Wanita cantik bertukar hodoh ikut balik sampai rumah


Menjadi pemandu lori selama 10 tahun pastinya memberikan banyak pengalaman kepada Yusof termasuklah kisah seram. Apatah lagi memandu seorang diri pada waktu malam sememangnya mengundang pelbagai perasaan.

Namun, sudah menjadi kebiasaan bagi Yusof berhadapan dengan perkara-perkara tersebut. Walau bagaimanapun terdapat juga peristiwa yang tidak dapat dilupakan sehingga ke hari ini. 

Menurut Yusof, dia pernah ditumpang wanita berwajah cantik sampai ke kuburan. Sudah tentu ia sebenarnya banyak menimbulkan tanda tanya, namun bagi Yusof yang melaluinya sendiri lain pula tanggapannya.

Yusof gemar menggunakan jalan kampung berbanding lebuh raya supaya tidak cepat bosan kerana terdapat banyak permandangan yang dapat dilihat. 

Suasananya cukup berbeza. Tapi, apabila tiba di suatu kawasan, pasti terdapat gangguan yang terpaksa dia tempuhi termasuklah kehadiran jelmaan itu.

Katanya, seorang wanita yang berwajah cantik telah menahannya di tepi jalan dan ingin menumpang lori. "Saya pada waktu itu tanpa bersangka apa-apa terus tumpangkan dia."

Lalu setibanya di kawasan perkuburan, wanita itu meminta untuk diturunkan. Maka Yusof pun turunkan wanita tersebut di situ. 

Apa yang mengejutkan, dia dapati di belakang tengkuk wanita itu ada lubang. Wanita itu seperti sengaja menyelak rambutnya supaya Yusof melihatnya dengan jelas.

Sepanjang wanita itu berada di dalam lori, ia langsung tidak berkutik, malah itu tidak bercakap apa-apa. Apatah lagi untuk bersembang dengannya. Apabila Yusof bertanya, sepatah apa pun tidak dijawab, melainkan dengan senyuman.

Sebaik sahaja dia turun dari lori, wanita itu terus mengilai kuat dan berubah hodoh kemudian terbang masuk ke kawasan perkuburan itu.

"Saya ketakutan dan terus memecut laju lori saya meninggalkan kawasan tersebut. Saya pun hairan, selalunya apa yang orang kata langsuir akan hisap darah, tapi mujurlah darah saya tak kena hisap," katanya sambil berseloroh.

"Cuma itulah, saya ingatkan peristiwa itu berakhir setakat di situ sahaja. Rupa-rupanya langsuir itu sebenarnya ikut saya sampai ke rumah." katanya.

Sambungnya lagi, "Anak dan isteri saya habis diganggunya sehingga nak tidur malam pun susah. Bunyi hilai tawanya kuat. Malah jiran-jiran juga terkejut mendengar suara itu."

Menurut Yusof, langsuir itu berkeliaran di kampungnya malah ada jiran terserampak langsuir bertengek dibumbung rumahnya. Rupanya sungguh mengerikan.

Tidak tahan dengan keadaan tersebut, maka Yusof terpaksa memanggil orang pandai untuk menangkap langsuir tersebut. Alhamdulillah, langsuir tersebut berjaya ditangkap.

Selain dengan gangguan langsuir, Yusof juga pernah berhenti membeli makanan di gerai yang berjualan kuih muih dan makanan gorengan. 

Pada waktu itu belum waktu tengah malam, gerai makanan pun banyak di buka, tapi ada satu gerai ni menarik perhatian untuk Yusof berhenti membeli.

Tanpa banyak cerita, dia pun membeli dua bungkus mi goreng tersebut. Kemudian dia membayarnya dan dipulangkan baki. Dia masukkan wang baki itu ke dalam saku bajunya.

Seterusnya dia pun masuk ke dalam lori dan makan sambil memandu. Sambil-sambil makan tu, dia pun tiba ke pam minyak.

"Saya berhenti di stesen minyak sebab saya nak berhenti buang air. Sebelum keluar dari lori, saya seluk saku untuk simpan wang dalam dompet, selepas itu saya rasa pelik,"

Yusof terkejut apabila mendapati apa yang ada dalam saku bajunya itu bukan duit, tapi cuma daun kering. Dia pun rasa aneh, terus dia tengok mi goreng yang berbaki sebungkus lagi itu. 

Seperti yang dicurigainya, mesti ada yang pelik, rupa-rupanya bungkusan itu bukan mi tapi tanah liat bercampur ulat dan cacing.

"Saya berasa loya dan terus termuntah sebab saya tahu bungkusan pertama yang saya makan tadi tu adalah benda tu. Seperti yang saya duga, saya memuntahkan apa yang dimakan. Siap bergerak-gerak lagi cacing tu." Ujarnya.

Yusof tidak berpuas hati dan dia pergi ke lokasi berkenaan pada siang hari selepas siap penghataran dibuat dan mendapati tempat yang dia berhenti membeli itu adalah kawasan perkuburan.

Dia kemudiannya bertanya kepada penduduk di situ berkenaan gerai berkenaan dan menceritakan misteri yang dilaluinya. Lantas Yusof dimaklumkan bahawa bukan dirinya orang pertama yang terkena, malah sudah ramai yang pernah menjadi mangsa terutama pada waktu malam.

Cerita asal : Yusof Osman
Ditulis oleh: Rashid Salim

Sertai FB Group: Seram Rashid
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Wanita cantik bertukar hodoh ikut balik sampai rumah"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK