Wang Puaka Bawa Malapetaka


Banyak hari juga tak update kisah seram ya? Lama tunggu? Maaf tau kerana saya menghadapi kekangan waktu dalam menyiapkan kerja saya. Hai semua, saya harap anda semua baik-baik sahaja hendaknya. Terima kasih sudi menjengah ke blog saya. (Macam surat pulak) hehe...

Biasalah ini blog peribadi, berceloteh dan tempat berbagi info dan perasaan, gitu... walau bagaimana pun diharapkan ianya dapat dimanfaatkan bersama, Insya-Allah. 
Baiklah sebelum ini saya ada kongsikan cerita mengenai insiden reunion kan? Korang boleh baca gais entri sebelum ini.

Pada kali ini saya nak kongsikan pula sebuah kisah berkenaan duit setan. Ini bukan duit yang orang main tikam-tikam nombor tu gais. 

Tapi ini betul-betul duit setan. Memang best dapat duit dari alam ghaib, kan? Tapi itulah yang terjadi pada Borhan seorang anak kampung.

Borhan baru sahaja kehilangan ayahnya. Dia ada seorang adik lelaki namanya Badrul yang barusia 5 tahun. Borhan seorang remaja yang terpaksa berhenti sekolah dan cari kerja. Sejak ayahnya meninggal hidupnya makin susah.

Ibunya pula terpaksa meminjam duit buat beli makanan. Orang susah sangat gais... memang hidupnya serba kekurangan. Tidur mereka pun beralaskan tikar sahaja. Bukan tak dapat bantuan, tapi bantuan yang diterima tak berapa cukup.

Kiranya keluarga Borhan agak terpinggir. Borhan tak dapat tamatkan SPM, dia nekad nak cari kerja demi keluarganya. Tapi susah. Tak ada orang nak terima dia berkerja. Duit simpanan pun mula kehabisan buat beli barang-barang dapur.

Sehinggalah suatu malam dia lepak di tempat yang biasa tempat dia dengan kawan-kawannya selalu lepak. Namun pada malam itu hanya dia sendirian. Kawasan tersebut bersebelahan dengan kawasan perkuburan yang hanya dibatasi dengan pohon buluh sahaja.

Di situ mereka akan berkumpul kalau ada apa-apa aktiviti. Main gitar ke, lepak-lepak sambil bakar BBQ ke. Tapi malam itu sunyi tak ada apa-apa aktiviti. Hanya Borhan sendiri termanggu dan berteleku. Lama dia termenung mengenangkan nasib dirinya.

Di kawasan itu gelap tiada lampu dan sepi. Dia dah biasa lepak di situ jadi tak ada apa-apa yang menakutkan. Lagipun selama ini tak ada apa-apa yang mencurigakan. Mungkin kawasan tersebut tidaklah dianggap angker bagi penduduk. Biasa-biasa sahaja.

Sedang dia termenung mulutnya menutur bicara sendiri... "Aku perlukan bantuan, berikan aku wang wahai penunggu kubur," sebutnya lalu dia pun menunggu tapi dia yakin hal tersebut mustahil. Tidak pula dia berharap lantas berkata lagi, "Aku ni dah gila agaknya..."

Lepas dia menunggu di situ, dia rasa mana mungkin wang yang diminta akan datang bergolek begitu sahaja. Mustahil! Lalu dia pun bangun dan meninggalkan tempat itu bersama hati yang sarat dengan kekecewaan.

Sedang dia melangkah pergi, tiba-tiba dia terkejut kerana ada benda terkena kepalanya. Ada orang baling sesuatu mengena kepalanya. Ia bukanlah benda yang keras. Bila dia menoleh, dia nampak seperti ada sesuatu yang tergumpal.

Dia pun ambil dan membukanya. Dia dapati itu cuma wang RM10 sahaja. Dia pun tak sangka dapat duit tersebut. Entah siapalah yang bagi dia pun tak pasti dan baru dua teringat, mungkin wang itu dari penunggu kubur.

Dia pun berkata, "Terima kasih, nanti kalau aku dapat kerja, nanti aku akan kembalikan," itulah yang Borhan katakan bersama hati yang riang dan gembira. Dia pun terus mengorak langkah pulang ke rumah.

Sementara itu, di sebalik kawasan kubur itu, terdapat makhluk besar tinggi dan berwarna hijau gelap kehitaman memerhatikannya, makhluk itu berkata, "Janji ada hutang wahai manusia, hahaha," Borhan seakan-akan mendengar suara itu. Dia semakin laju melangkah.

Esok paginya, Badrul yang sudah tak tertahan menangis kelaparan sambil disabarkan oleh ibunya. Ibunya berkata, "Sabar... jangan nangis, nanti mak cari makanan...." ucap ibunya sambil bangun.

Borhan sedar akan keadaan itu dan berkata, "Mak nak pinjam wang lagi ke kat lintah darat tu?" Kata Borhan yang sakit hati kerana lintah darah itu selalu mengenakan bunga setiap kali ibunya meminjam. Sampai bila-bila pun tidak akan habis bayar.

"Habis tu macam mana lagi... kita perlukan makanan..." kata ibunya yang terpaksa. Memang kesukaran itu memaksa ibunya tebalkan muka meminjam. Upah menganyam ketupat entah berapa sen sahaja dia dapat. Itu pun hanya untuk bayar hutang sahaja.

"Tenang mak, saya ada sedikit duit... saya beli sebungkus, kita makan betiga ye..." ucap Borhan lalu dia pun bangun dan berusaha pergi beli makanan untuk keluarganya.

Setibanya di gerai, dia dapati Mak Cik Leha sedang bersiap-siap membuka gerainya sambil senyum memandang Borhan. "Hai Borhan... nak beli apa pelanggan pertama ni.... buat guri..." katanya.

"Ya ke makcik?" Borhan teruja. Dia ada duit RM10 yang malam tadi. Dia rasa nak makan sedap sikit untuk adiknya dan ibunya. Biarlah adiknya dapat makan lauk yang best-best. Mak Cik Leha tanya nak lauk apa, lalu Borhan pun minta lauk ayam dan telur, dia minta nasinya lebih sedikit. Mak Cik Leha pun berikan.

Borhan pun hulurkan duit yang satu-satunya ada di dalam dompetnya dan bertanya, cukup tak duit tersebut lantas Mak Cik Leha cakap cukup dengan penuh gembira. 

Dia pun letak dalam bekas duit. Setelah itu Borhan pun pergi. Mak Cik Leha mengomel sendiri dan berkata duit guri pelanggan lebih baik dijadikan pelaris, letak dalam wallet.

Kemudian Mak Cik Leha pun nak ambil semula duit yang dia taruk dalam bekas tadi. Tiba-tiba duit RM10 itu tak ada. Terkejut dia tercari-cari duit itu. Mana pergi duit tu? Menggelabah jadinya. Kesal dia dan berkata ada toyol yang curi.

Borhan pula sampai rumah dapat makan nasi lauk ayam dan telur bersama ibu dan adiknya. Borhan rasa sangat senang hati dapat membuat ibu dan adiknya bahagia walaupun hanya untuk sesaat. Tak apalah, janji dapat makan yang sedap.

Dalam hatinya pula berbicara.... maaf mak... hanya ini yang dapat saya lakukan, moga kalau dapat kerja saya boleh beli nasi lagi.... bisik hati kecilnya. Dia pun pandang ibunya seraya berkata, "Mak, saya nak mandi dulu, nak pergi cari kerja."

"Ya nak, hati-hati, jangan memaksa diri ya..." ujar ibunya lantas Borhan pun mengangguk. Dia pun pergi mempersiapkan dirinya untuk mencari pekerjaan.

Bersungguh-sungguh dia pergi ke bandar cari kerja, malangnya tak dapat. Esoknya dia cari lagi, pun tak dapat. Hari ketiga dia pun pergi sebuah kedai tanya ada kerja kosong ke tidak, malangnya juga tiada. Entah apalah nasibnya.

Sambil berjalan-jalan, dia pun berehat di sebuah bangku kerana merasakan sangat penat dan kehausan. Sempat juga dia melihat motosikal yang lalu lalang di hadapannya. Dia pun berangan-angan, alangkah bagusnya kalau dia pun punya motosikal, tak adalah penat berjalan kaki begini.

Saat dia kehausan, dia mengomel sendiri. Kalaulah dia ada wang, bolehlah dia beli air. Tapi apa nak buat, sementara itu dia keluarkan dompetnya tengok isi dompetnya dan tiba-tiba terbeliak biji matanya. Dia dapati duit RM10 ada di dalamnya.

Dia keliru, adakah dia terlupa memberikan duit itu pada Mak Cik Leha? Dia juga bingung, kalau belum berikan, dia harus pulangkan duit itu kepada Mak Cik Leha namun dalam saat yang sama dia benar-benar dahaga. Dia perlukan minuman.

Dia pun membuat keputusan untuk membeli sebotol air, dan diberikan duit itu kepada tuan kedai. Tuan kedai tersebut memberinya duit baki. Setelah itu dia pun meninggal kedai tempat dia beli air. Dia gembira sebab dapat duit baki.

Bila dia tengok duit bakinya semula, dia terkejut sekali lagi. Ada duit RM10 terselit di antara duit baki. Maka dia pun beranggapan bahawa kemungkinan begitu cara kerja duit ghaib tersebut yang diberikan penunggu kubur.

Seterusnya dia kembali semula ke kedai tersebut dan membeli beberapa barang dan dia mendapat duit bakinya. Dia tengok lagi dompetnya, memang ada terselit lagi duit RM10 di antara duit-duit baki. Maka semakin lama semakin bertambah duit di dalam dompetnya hasil terkumpulnya duit baki.

Jadi, dia pun membeli barang-barang untuk dibawa pulang. Sampai di rumah dia memberitahu kepada ibunya bahawa dia dah dapat kerja. Seronok dapat beli banyak keperluan. Hidup Borhan bagaikan orang kaya kecil. Dapat beli itu dan ini.

Lama-lama dia pun kredit pembelian motosikal. Bukan main bergaya lagi Borhan, dapat beli telefon baru, pakaian baru, malah dapat belanja kawan-kawannya. Biasalah kan bila ada duit, ramailah kawan. Bila susah, bertuahlah kalau ada yang membantu.

Setelah tujuh bulan berlalu, tiba-tiba adiknya Badrul jatuh sakit. Sakit yang sangat teruk. Tubuh adiknya kekejangan. Ibunya juga panik lantas Borhan dan ibunya membawa Badrul ke kecemasan untuk rawatan. Doktor pun memaklumkan bahawa keadaan adiknya itu parah.

Ibunya menangis teresak-esak. Borhan juga sedih, wang ringgit yang dia ada seolah-olah tidak bererti lagi. Tiba-tiba dia jadi teringat, apakah kesakitan adiknya itu ada berhubungan dengan penunggu kubur? Segera dia meminta izin ibunya untuk ke suatu tempat.

Dia kembali semula ke tanah kubur dan terus melemparkan duit itu ke sana sambil berkata, "Aku kembalikan duit ini!" dan tidak semena-mena muncul sosok yang besar dan tinggi di sebalik rumpun buluh itu. Makhluk itu ketawa.

"Ha ha ha ha! Kau manusia mungkir janji."

"Aku dah kembalikan wang itu! Tolong lepaskan adik aku."

"Ha ha ha. Kau hanya berkata hanya kembalikan, tetapi tidak menyatakan untuk kembalikan wang itu."

"Hah?"

"Kau manusia memang tak pernah belajar tentang perangkap kami, ha ha ha ha! Maka nyawa adikmu sebagai imbalannya." Makhluk itu terus ketawa dan Borhan sangat-sangat berharap agar adiknya dilepaskan.

"Kalau kau mahu aku lepaskan adikmu maka kau adalah gantinya! Ha ha ha ha!"

Lantas Borhan pun bersedia. Dia tidak mahu adik kecilnya menanggung azab dari perbuatannya. Dia rela menjadi pengganti agar adiknya tidak apa-apa dan setelah itu dia pulang. Adiknya kembali sihat tetapi Borhan pula mula melemah.

Borhan hanya terbaring tidak bermaya. Di sisinya ada ibu yang berharap agar Borhan sembuh. "Mak jangan risau, saya okey..."

"Mak risau... ibu mana yang tak risau melihat anaknya sakit begini." Ujar ibunya yang sudah tidak punya wang lagi kerana sudah digunakan untuk biaya rawatan Badrul. Borhan berikan semua duitnya, dia tiada apa-apa lagi.

Lama kelamaan keadaan Borhan semakin tenat. Setan itu sebenarnya menyedut energi Borhan sehingga membuatkan Borhan tidak kuat lagi dan menunggu mati.

"Sebagai orang tua, sudah menjadi tanggungjawab ibu untuk memastikan anak-anak ibu sihat..." Segera ibunya keluar untuk mendapatkan bantuan.

Kemudian ibunya datang bersama seorang ustad. Sebaik sahaja ustaz tu masuk, "Allahu`Akbar! Setan!" Terus ustaz itu melibas menggunakan kain yang dipakai pada lehernya. Ibunya melihat ustaz itu seolah-olah melibas sesuatu.

Ustaz itu meminta agar ibu Borhan segera membawa keluar Badrul. Memang ibunya dah lama syak bahawa Borhan bukan sakit biasa sebab Badrul selalu menangis dan kata pernah ternampak sesuatu yang mengerikan ada dalam rumah. Disebabkan itu dia panggil ustaz datang.


Dipendekkan cerita, Borhan sembuh dari gangguan jin itu tersebut dan Borhan pun menginsafi akan perbuatannya itu. Ustaz Suhaimi berpesan supaya jangan sesekali terperangkap dengan permianan jin dan syaitan yang memang ingin menyesatkan. Tipu dayanya akan menjerumuskan manusia ke dalam api neraka penuh seksa.

Setelah itu Borhan berjanji akan menjaga diri. Ustaz Suhaimi menawarkan pekerjaan buat Borhan di pusat tahfiznya. Borhan senang di situ. Alhamdulillah...

Sekian, terima kasih, semoga mendapat sesuatu yang bermanfaat... Insya-Allah, jumpa lagi gais...
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

1 Response to "Wang Puaka Bawa Malapetaka"

  1. Allahuakbar besar betul dugaan borhan, syukur tak selamanya tertewas dengan permainan makhluk halus ni

    BalasPadam

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK