Saya panggil rakan setugas tapi benda lain yang meregas


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Apa khabar semua? Semoga baik-baik sahaja. Terima kasih kepada pembaca setia dan pembaca baru blog RS yang tidak jemu-jemu singgah dan membaca penulisan di sini.

RS harap anda semua terhibur dengan kisah-kisah seram yang dipaparkan di blog ini. Baiklah, kali ini kita teruskan lagi dengan cerita seterusnya datangnya daripada Amir (bukan nama sebenar) yang berkongsi pengalamannya bekerja sebagai jaga.

Pekerjaan ini nampak mudah tapi sebenarnya mencabar juga. Di sebalik apa yang beliau lakukan ini, terselit kisah seram pengawal keselamatan atau jaga yang dilalui beliau yang ingin dikongsikan bersama pembaca sekalian.

Ayuh, mari sama-sama kita menelusuri pengelamannya sewaktu mula-mula menggalas tanggungjawab bekerja sebagai jaga di salah sebuah hospital...

Pertama kali jadi jaga


Saya pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah hospital lama. Tempatnya saya rahsiakan demi menjaga nama baik pihak berkenaan. Di sini saya cuma ceritakan tentang pengalaman seram yang saya alami sahaja.

Saya ni pengawal baru, bila bertugas waktu siang kira okey saya tak ada rasa apa-apa. Biasalah waktu siang kan, nak takut buat apa. Perasaan tu biasa sahaja. Cuma bila bertukar ke syif malam, perasaan tu rasa lain macam sikit.

Saya tak tahu kenapa perasaan seram sejuk bertandang dan menganggu fikiran. Mungkin jugak kerana asyik memikir apa yang rakan-rakan sekerja cerita tentang hal yang pelik-pelik pernah berlaku di sini.

Mereka pernahlah cakap, kalau mengawal pada waktu malam di hospital ni tolong berhati-hati sikit. Saya pun dah tanam rasa kurang selesa. Nak kata saya ni berani, ish! Tak lah kut, tapi demi kerja... saya lakukan juga.

Nampak aje kerja ni mudah tapi sebenarnya mencabar juga. Menguji keberanian dan kecekapan. Namun apa yang dikatakan berhati-hati tu bukan apa, sebab mereka cakap pada waktu malam, ada yang penah jumpa orang bukan orang.

Adui.... ini yang buat saya rasa meremang bulu roma. Iyalah hospital kan... ada yang habis umur di sini.... macam-macamlah yang berlaku. Saya pun tak nak fikir yang bukan-bukan. Niat saya nak berkerja cari rezeki halal.

Malam pertama, saya jaga pintu depan wad lelaki, relakslah... sambil main telefon layan-layan medsos. Waktu malam bukan waktu melawat, jadi memang tak dibenarkan sesiapa masuk kecuali kecemasan.

Saya dibekalkan walkie talkie, kalau ada apa-apa kami berhubung melalui alat tersebut. Jadi kadang-kadang kami ni berkomunikasi dengan pos tanya perkembangan dan laporan. Saya maklum semua okey sahaja.

Keadaan hening dan tiba-tiba di wad lelaki keluar seorang lelaki, saya tanya pakcik nak ke mana? Dia jawab pakcik nak ambil angin luar kejap, bosan duk dalam. Saya beritahulah tak boleh pakcik, tak boleh merayau.

Tapi dia cakap sekejap saja. Saya jadi serba salah. Sepatutnya pesakit memang tak boleh keluar. Saya minta dia masuk semula ke dalam dan duduk di katilnya.

Dia enggan masuk. Saya pun masuk ke dalam dan panggil misi untuk memaklumkan bahawa ada pesakit yang nak keluar ambil angin. Misi perempuan datang dan tanya saya mana pesakit tu, saya toleh eh tak ada?

Saya bingung sekejap, kemudian misi tadi buat pemeriksaan dan cakap pesakit tak ada yang keluar dari wad. Semua ada di katil masing-masing.

Saya terdiam dan tak berpuas hati dengan apa yang saya lalui itu. Maka saya mintalah pihak CCTV rakam keadaan saya pada malam itu. Aneh, saya cakap sorang-sorang seolah-olah ada orang depan saya.

Kemudian ketua saya berkata, itu cuma perkara biasa sahaja. Katanya lagi, ada yang lebih teruk. Apabila dia cakap begitu, seriau saya jadinya. Saya tak nak bertemu dengan sesuatu yang dikatakan 'teruk' itu. Ini pun rasa dah cukup seram.

Malam berikutnya, saya kena ganti rakan sekerja jaga pos belakang, dekat dengan bilik mayat. Kebetulan pula malam tu ramai orang kat situ kerana ada kematian. Ahli keluarga dan rakan taulan si mati datang melawat.

Dengar khabarnya si mati tersebut terlibat dengan kemalangan jalan raya, ngeri mayatnya. Saya dengar pun naik seriau. Iyalah kalau mangsa kemalangan melibatkan motosikal ni jarang tak teruk.

Tapi tu la... rakan sekerja beritahu saya keadaan mayat tu begitu tragis. Katanya kena gilis dengan pacuan empat roda. Kasihan. Tak berani saya nak pergi tengok, katanya budak lagi baya-baya sekolah menengah dah terlibat dengan lumba motor.

Hurm... tak boleh nak kata apa kalau dah terbabit dengan lumba haram. Sabar ajelah... namun dah ajalnya datang menjemput nak buat macam mana lagi. Kena reda. Al-Fatihah.

Selepas itu, saya nampaklah ada orang sedang bersedih dekat pagar, menangis. Saya tenangkan dia, saya tanya, saudara awak ke yang meninggal? Dia diam sahaja sambil pekup muka. Teresak-esak dia nangis.

Dia mengasingkan diri dari orang ramai dekat rumah mayat tu. Dia duduk kat tempat tak ada orang. Dekat kawasan samar-samar sahaja. Saya risau juga kut ada apa-apa yang mencurigakan.

Dia yang mencangkung ketika itu pun bangun pandang saya. Wajahnya sayu sahaja tapi pucat. Saya tanya kenapa? Dia tetap diam. Saya jadi kasihan melihatnya.

Saya tanyalah lagi, ada masalah ke? Tetap tak menjawab tersedu sedan sahaja. Saya pun dah naik bingung. Selepas itu rakan setugas saya panggil saya melalui walkie talkie.

Saya pun biarkan sahaja budak tu dekat situ, lantas saya pun pergi jumpa rakan. Selepas itu, esoknya keluar surat khabar kes budak kemalangan. Rupa budak tersebut sama dengan budak yang menangis dekat pagar. Meremang habis bulu roma saya.

Saya pun cakap dengan diri sendiri, lagi lama saya kerja jadi pengawal keselamatan lagi mencabar rasanya. Lagi-lagi kerja jaga hospital yang orang cakap angker ni. Saya pun beritahu kawan saya yang lama kerja di situ.

Dia cakap relakslah... takkan dah takut kut? Dia pun beritahu bahawa dia pernah ternampak pontianak atas pokok. Katanya lagi ada perempuan mati bersalin di wad, tapi tak payah kacaulah... kita kan cari makan...

Eh dia ni, macam dah biasa, saya ni dahlah tak biasa. Ini cakap pasal pontianak pulak. Tapi memang betul kata dia. Pada suatu malam tu giliran saya pula ditakdirkan terserempak dengan kelibat tersebut. Tapi bukan atas pokok, cuma tembus dinding tandas.

Rupanya sangat menakutkan. Rambut mengerbang, matanya mengalirkan darah dan pakaiannya pula lusuh bertompok-tompok darah. Terawang-awang tembus masuk ke dalam tandas perempuan. Keadaan situ pula agak gelap.

Kebetulan masa tu saya tengah berjalan untuk kembali semula ke wad lelaki selepas ke tandas buang air kecil. Saya kawal perasaan agar tetap tenang dan cuba bersikap berani tapi entah kenapa saya merasakan benda tu seolah-olah berada di belakang saya.

Saya pun melangkah dan terus melangkah sampai ke tempat saya mengawal. Masa itu juga walkie talkie saya pun berbunyi seperti desiran, terdengar suara yang tak berapa jelas. Saya fikir kawan setugas saya sedang menghubungi saya.

Alangkah terkejutnya saya, tiba-tiba sahaja terdengar suara orang mengilai dari walkie talkie tu! Allahu`Akbar! Terperanjat gila! Saya fikir tu mungkin kerja kawan saya.

Saya pun marah melalui walkie talkie tersebut. Lepas tu mendapat maklum balas balik dengan suara desiran yang tak berapa jelas. Akibatnya merinding seluruh bulu roma saya.

Ya Allah! Saya tengok punat berada di channel lain. Patutlah tak ada orang reply. Entah macam mana boleh tertukar saya pun tak tahu. Saya pun roger-roger balik, lalu akhirnya mereka kata sudah berapa kali dah panggil saya.

Manalah saya tahu, frekuensi channel tertukar. Masa tu saya syak ada sesuatu yang tak beres. Kecut kepala saya jadinya. Memang gurau kasar betul benda-benda halus ini.

Saya juga terfikir bahawa ia seperti sengaja meregas perhubungan antara kami melalui alat tersebut. Mungkin juga itu sebagai tanda pengenalannya kepada saya sebagai pekerja baru? Saya pun tak pasti.

Sekian...

Cerita asal: Amir
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Saya panggil rakan setugas tapi benda lain yang meregas"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK