Saya nak tangkap gambar babi hutan tapi 'benda' lain yang muncul


Kes babi hutan selongkar tong sampah cukup menyakitkan hati para penduduk setempat. Mana tidaknya, apabila tiba sahaja waktu siang, dilihat tempat pembuangan sampah itu berteraburan sisa-sisa sampah.

Penduduk sering melihat haiwan berkenaan berada di situ bagi mencari sisa-sisa makanan, kemudian haiwan ini menyondol tong tersebut sehingga tumbang.

Mereka juga hairan, mutakhir ini terlalu banyak babi berkeliaran seolah-olah tidak takut kepada manusia lagi. Berbanding dahulu binatang ini sukar untuk dilihat, kini di mana-mana sahaja mudah ditemui walaupun di siang hari.

Menurut Syazwan (bukan nama sebenar), dia pernah terserempak haiwan berkenaan dalam jumlah yang agak ramai berkerumun di situ. "Satu famili lepak dekat tong sampah berkenduri makan sambil buat sepah, geram betul saya," ujarnya berseloroh.

Namun begitu dia pun menyampaikan satu kisah seram dan misteri pernah berlaku ke atas dirinya di mana pada suatu malam dia seorang diri keluar untuk pergi membuang sampah.

Tempat itu tidak berapa jauh dari rumahnya. Ia berada berdekatan dengan sebuah jambatan. Cuma sekitar kawasan tersebut agak semak samun.

Setibanya di situ, dia mendapati ada seekor babi sedang menyondol tong. Syazwan agak takut untuk mendekatinya memandangkan saiz haiwan berkenaan luar biasa besarnya.

Belum pernah dia tengok sebelum ini. Kalau ada pun saiz yang biasa sahaja. Tapi ini agak berlainan dan nampak macam ada taring. Hasratnya untuk membuang sampah terbantut seketika.

"Di bawah sinar lampu jalan, saya nampak jelas babi hutan tu, sangat besar dan saya dengar suaranya mengeruh kasar," katanya.

Syazwan memaklumkan bahawa ketika itu dia pun memberhentikan motosikalnya lalu mengeluarkan telefon bimbitnya untuk mengambil gambar babi itu. Babi itu berhenti bergerak dan merenung ke arahnya.

"Ketika itu saya agak gementar, bimbang kalau-kalau babi itu tiba-tiba mengejar saya. Saya sengaja ambil gambarnya sebab nak share dengan orang," katanya.

Kemudian Syazwan pun mengambil foto tersebut. Lalu dia pun ingin melihatnya semula, tiba-tiba dalam gambar berkenaan babi itu tidak ada seolah-olah tidak wujud. Yang ada cuma tong-tong sampah sahaja.

"Saya rasa sangat pelik, lalu saya perhati ke arah tempat tong sampah tu, babi yang saya lihat tadi sudah tidak ada sedangkan saya dah rakam gambarnya."

Takut dengan keadaan itu, dia terpaksa campakkan bungkusan sampah yang dibawanya ke pinggir jalan kerana dia terdengar suara babi mengeruh di belakangnya.

"Berderau darah saya, kecut kepala saya ni sebab bulu roma saya merinding tiba-tiba. Nasib baiklah motosikal saya tak ada masalah untuk dihidupkan enjin. Saya pecut balik rumah." Syazwan pun memberitahu rakan serumahnya tentang apa yang dialuinya.

Dia pun menceritakan kepada rakannya dan menunjukkan foto yang dirakamkan. Tiba-tiba Amirul, rakan serumah Syazwan zoom foto itu lalu memberitahu, ada sesuatu yang aneh di dalam gambar tersebut.


Syazwan mulanya tidak percaya, dia pun melihatnya sendiri dan kelihatan ada sesuatu seperti tangan hantu berdekatan tong sampah itu. Patutlah dia rasa aura lain macam ketika berada di situ.

Tidak disangka-sangka bahawa dia terkena usikan jelmaan babi di tong sampah pada malam tersebut. Kini, bila nampak binatang itu, Syazwan agak trauma kerana terbayangkan apa yang pernah dilihatnya.

Dia cuma nak tangkap gambar haiwan berkenaan tetapi benda lain pula yang menjelma. Sejak dari kejadian itu, dia hanya pergi membuang sampah pada siang hari sahaja.

Cerita asal: Syazwan
Ditulis oleh: Rashid Salim

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Saya nak tangkap gambar babi hutan tapi 'benda' lain yang muncul"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK