Berhenti Makan Di Gerai Bunian, Bukit Bauk


Kisah ini berlaku pada tahun 90an dulu ketika saya ikut bersama keluarga ke Terengganu dari Johor. Perjalanan yang begitu lama untuk sampai ke Pantai Timur. Berjam-jam lamanya dan beberapa kali juga berhenti rehat.

Bertolak waktu petang dan tiba ke malam. Ayah saya memandu dengan berhati-hati. Saya yang ketika itu masih kecil hanya berdiam diri sahaja di dalam kereta bersama adik.

Sesekali bergurau senda. Bila mengantuk, tertidur. Yalah, duduk dalam kereta memang bosan tak ada buat apa-apa. Lainlah budak-budak zaman sekarang boleh main gadjet.

Bila saya tersedar, kami dah masuk ke laluan berbukit. Ayah cakap situ Bukit Bauk. Jalannya memang turun naik, dan kiri kanan memang dengan hutan sahaja. Waktu itu pula sudah malam.

Kalau tak silap saya lebih kurang pukul 10 malam, begitulah. Ketika tiba di laluan itu, saya rasa seram sejuk, tak tahu kenapa. Tiba-tiba bulu roma saya merinding.

Adik saya pula seperti bimbang dan takut. Kawasan situ gelap, kelihatan seperti kereta kami sahaja yang berada di atas jalan raya. Adik saya peluk saya erat-erat. Saya dan adik yang duduk di belakang ni rasa tak sedap hati.

Selepas itu ayah buka tingkap, hisap rokok. Pada waktu itu bau rokok tiba-tiba sahaja tenggelam. Saya terhidu pula bau harum seperti bau bunga. Bunga melati begitulah.

Saya pun tegur ayah saya kata saya ada bau wangi selepas tu ayah kata mana bau apa-apa. Saya pun diam sahajalah, tapi bau tu masih terasa. Saya tanya adik, dia tak bau juga. Saya sahaja yang bau. Mak pun tak bau juga.

Tak lama selepas tu adik saya pun beritahulah dia lapar. Kemudian ayah kata depan tu ada gerai. Saya pun nampak cahaya yang terang benderang. Ramai pulak orang. Ayah pun berhenti di gerai tu.

Mereka datang jalan kaki ke?

Memang ramai pelanggan, tapi yang saya peliknya mana kenderaan lain? Mereka datang jalan kaki ke? Tapi kerana dah lapar, saya ketepikan pertanyaan-pertanyaan itu. Ayah dan emak pun pergi masuk dalam gerai tu.

Ayah cakap, pesan makanan sama supaya serentak sampai. Kalau order berlainan menu nanti jadi lambat. Maka kami bersepakat order mee goreng. Kemudian kami pun dengarlah sudip dan kuali berlaga-laga di dapur tu.

Tidak lama selepas itu pesanan kamu pun tiba. Pelayan pula baik, layan kami dengan ramah. Katanya kalau nak tambah lagi beritahu. Memang sungguh, mee gorengnya sangat sedap. Sampai licin kami makan.

Saya mula perasan, pelanggan di dalam gerai tu semua pandang kami. Saya beritahu ayah, mereka tengok kita, lepas tu ayah perhatikan mereka dan ayah berkata kepada saya, tak adalah, mereka buat hal mereka.

Saya pun peliklah, memang tadi mereka tengok ke arah kami serentak. Saya dah mula meremang bulu roma. Cara mereka tenung ke arah saya pun dah lain macam. Saya jadi takut.

Selepas selesai, ayah pun bayar sejumlah wang. Ayah cakap bakinya ambillah. Pelayan itu senyum sahaja. Dan ketika saya dan adik nak masuk dalam kereta, saya terhidu lagi bau harum.

Adik dah masuk dalam kereta, tinggal saya yang belum masuk. Saya rasa nak menoleh ke arah gerai itu. Saya pun pandang, alangkah terkejutnya, saya dapati muka mereka kosong tanpa wajah. Saya lekas masuk dan pekup muka saya dengan tangan.

Mak saya bertanya kenapa, tapi saya tak jawab sebab saya takut sangat. Ayah saya pun teruskan perjalanan seolah-olah macam tak ada rasa apa-apa. Saya pun tak cerita apa yang saya lihat.

Selepas sampai rumah pakcik saya, ayah saya pun beritahu yang kami semua dah siap makan. Pakcik saya tanya makan di mana? Lalu ayah beritahu makan di gerai di bukit sana. Pakcik saya pun tergurlah, Haish! Mana ada gerai dekat situ?

Ayah saya tetap mengatakan memang ada gerai. Esoknya ayah pun tunjuk lokasi gerai tersebut. Tapi bila tengok gerai tu memang tak ada. Yang ada cuma pokok asam jawa je, lepas tu ada duit ayah ada atas batu.

Ketika itu badan saya dah mula panas. Saya demam. Saya pun beritahu yang malam tu saya nampak mereka tak ada wajah. Pakcik memaklumkan gerai yang kami makan tu boleh jadi gerai bunian. Habis tu yang kami makan tu apa?

Cerita asal : Zamarul Sidek
Disunting oleh : Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Berhenti Makan Di Gerai Bunian, Bukit Bauk"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK