Seram! Dua-dua saya nampak depan mata tak sanggup tunggu lama


Hi semua, Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Semoga semua pembaca berada dalam keadaan baik-baik sahaja hendaknya. Seperti biasa, kita bertemu lagi dalam kisah seram di blog RS.

Kisah kali ini diceritakan oleh siti (bukan nama sebenar) tentang pengalaman seram beliau sewaktu belajar dan juga ketika di alam pekerjaaan. Kisah seram asrama dan kisah seram pejabat.

Kepada rakan-rakan dan pembaca semua, suka saya nak ingatkan, sekiranya tuan-tuan dan puan-puan ingin membaca kisah-kisah sebelumnya, boleh ke ruangan sitemap, di situ tertera semua judul entri sebelum ini.

Baiklah, ayuh sama-sama kita menelusuri kisah yang diceritakan oleh Siti... semoga anda semua terhibur. Jom kita layan...

Sakit perut!

Sini saya nak kongsi dua kisah seram yang saya alami, pertama sewaktu saya masih belajar di sebuah kolej. Pada suatu malam perut saya memulas teruk, tengok-tengok jam pukul 1 pagi.

Saya tak tahu kenapalah perut sakit tiba-tiba, mungkin salah makan agaknya. Jadi saya pergi sorang-sorang je ke tandas. Keadaan di koridor agak gelap dengan lampu berkelip-kelip tidak semena-mena.

Saya tak boleh lengah-lengah nanti terkucir susah pulak. Memang tak tahan sangat dah saya ketika itu. Jadi sata tergesa-gesa masuk ke tandas. Perut sakit gila. Senak semua ada.

Saya pun segera masuk ke dalam tandas dan terus lepaskan hajat di bilik paling hujung. Tengah-tengah lepas hajat tu saya pun nyanyi-nyanyi nak bendung rasa takut. Mana tidaknya buang hajat lewat pagi macam tu.

Lagu yang saya nyanyi masa tu lagu Ukays berjudul Seksa. Saya minat gila lagu tu hingga menjadi siulan saya. Tapi… masa part lirik…
Walaupun… lena ku panjang…"
Tiba-tiba ada orang ikut nyanyi sekali. Macam dekat bilik jamban sebelah. Tapi liriknya lain macam. Sampai saya pun terhenti nyanyi. Dia sebut…
Walaupun… leher ku panjang…"
Saya pun rasa nak menoleh, saya pun tengok nampak betul-betul kepala orang kat atas di jamban sebelah, lehernya panjang, rambut pun panjang duk tenung saya. Mukanya pucat matanya lebam.

Saya dengan tak sempat terus berlari keluar dari jamban. Terjerit-jerit macam orang kena histeri. Tapi memang kena histeria dah pun dah tak sedar apa dah.

Khabarnya malam tu ramai pulak yang menjerit selepas saya menjerit. Seram amat nampak hantu leher panjang. Sampai sekarang terbayang-bayang.

Balik lewat!

Kisah seram yang kedua ni pulak waktu saya dah berkerja. Ia berlaku di pejabat. Saya ni bekerja dalam bidang pemasaran. Jadi hari tu sampai ke malam kena buat kerja. Nak tak nak kena siapkan jugak.

Buat kerja sampai tak perasan seorang demi seorang dah balik kemudian datang Sarah, lalu dia pun bertanya kepada saya, tak nak balik lagi ke? Saya pun jawablah ada sikit lagi nak kena selesaikan.

Sempat saya tengok jam di dinding, pukul 11:45 malam. Bayanglah orang perempuan yang masih bujang macam saya ni balik lambat. Tapi nak buat macam mana, terpaksa.

Selepas tu saya terdengar macam ada benda jatuh di lantai. Prang!!! Kuat juga kedengarannya dan bunyi tersebut datang dari arah pantri pejabat.

Saya cuba abaikan dan sambung kerja yang berbaki sikit sahaja lagi. Selepas itu berbunyi lagi seperti kaca pecah terhempas. Saya fikir Sarah buat apa kat pantri?

Saya pun rasa nak pergi tengok. Lalu saya bangun dan melangkah ke sana perlahan-lahan dan setibanya di situ, saya terus membuka pintu.

Alangkah terkejutnya saya, saya nampak benda berbungus kain kafan berada dekat peti ais. Ngam-ngam dia pandang saya macam tahu-tahu sahaja saya nak buka pintu.

Mukanya lebam-lebam menggerutu, matanya kemerahan dan merenung tajam. Lidahnya pula keluar panjang berduri-duri sampai ke lantai.

Jantung saya bagaikan nak luruh melihatnya. Saya pun apa lagi, lari dari situ sambil menjerit memanggil nama Sarah! Saya nak beritahu dia yang saya nampak pocong. Tapi Sarah tak ada.


Kemudian saya segera tinggalkan pejabat macam tu sahaja sebab terlalu takut. Esoknya saya demam dan bertambah berat demam saya bila dapat tahu pada hari itu Sarah MC tak datang bekerja.

Saya punya sibuk ketika tu sampai tak perasan yang Sarah sebenarnya cuti. Jadi yang tegur saya pada malam tu siapa? Adakah jelmaan pocong yang saya nampak di pantri? Adui…


Semenjak peristiwa itu saya dah cuak nak buat kerja sampai lewat malam sendirian. Kalau ada pun saya akan berteman. Teman betul-betul bukan teman makhluk halus. Kus semangat!

Jadi, begitulah kisah-kisah seram saya yang dapat saya kongsikan. Jika ada waktu senggang, saya kirim lagi.

Sekian...

Cerita asal: Siti
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

1 Response to "Seram! Dua-dua saya nampak depan mata tak sanggup tunggu lama"

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK