Sihir dan saka ada perbezaannya


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca blog rashidsalim.com ya. Diharapkan kita semua berada dalam lindungan Allah Azza Wa Jalla. Aamiin.

Baiklah, kali ini saya ingin sampaikan kepada anda tentang "Perbezaan antara saka dan sihir." Memandangkan terdapat masyarakat kita khususnya "Orang Melayu" masih kurang memahami beza antara keduanya.

Izinkan saya menjelaskannya secara ringkas berkenaan apa itu sihir dan apa itu saka supaya antara kita tidak terkeliru dan dapat memahaminya. Semoga perkongsian ini mendapat sedikit manfaat, Insya-Allah.

Sihir

Sihir adalah gangguan jin yang dihantar oleh seseorang kepada seseorang yang lain dengan tujuan jahat untuk menyakiti orang yang dituju itu.

Jin-jin ini menjadi suruhan ahli sihir untuk memasuki tubuh manusia bagi mengganggu mangsa dengan mempengaruhi pemikiran dan emosi serta menyakiti tubuh badan mangsa.

Sihir merupakan suatu ilmu yang tertua sekali wujud di atas muka bumi ini. Ilmu sihir ini telah berleluasa sejak zaman-zaman nabi lagi dan Allah swt berfirman banyak kali di dalam kitab suci Al-Quran Nur Karim mengenai sihir.

Bagi negara barat pula sihir dikenali dengan nama black magic, voodoo, spritual illness dan sebagainya. Manakala sihir di kalangan orang Melayu juga ada banyak jenis, di antaranya ilmu hitam, pelalau, santau, busung, sihir pengasih, sihir pemisah dan lain-lain.

Saka

Saka adalah jin yang diwarisi dari seseorang ke seseorang yang lain melalui keturunan. Sekiranya nenek moyangnya ada memelihara saka melalui ilmu-ilmu tertentu, maka apabila ia meninggal, saka ini akan mendampingi pula anak cucu cicitnya.

Contoh ilmu-ilmu yang dimiliki:
  • Kebal
  • Cantik / Susuk
  • Penunduk / Pengasih
Ilmu kebal biasanya adalah untuk melindungi diri, kecantikan pula adalah untuk menampakkan diri lebih unggul dan menaikan aura diri. Namun, tidak hanya wanita, ada juga lelaki yang memakai susuk.

Pengasih pula adalah ilmu menunduk pasangan atau seseorang yang lain atau juga untuk meningkatkan karisma diri. Ilmu-ilmu yang digunakan ini adalah bertitik tolak dengan bantuan jin yang berkhidmat.

Terdapat banyak lagi ilmu yang dimanfaatkan dengan penggunaan khidmat jin-jin ini. Di antaranya adalah dalam ilmu pukau yang memukau mangsa untuk menuruti segala arahan atau perintah. Si mangsa tidak sedar akan kelakuannya.

Selain itu, untuk kesaktian atau juga untuk perawatan. Ia tergolong di dalam tujuan perubatan yang sering dilakukan oleh bomoh, pawang atau dukun yang ada di antaranya turut menggunakan khidmat jin (makhluk halus lain) melalui mantra-mantra khusus.

Pengamal-pengamal ilmu ini atau yang membela jin dianggap telah memiliki saka yang akan diperturunkan kepada anak cucu cicitnya selepas kematiaannya. Jin-jin ini akan mendampingi keluarga itu walaupun kadang-kadang tanpa disedari.

Sifat jin

Jin ini sifatnya sangat patuh dan taat pada tuanya. Sampai bila-bila pun ia tetap inginkan nasab keturunan dari tuannya itu walaupun dari beberapa generasi selagi tidak dibuang.

Bila dah mentrai segala perjanjian dengan jin dan syaitan ni, memang kena ikut segala apa syarat-syaratnya. Kalau langgar, adalah akibatnya.

Jin ni memang patuh dengan segala arahan tuan dia kerana si tuannya tak pernah abaikan dia. Cukup segala apa keperluannya. Di jaga baik, maka dibalas dengan kesetiaan dan tidak memberontak.

Cerita tentang kesetiaannya jin ini berlaku dari kisah Nabi Sulaiman A.S. Walaupun baginda telah wafat, namun jin-jin di bawah kelolaan baginda terus setia dan masih lagi menjalankan tugas-tugas yang diberikan kepada mereka.

Begitu juga dengan jin belaan nenek moyang, meskipun nenek moyang telah meninggal dunia, jin-jin ini tetap mahu berkhidmat dan akan memilih anak cucu pula sebagai tuan mereka.

Keistimewaan jin

Jin diberikan keupayaan oleh Allah Azza Wa Jalla untuk mengecil dan mereka boleh masuk ke dalam tubuh badan manusia melalui tiub-tiub saluran darah (artery dan vein). Mereka boleh hidup di dalamnya selama bertahun-tahun.

Otak (brain) dan tulang belakang (spine) adalah menjadi tempat utama bagi jin untuk tinggal di dalam tubuh manusia. Ini adalah kerana otak merupakan organ (CPU) yang mengawal segala pergerakan, pemikiran, emosi dan sistem metabolisma manusia.

Apabila jin sudah berada di situ, maka mudah baginya untuk mengawal segala saraf dan emosi seseorang manusia. Begitu juga dengan tulang belakang yang menjadi kekuatan kepada pergerakan manusia yang boleh dilumpuhkan.

Simpton-simpton terkena sihir atau saka

Bila jin-jin ini sudah berada dalam otak atau di tulang belakang, maka jin-jin ini akan menguasai segala urat saraf, pemikiran, emosi dan juga pergerakan seseorang itu. Sebab itu pesakit sihir atau saka mendapat simpton seperti berikut:
  • Bermimpi yang pelik (mimpi haiwan berbisa seperti ular, mimpi menyusukan anak, mimpi jatuh dari tempat yang tinggi)
  • Mengalami kesukaran untuk tidur
  • Berasa ingin dan suka bersendirian
  • Mudah dan cepat marah atau melenting
  • Hilang kawalan deria, berbau busuk tanpa sebab
  • Halusinasi (nampak kelibat atau dengar suara)
  • Bayi menangis tiba-tiba tanpa sebab
  • Suami dan isteri hilang nafsu atau bertahun-tahun tidak boleh bersama atau isteri rasa sakit bila bersama
  • Sukar untuk mendapat zuriat,
  • Isteri yang keguguran tanpa sebab
  • Sakit-sakit seluruh badan
  • Tekanan darah yang tidak terkawal
  • Sakit di bahagian pinggang, kepala, tengkuk dan sendi-sendi
  • Badan rasa panas dan seolah-olah ada benda atau sesuatu yang bergerak dalam saluran darah
  • jantung berdebar-debar dan sesak nafas
  • Hilang keyakinan diri
  • Kerasukan
  • Selalu gelisah dan bimbang (high anxiety), perasaan takut atau sedih tanpa sebab
  • Was-was, syak wasangka yang tidak masuk akal atau keterlaluan
  • Jin dan iblis ini akan terus berada di dalam badan pesakit sehingga matlamat atau tujuannya tercapai. Maka inilah yang disebutkan gangguan sihir dan saka.
Ada yang menerima gangguan daripada perbuatan sihir, ada juga yang gangguan daripada saka keturunannya sendiri kerana mungkin dirinya tidak pernah tahu memiliki saka tersebut.

Selain itu, wujud juga dari gangguan-gangguan jin yang tidak dihantar dari orang lain. Gangguan-gangguan daripada jin yang hadir, contohnya Jin Asyik.

Perubatan moden dan perubatan Islam

Permainan jin dan iblis zaman ini memang sukar untuk dibuktikan kerana kewujudan mereka tidak dapat dikesan dengan keadah perawatan moden seperti X-Ray, CT scan, Pet scan, MRI dan sebagainya. Tanda-tanda 'mereka' berada di dalam otak tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Semua yang berlaku mesti ada logik akalnya (evidence based) untuk dipercayai, jadi kehadiran si penderita sakit akibat gangguan-gangguan ini tidak dapat dibuktikan dengan rawatan moden kerana apabila dirujuk pada pihak berkenaan, tiada menghidap apa-apa sakit.

Namun, simpton-simpton yang berlaku juga ada persamaan dengan penyakit medikal, akan tetapi hal ini turut menimbulkan kekeliruan pakar-pakar perubatan kerana apa yang terjadi ada kalanya sukar untuk dibuktikan.

Walau bagaimanapun, rujukan perlu dilakukan kedua-dua bagi mendapatkan maklum balas yang sewajarnya. Sekiranya benar terdapat gangguan daripada makhluk-makhluk halus, maka kembalilah kepada Al-Quran. Kerana kalam Allah memiliki mukjizat serta penawar segala penyakit dan kuasa penyembuhan adalah dari Allah SWT.

Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Sihir dan saka ada perbezaannya"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK