Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Diharapkan kepada semua pembaca blog cerita seram rashidsalim.com sentiasa dalam keadaan baik belaka.

Pelbagai perkongsian cerita yang disajikan, bermacam kisah dipaparkan, dan kali ini cerita seorang bernama Nazli (bukan nama sebenar) yang ingin menjadi Youtuber seram terkenal dan terpopular disampaikan.

Menurutnya, dia tak percaya hantu, tetapi ia ingin memburu hantu, dan cuba explore tempat berhantu untuk dijadikan konten channelnya. Tapi, adakah beliau benar-benar berjaya di dalam bidang ini? atau harapan hanya tinggal harapan? 

Sama-sama kita layan pengalaman misteri yang dilalui beliau dalam mencipta konten pertamanya dan sekaligus menerpa pengalaman yang sukar dilupakan.

Membina Channel Youtube Seram

Saya ni bukan pandai sangat nak buat video apatah lagi untuk muat naik ke saluran youtube. Tapi saya belajar sikit-sikit melalui tutorial di intenet bagaimana menggunakan sesuatu aplikasi itu menggunakan telefon pintar sahaja.

Kemudian ternampaklah iklan di Youtube tentang cara-cara nak jadi Youtuber. Kena beli Ebook, jadi minat punya pasal saya pun belilah ebook tersebut. Belajar dari situ.

Selepas mengikuti langkah demi langkah, tapi saya cuma bermasalah dari segi konten. Masa itu saya terfikir-fikir juga nak buat konten apa untuk saluran Youtube saya? Macam mana nak tarik minat orang tengok? Siapa sasaran saya?

Kemudian waktu melayari youtube channel orang lain, ternampak konten orang lain tentang video-video seram. Saya tengok sambil baca komen-komen dekat bawah video tu. Ia menjadi inspirasi.

Saya kata, ini kalau aku bikin video macam ni pun boleh tahan jugak ni, orang mesti nak tengok. Pada malam itu saya gelak sendirilah sebab hanya video hantu bodoh-bodoh sahaja ramai orang tengok.

Saya terfikir juga, video tu tak adalah seram mana, tapi view tinggi. Ini yang membuatkan saya rasa tercabar nak ingin buat seperti itu juga untuk saluran saya nanti.

Nak kata saya ni percaya hantu... tak kut, sebab saya nak buat video tu semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan kongsikan dengan orang. Semata-mata hiburan.

Lagipun orang cakap jadi Youtuber ni boleh jadi pendapatan. Sebab tu nak cuba nasib, mana tahu ada rezeki. Itulah yang saya fikirkan ketika itu. Maklumlah, nak cari side income sambil cipta hobi baru.

$ads={1}

Kemudian nak dijadikan cerita, pada suatu malam tu, saya cubalah tiru scene-scene yang macam video yang saya tengok cuma untuk versi saya sendiri.

Kiranya untuk video pertama saya itu saya nak ia ada kelainan. Bila orang tengok, orang percaya yang tu hantu. Buat ala-ala kebetulan. Orang kita ni mudah percaya kalau benda-benda fake. Itu yang saya cuba lakukan.

Dekat kubur tu ada pondok, di tepinya pula terdapat pohon jambu laut. Jadi saya bawalah dua batang lilin. Dalam video tu saya buatlah rakaman. Sambil-sambil tu saya bercakap depan kamera.

Saya berkata bahawa saya akan bakar lilin tu dan letak berhamiran pohon itu di atas batu. Sambil-sambil saya akan provoke kalau-kalau ada hantu kubur ke mana-mana ke untuk hadirkan diri.

Kalau lilin tu terpelanting, memang benda tu adalah dekat dengan saya. Saya buat begini semata-mata untuk konten saya. Ketika itu sedikit perasaan takut pun tak wujud. Hati mahu kering.

Suara cengkerik semakin nyaring. Sesekali suara unggas menyapa. Itu semua saya tak hiraukan. Masa semakin berlalu. Lensa kamera saya letakkan di posisi menghadap lilin yang nyalakan di atas batu. Saya suluh dengan lampu.

Saya pun seru dan provoke roh atau apa sahaja untuk hadir! Kalau kau ada, muncul!!! saya berkata begitu dan saya tambah lagi, kau ni penakut la!!! Saya cuba cabar.

Kemudian tiba-tiba salah satu lilin terpelanting manakala yang satu lagi masih menyala. Saya pun cepat-cepat pergi ke arah lilin itu dah intai-intai kut ada benda tarik atau binatang ke yang rentap. Saya pamerkan wajah yang agak cemas sedikit.

Saya tengok tak ada sesiapa. Selepas itu, di belakang kamera, saya tarik perlahan-lahan tali halus yang saya gunakan untuk merentap lilin tadi. Semua itu saya buat fake supaya nampak macam betul.

Biasalah belajar dari orang fake, saya pun cuba buat fake jugak. Selepas tu saya pergi ke arah lilin yang satu lagi untuk mengambilnya. Masa tu la ada orang tegur saya secara tiba-tiba.

Dia tanya saya, buat apa dekat sini? Turun nombor ekor ke? tanya dia. Seorang lelaki berkumis tebal dan matanya tertutup sebelah, dia berdiri betul-betul depan saya. Entah bila dia datang saya pun tak perasan. Kemungkinan dia mencurigai saya agaknya kerana berada di sini.

Saya pun meminta maaf cepat-cepat kat abang tu sebab saya main redah saja masuk kawasan kubur ni tanpa minta izin terlebih dahulu untu membuat konten. Lepas tu dia terus membebel dan berpesan supaya jangan buat macam tu lagi, katanya tak baik.

Selepas tu saya ambil kamera saya tu, sekali lagi saya minta maaf. Dia hanya menggeleng sahaja. Mungkin kesal dengan perbuatan saya. Dia menasihati saya tak perlulah nak menipu orang memanipulasikan dunia-dunia mistik ni.

Insaf sekejap saya. Betul juga apa dia cakap. Dia kata kalau benda tu nak datang, ia boleh datang... semuanya dengan Izin Allah... tak semestinya semua benda akan terakam dengan kamera. Itu katanya.

Betul juga apa yang dia kata tu. Terpaksa saya tahan telinga kena tazkirah dengan abang yang saya fikir di adalah penjaga kubur ni. Iyalah salah saya juga.

Tertinggal sesuatu

Konon nak jadi youtuber, tapi tu la... saya cuma sekadar nak buat konten hiburan sahaja. Tak apalah, dah orang tak faham, apa boleh buat. Saya pun minta diri nak balik. Jam pun dah dekat pukul 1 pagi. Ketika saya dalam kereta perjalanan balik tu...

Allah! Saya cari-cari, mana pulak telefon saya ni? Alamak! Saya rasa tertinggal di pondok tu sudah... memang sah saya tertinggal di situ. Saya pun u-turn kembali semula ke tanah perkuburan.

Masa aku sampai tu, bau busuk sangat. Tapi saya tak tegurlah. Saya diamkan sahaja. Lalu saya pun berjalan ke arah pondok dan ternampaklah telefon bimbit saya di situ.

Di saat saya nak ambil tu, Allahu`Akbar! Besarnya! Berbulu, hitam! terperanjat saya. Duduk atas pokok jambu dengan matanya merah menyala. Saya pun cepat-cepat capai telefon dan blah dari situ.

Baru saya tahu rasa seriau tu macam mana. Berat jugak langkah kaki ini tapi mulut ini tetap laser jugak. Saya pun berkata, jangan kau nak ikut aku!!! Tapi kepala saya sebenarnya dah kecut.

Sekali lagi saya toleh ke belakang, benda tu dah tak ada. Saya masuk dalam kereta, bau busuk tu masih terasa. Saya pun baca ayat untuk pendinding diri agar tidak diganggu.

Sebelum ini saya dengar pesan-pesan orang. Kalau ada berlaku hal yang pelik-pelik, jangan terus balik ke rumah. Jadi saya ambil kisah juga dengan nasihat itu. Jadi saya berhenti dahulu 7eleven. Saya pun masuk. 

Bila saya masuk, sensor locengnya berbunyi, ketika itu pekerja pun datang ke kaunter. Tengah-tengah malam ni tak ramai pelanggan. Waktu saya melangkah ke depan, loceng berbunyi lagi sekali macam ada orang masuk.

Muka staff bernama Fadhil tu perati dah berasa pelik tengok saya. Kalau dia rasa pelik, saya lagilah rasa pelik, risau semacam saja sebab dah saya yang kena di kubur tadi. Ah tak apalah. Loceng rosaklah tu.

Lepas saya dapatkan minuman, saya pun buat pembayaran. Waktu keluar pun loceng tu pun bunyi dua kali. Saya duduk-duduk sekejap dekat luar sambil minum. Tapi entah kenaplah jantung saya dup dap dup dap semacam?

Saya tak tahu kenapa ia jadi berdebar-debar. Selalunya tak macam tu. Saya tak akan fikir hal yang bukan-bukan. Akan tetapi kejadian yang saya lihat tadi amat-amat menyeramkan saya.

Selama ini saya tak pernah lihat di hadapan mata saya makhluk itu. Biasanya saya boleh je layan cerita-cerita seram tengok benda-benda gerun di internet di filem-filem. Tapi ini dunia mistik yang saya alami sendiri.

Saya cuba tepis. Saya cuba kawal perasaan. Mungkin itu cuma mainan perasaan saya sahaja. Dan mungkin betul pesan abang di kubur itu, saya tak boleh mempermainkan alam mereka. Cara saya itu seolah-olah mempersendakan mereka.

Selepas habis minum, saya pun masuk dalam kereta. Saya fikir semua kembali sediakala. Saya dah boleh balik. Saya harap semuanya baik-baik sahaja.

Setibanya di rumah, saya parkir kereta. Gedegang! Saya terdengar sesuatu di atas bumbung kereta saya. Ah sudah! Bunyi apa tu? Macam ada sesuatu sedang berada di atasnya. Saya dah mula cuak nak keluar.

Ah! Saya pun beranikan diri meskipun bulu roma tiba-tiba merinding. Cepat-cepat saya tengok atas bumbung. Laju je seekor kucing hitam melompat turun dan lari dari situ. Kus semangat! Kucing rupanya.

Tapi... sekali lagi kecut kepala saya bila fikirkan balik kenapa hentamannya kuat sangat? Kucingnya tak adalah besar mana. Tetapi bunyi yang terhasil cukup kuat. Terkejut saya jadinya. Erm, tak apalah, saya tarik nafas dalam-dalam.

Selepas beri salam, saya pun masuk dalam rumah. Sambil-sambil tu hela nafas lega lagi. Saya letak kamera DSLR atas rak kemudian saya tanggalkan jaket, terus sangkut di belakang pintu bilik.

Saya capai tuala, saya perlu mandi sebab badan dah melekit. Waktu saya nak capai tuala mandi, tiba-tiba saya terdengar  pintu rumah kena ketuk beberapa kali. Saya dah syak bukan-bukan.

Memang saya dengar ketukan pintu tu. Ia sangat jelas. Lepas tu diam. Saya rasa mungkin perasaan saya kut. Saya abaikan dan segera ke kamar mandi.

Ketika saya sedang mandi, saya terdengar seperti ada orang berdehem di luar rumah saya tu di bahagian kamar mandi. Pada ketika itu serta merta tanda aura seram tu datang. Bulu tengkuk saya naik.

Saya tinggal sendiri di rumah. Rakan serumah saya pula kebetulan malam ni balik kampung. Saya tak fikir yang berdehem tu dia. Mana mungkin dia yang ada. Lagipun dia nak buat apa di luar rumah.

Saya buat selamba, cuba buat tak tahu. Saya pun masuk dalam bilik pakai baju apa semua kemudian saya  pun duduk di birai katil, saya capai kamera saya tu. Saja nak tengok-tengok video tadi.

Rasa macam tak sabar nak tunggu hari esok sebab nak sunting video itu untuk membuat konten pertama youtube walaupun perasaan serba salah bertandang. Rasa tak mengantuk pula. Saya pun buka laptop di meja.

Saya hubungkan kamera dengan laptop untuk pindahkan data. Saya play video itu pada laptop sebab imej lebih besar. Saya boleh tengok lebih jelas. Nak zoom pun senang.

Sampai bahagian lilin tu, saya perhatikan betul-betul ia memang real. Memang menjadilah apa yang saya buat tu. Tak nampak macam fake pun. Tapi...

Bila tiba di bahagian saya berbual tu... sebenarnya saya berbual dengan siapa? Tak nampak pun abang kumis tebal mata terkatup sebelah tu. Imejnya tak terakam kamera pun yang sepatutnya dia ada di dalam tu. Invisible!

Selepas itu terngiang-ngiang suara abang tersebut di telinga saya seperti apa yang dia katakan di tanah perkuburan itu...
Kalau benda tu nak datang, ia boleh datang... semuanya dengan Izin Allah... tak semestinya semua benda akan terakam dengan kamera.

Ketika saya nak tanggalkan wayar USB kamera tu, tidak semena-mena saya rasa keadaan seram sejuk. Saya rasa aura tak baik ada sangat dekat. Saya dah mula gelisah. 

Entah kenapa perasaan gementar mula muncul. Sepatutnya saya lebih berani. Kali ini bau yang saya hidu di tanah perkuburan itu terhidu di dalam ruang bilik saya.

Baca: Terhidu bau aneh dan pelik antara 10 tanda kehadiran makhluk ghaib

Apa lagi yang tak kena? Saya dah berhenti di kedai, saya juga dah pun mandi bersihkan diri? Saya tertanya-tanya sendiri dengan perasaan yang tidak tenang sama sekali.

Bau itu menusuk rongga. Ya Allah! Saya sangat tak tahan. Apa yang perlu saya buat? Saya gelisah bangun dari duduk. Ketika saya pusingkan badan, saya terlihat ke dalam cermin. Ada lembaga hitam dekat pintu bilik saya.

Saya menoleh lalu lalu kaku saya jadinya. Terkelu lidah. Tak sangka dia boleh masuk macam tu je dalam rumah saya. Saya dah takut, kerana dia tak henti-henti ganggu saya.

Matanya merah, dia buka mulut nampak taring. Dia berbulut lebat, berwajah seperti seekor beruk. Berbadan besar, kepalanya tinggi dari pintu bilik saya.

Air liurnya menitik-nitik seperti kelaparan. Saya tarik nafas sedalam-dalamnya meskipun dada saya berombak kencang. Saya kawal perasaan. Lama dia berdiri merenung saya.

Meremang seluruh tubuh saya. Saya cuba sedaya upaya untuk bercakap, saya cuba menjadi berani. Malangnya terkelu seolah-olah dia sedang memanipulasikan pergerakan saya.

Saraf-saraf saya seperti mati. Seluruh tubuh saya kejang. Allahu`Akbar, saya baca ayat pendinding diri. Saya baca ayatul qursi.

Tiba-tiba bilik saya berpusing-pusing dan akhirnya seluruhnya jadi gelap gelita. Bila saya sedar, saya ada di hospital. Kawan serumah saya balik dan nampak saya pengsan dalam bilik. Dia pun call ambulans.

$ads={2}

Sehingga di hospital pun saya masih ternampak-nampak benda tu. Saya pun memberitahu kepada kawan saya tentang apa yang terjadi sebenarnya. lantas dia menyarankan saya agar berjumpa dengan orang yang lebih arif.

Jadi saya buat keputusan untuk jumpa selepas keluar dari hospital. Selepas pertemuan dibuat, akhirnya dipesan pada saya, yang kacau saya tu adalah hantu raya. Katanya saya telah ganggu tempatnya.

Ustaz tu pesan lagi, kalau ilmu tak cukup di dada jangan nak cakap besar. Tu dia, kena sebijik saya. Saya ingat dengan cakap berani-berani benda tu akan takut. Rupanya benda tu akan terus menguji.

Baca: Kisah seram jadi kelindan lori

Berkenaan video tu, saya tak post di Youtube, risau kut kena kecam kerana buat konten merapu bercakap sendirian walaupun hakikatnya saya bercakap dengan jelmaan hantu raya.

Bila dah delete video tersebut, benda tu pun tak kacau lagi. Alhamdulillah.... jadi saya fikir buat apalah sibuk-sibuk nak pergi kacau dunia hantu sedangkan manusia pun dah ramai berperangai macam hantu, tak cakap orang lain, cakap saya sendiri sebab cuba-cuba buat konten Youtube menipu... 

Sekian.

Cerita asal: Nazli
Ditulis oleh: Rashid Salim
Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditinggalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan berhemah serta ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni.

Kirim Komen

Terbaru Lebih lama