan pergi jumpa orang arif. Selepas tu mereka diberitahu oleh orang arif tu bahawa ada mayat bayi tertanam di tapak rumah itu." Beritahu Kamal. Aku tanyalah lepas tu apa jadi? Mereka jumpa tak mayat bayi tu?

Kamal kata tak jumpa. Mereka pun pindah tak duduk situ. Aku tanya lagi, kenapa orang yang arif tu tak mengesan lokasi bayi tu ditanam?


"Dah duduk bawah tapak rumah, nak kena korek rumah tu semua. Tak lain dan tak bukan ni kes pembuangan bayi." Balas Kamal mengiakan hal tersebut.

"Kasihannya..." Aku menggeleng. Kamal pun sambung minum cendol. Aku sedih, tergamaknya orang buang bayi. Tapi itulah, aku tak tahu kisah sebenar di sebalik pembuangan bayi tersebut. Hanya itu sahaja yang Kamal ceritakan.

Penulis: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Tapak Rumah Berhantu"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK