“Dah Nak Tutup Gerai Ke Bang, Ada Ayam Lagi Tak?” Gadis Misteri Lapar Ayam Golek Tepi Jalan


Pagi tadi lepas hantar anak ke sekolah, saya singgah ke kedai beli roti canai. Lepas dah siap order apa semua saya pun naik motor nak balik. Tiba-tiba telefon bunyi, ada mesej masuk, inbox FB.

Encik Rashid... saya ada cerita nak share kat encik... katanya. Saya tanya pun santai sahaja atas motosikal itu. Layan chat dengan abang sorang ni sekejap.

Abang ni kata nak share sesuatu yang pernah berlaku kepada dirinya suatu ketika dahulu. Aih... suspen sungguh... saya namakan abang ni sebagai Abang Razif (bukan nama sebenar).

Saya pun minta Abang Razif story, sementara itu saya pun start motosikal terus gerak balik rumah. Lagipun rumah saya dengan kedai tak jauh.

Setibanya di rumah, saya ingatkan bila sampai dah panjanglah text yang Abang Razif ni taip tapi rupa-rupanya, saya dapat voice note. Tak mengapalah, saya dengar.

Abang Razif beritahu bahawa dia tak reti nak tulis panjang-panjang. Minta saya tuliskan. Okey, saya okey sahaja. Memang saya suka sangat tulis menulis ini asalkan pembaca saya dapat membacanya.

Dan, dapat faham pun dah okey lagipun saya ni bukannya mahir sangat menulis, bantai aje pun. Dah minat punya pasal, teruskan aja. Okey berbalik pada kisah Abang Razif tadi...

Menurut Abang Razif, dia ni ada buka gerai ayam golek. Dekat kawasan itu memang dia sorang je bukak gerai ayam golek. Tempatnya agak jauh sedikit dari orang. Kiranya kalau orang lalu dekat selekoh itu memang akan nampak gerai Abang Razif ini.

Kawasan pun strategik sebenarnya. Abang Razif berniaga di Johor. Jadi benda ni berlaku di negeri tersebut. Lagipun Abang Razif memang berasal dari sana.

Ayam golek Abang Razif ini boleh dikatakan sedap dan laku. Cuma pada suatu hari itu, dia tengok ada tiga ekor lagi ayam goleknya belum habis dijual. Dia rasa elok dia tutup, lagipun dah nak Maghrib.

Keadaan jalan pun lengang, hari pun macam nak hujan gelap semacam sahaja. Sedang dia duk berkemas itu, tiba-tiba ada seorang gadis datang dan berkata, "Dah nak tutup gerai ke bang, ada ayam lagi tak?"

Abang Razif terpegun melihat perempuan itu. Katanya cantik dengan berpakaian baju kurung putih berbunga-bunga biru. Rambutnya lurus melepasi paras bahu. Ayu sungguh.

Abang Razif beritahu ayam golek ada lagi, Perempuan itu pun cakap nak beli. Jadi Abang Razif pun berikan ayam kepada perempuan cantik yang tak diketahui namanya.

Perempuan itu hulurkan duit dan Abang Razif masukkan duit dalam kocek bajunya. Perempuan tu kata tak payah pulangkan bakinya.

Abang Razif tanyalah nak potong ke, perempuan yang manis itu menjawab tak perlu dan dia tak nak dibungkus. Mahu makan di situ sahaja. Abang Razif pelawa duduk tapi perempuan itu tak duduk.

Dia pun teruslah sambung kerja kemas-kemas barang. Perempuan itu membelakangi Abang Razif dan Abang Razif pun terdengar bunyi perempuan itu tengah pelahap ayam golek tu. 'Krup krap krup krap!'

Tidak lama kemudian perempuan itu menoleh kepadanya dengan keadaan mulutnya comot sekali dan berkata, "Aku lapar! Aku nak ayam lagi!" Kulit wajah yang mulanya nampak halus mulus telah kelihatan menggelupas.

"Dik... eerrr... ayam ada lagi.... ada dua..."

"Aku nak semua! Aku lapar!" Suara perempuan itu berubah keras. Abang Razif tengok perempuan itu pelik mintak ayam lagi. Abang Razif pun beri lagi dua ekor ayam yang berbaki itu.

Ngap! Ngap Ngap!!! Perempuan itu makan macam itu sahaja depan-depan Abang Razif. Raut wajah perempuan itu berubah sehodoh-hodohnya. Kulit wajah makin mengerikan. Bersopak seperti kulit disiat-siat.

Abang Razif nampak jelas taring yang menusuk masuk ke dalam isi ayam golek itu. Perempuan misteri itu makan ayam golek itu dengan rakus sekali. Tubuh Abang Razif jadi kaku serta merta. Otaknya pula macam 'shock' bagai dikaran.

Apa yang membuatkan dia bertambah terkejut lagi, mata perempuan itu tersembur keluar dari sangkarnya. Lama-lama tubuh Abang Razif kekejangan.

Abang Razif memaklumkan, masa itu dia jadi blur. Fikiran dia kosong. Tahu-tahu dia macam bengong sahaja. Perempuan itu pula tiba-tiba ghaib selepas makan ayam goleknya.

Isteri kepada Abang Razif pulak jumpa Abang Razif pengsan kat situ. Risau sebab suaminya ini tak pulang sampai tengah malam. Jadi dia pun pergi cari kat gerai.

Teruk jugalah apa yang berlaku ke atas Abang Razif, siap meracau-racau dan demam panas. Kira dah macam orang sasau jadinya. Isteri Abang Razif bawa berubat sana sini.

Lama juga ikhtiar berubat nak pulihkan semangat balik. Memang terbayang-bayang wajah perempuan tersebut di mata Abang Razif sehingga ke hari ini. Tapi dia tak kenal siapa perempuan itu.

Saya sempat tanya mengenai duit yang perempuan itu beri, ada bertukar apa-apa ke tak? Jadi daun ke batu ke? Atau jadi benda lain? Abang Razif cakap, duit RM100 tu elok je...

Saya tanya lagi, Abang Razif buat apa dengan duit itu? Katanya, isteri dah guna buat belanja berubat, sebab isterinya tak tahu pun itu duit dari siapa.

Begitulah serba ringkas perkongsian Abang Razif dengan perempuan misteri yang datang singgah di gerai ayam goleknya.

Saya pun tak pasti siapa perempuan itu dan apa tujuan kedatangannya ke gerai Abang Razif. Semata-mata nak makan ayam golek ke atau memang nak 'usik' Abang Razif? Wallahu A'lam.

Alhamdulillah, Abang Razif pun dah sembuh dan kembali meneruskan perniagaannya. Semoga terus sukses bang, Aamiin...

Terima kasih Abang Razif kerana sudi berkongsi dengan kami kisah ini...
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "“Dah Nak Tutup Gerai Ke Bang, Ada Ayam Lagi Tak?” Gadis Misteri Lapar Ayam Golek Tepi Jalan"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK