Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kita berjumpa lagi dalam kisah seram. Kali ini sama-sama kita layan sebuah kisah misteri dari seorang cikgu bernama Aziz. Menurutnya kisah ni berlaku seawal pembukaan Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2) dan ia masih segar di dalam ingatannya.

Jom sama-sama kita menelusuri kisah ini....

Berita Kematian

Saya pernah melalui pengalaman seram sewaktu pulang ke kampung. Pada suatu hari tu, saya mendapat berita tentang kematian pak cik saya di kampung. Saya amat-amatlah terkejut.

Jadi, saya mengambil keputusan untuk segera pulang pada malam itu juga. Pak cik saya tu akrab dengan saya. Saya begitu terasa akan kehilangan dia tambah pula selepas ketiadaan ayah dan ibu, pak cik sayalah tempat saya mengadu nasib.

Pada malam tersebut, rakan serumah saya ingin ikut sekali. Saya pun bersetuju mengajaknya boleh jadikan teman. Katanya risaukan akan keadaan saya. Sebab bimbang kut saya stress ke apa ke.

Mak cik saya call beritahu, pak cik saya tu meninggal waktu Maghrib, jatuh dalam bilik air. Habis umur. Saya terkejut. Oleh itu saya mengambil keputusan untuk pulang ke Terengganu.

Saya dengan Taufik pun bertolak dengan kereta. Saya tiba di tol Gombak kira-kira 9:00 malam. Taufik yang di sebelah beritahu saya, kalau saya raya tertekan, biar dia sahaja yang memandu.

Saya jawab, tak apalah, saya boleh bawa kereta. Saya faham dia cuma risau sahaja. Mungkin dia takut saya terbawa-bawa emosi ketika memandu. Kadang perasaan sedih tu muncul, tapi nak buat macam mana, orang dah tak ada.

$ads={1}

Jalan raya tak adalah lengang ketika melepas tol Gombak. Tetapi selepas melewati Bentong, kenderaan pun semakin kurang. Entah macam mana saya jadi mengantuk sangat tak tahu kenapa. Cuma saya masih dapat mengawalnya.

Saya pun ajak borak-borak dengan Taufik untuk hilangkan rasa mengantuk. Kadang Taufik pun sengaja tanya saya kisah-kisah saya masih kecil dulu apakah hal yang melucukan. Saya tahu dia saja nak pancing saya flashback kenangan yang indah.

Okaylah, saya borak dengan dia pasal topik tu. Selepas itu tukar-tukar cerita lain pulak. Sehingga sampai ke Temerloh. Rasa nak buang air kecil. Jadi saya pun dengan dia turun dari kereta berhenti di R&R Temerloh itu.

Suara menegur

Ramai je orang berhenti rehat di situ, dan masa itulah ketika saya buang air, tiba-tiba saya dengar suara orang menyebut nama saya, Aziz! Di luar pintu tandas tu. saya fikir Taufik dah siap agaknya. Tapi suaranya garau semacam. Manakala suara sebenar Taufik tak adalah macam tu.

Saya abaikan sahaja. Mungkin Taufik buat-buat kut nak bagi isyarat dia dah selesai. Selepas saya keluar dari bilik air tu, saya pun nampaklah orang yang kencing kat mangkuk tandas yang jenis orang kencing berdiri kat luar tu. Saya nampak dia berpakaian lusuh buruk.

Saya fikir barang kali orang kurang siuman, melihat dari keadaan compang comping pemakaiannya. Rambut pula kusut masai dari belakang. Saya tak nampak wajahnya. Saya tak fikir apa-apa pun sebab ada je orang lain dalam tandas tu macam buat tak kisah je akan orang gila tersebut.

Selepas saya kembali ke arah kereta saya nampak Taufik dah ada dalam kereta sebelah tempat duduk pemandu tu. Diam sahaja. Saya pun terus masuk meneruskan pemanduan.

$ads={2}

Saya tanya Taufik, nampak tak orang gila dalam tandas, dia diam tak jawab apa-apa. Eh? Saya tanya lagi kenapa dia diam je? Dia pun tak jawab. Taufik ni dah kenapa? 

Selepas itu dia pun menoleh ke arah luar tingkap. Dia pandang ke situ kepalanya. Dia diam membisu seribu bahasa. Bila menyedari keadaan dia berubah sedemikian, saya pun malas nak cakap banyak. Saya pun kuatkan sikit volume radio.

Aneh... siaran macam tak berapa jelas. Saya pun buat tak tahu sahaja sehinggalah membawa ke daerah Kemaman, R&R Perasing, barulah Taufik kata nak berhenti sekejap.

Saya pun masuklah ke laluan rehat Perasing tu. Laluannya jauh sikit ke dalam. Dah tengah malam waktu itu sebab saya bawa kereta tak laju sangat kerana memilih untuk berhati-hati.

Taufik pun keluar dari kereta saya tanpa menutupnya semula. Saya fikir dia nak ke tantas cepat-cepat, tapi saya tengok dia pergi ke arah hutan. Eh? Dia ni nak buang air kat situ je ke? Fikir saya. Saya pun abaikan. Saya pun hulurkan tangan tutupkan pintu tu.

Baca: Saya cemas sakan tiba-tiba 'dia' duduk belakang

Kemudian saya terfikir, eh.... masa di R&R Temerloh, macam mana Taufik masuk? Saya mula tertanya-tanya sendiri kehairanan. Sedangkan saya lock kereta saya waktu keluar buang air.

Masa tu saya meremang sendiri. Saya ambil telefon saya yang saya letak dekat gear tu. Eh? Telefon saya off? Saya terus hidupkan semua telefon tu, ketika itu masuk notification call dan juga mesej.

Wei! Kau tinggal aku ke?!

Terbeliak biji mata saya setelah membaca pesanan daripada Taufik. Dia memberitahu saya bahawa saya telah tinggalkan dia di R&R Temerloh. Tiba-tiba merinding seluruh tubuh saya, kecut kepala saya jadinya, rasa macam berasap saja.

Habis tu, yang saya bawa tu siapa?

Sekian....

Cerita asal: Aziz
Ditulis oleh: Rashid Salim

p/s: Begitulah pengalaman beliau di lebuh raya, jika anda juga mempunyai sebarang kisah seram dan misteri untuk dikongsikan, izinkan kami menulisnya untuk anda, sertai group kami di sini. [Group Wasap]

tags: hantu tumpang kereta, roh ikut balik
Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditinggalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan berhemah serta ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni.

Kirim Komen

Terbaru Lebih lama