Penunggu Rumah Sewa - 2


Tiba-tiba perut aku memulas, senak begitu terasa lalu aku terus bangkit dari katil untuk ke tandas yang berada di luar. Tandas yang berada di bahagian dalam rumah tersumbat. Lori kumbahan yang sepatutnya datang tadi siang tidak muncul. Sakit pulak hati aku.

Isteri aku turut terjaga setelah menyedari aku mengaduh. Dia tanya aku hendak ke mana, jadi aku beritahu hendak ke tandas. Dia menyatakan, tandas dalam rumah kan rosak. Iyalah itu aku tahu. Aku hendak pergi tandas di luar.

Tanpa berlengah lagi, aku terus menhayun langkah ke bahagian dapur. Di tepi pintu dapur terdapat suis lampu jamban, lalu aku pun tekan sembari menolak daun pintu setelah aku membuka selak dengan tangan yang satu lagi.

Kepala aku pun terjengul mengintai jamban yang jaraknya 10 meter dari rumah. Di tepi jamban kiri dan kanan ada pohon pisang. Di belakang jamban itu juga ada pohon pisang. Namun malangnya, jamban itu gelap.

Aih! Tak menyala pulak lampu ni dah kenapa? Aku mengomel sendiri di hati. Iyalah, dah buka suis tapi lampu tak hidup. Takkan aku nak bergelap melepaskan hajat. Perut aku dah tak tahan sangat ini. Lainlah kalau siang hari, boleh bawa bincang. Ini waktu malam, keadaan yang begitu sunyi.

Kerana tidak tahan sangat, aku terpaksa redah. Memang aku tak ada pilihan jikalau tidak mahu terkucir di dapur itu seandainya melakukan percubaan mencari lampu picit. Aku terus menuju ke jamban sambil ditemani balam-balam cahaya bulan.

Terkocoh-kocoh aku membuka pintu. Memang suatu nikmat bila sudah meleraikan senak. Cuma satu hal yang buat aku kurang selesa. Aku mendengar bunyi sesuatu yang bergesel dengan dinding zink jamban ini. Aku cuba optimis, barangkali itu dari daun pisang yang ditiup angin.

Aku lekas-lekas cebuk, tetapi makin galak bunyi itu kedengaran. Kali ini ia semakin kasar seperti dicakar-cakar dari luar. Bertambah meremang bila aku terdengar pula seperti suara kucing yang riuh bertengkar kemudian hilang kesayupan.

Jantung aku ini memang berdetak laju bagaikan dipam. Rimas semacam berhadapan dengan situasi tersebut. Bukan apa, inilah pertama kali aku guna jamban di luar rumah pada waktu tengah malam tanpa lampu.

Lagi pula, aku belum tahu tentang apa-apa yang misteri di rumah sewa ini sejak dari awal kami menyewanya melainkan sesuatu yang menakutkan aku di hadapan rumah yang pernah aku lalui. Peristiwa di pohon ara itu.

Tapi itulah, hal tersebut aku tidak panjangkan pada isteriku. Aku tidak mahu menumpahkan minyak di atas bara api. Aku tahulah isteri aku tu bagaimana, dia akan bertambah panik apabila mendapat tahu bahawa aku juga berhadapan dengan situasi yang sama.

Namun hakikatnya, aku turut merasai sesuatu yang aneh tentang rumah sewa ini. Sangat aneh, kerana ketika aku melangkah keluar dari jamban itu, aku merasakan seperti ada ‘sesuatu’ yang mengekori. Lalu aku pun mempercerpatkan langkah.

Saat aku masuk ke ruang dapur, aku terus menyelak pintu, tapi tiba-tiba aku terperanjat! Mana taknya, aku dengar pintu dapur diketuk-ketuk.

Tuk tuk tuk!

Aku mula curiga, entah siapa yang datang melalui pintu belakang? Tengah malam pula. Ketukan tanpa suara, tanpa salam. Memang sangat hairan. Cuma aku ni tetap nak tahu siapa yang ketuk pintu.

Tuk tuk tuk!

Pintu terus diketuk dan aku masih berdiri dan berkira-kira hendak membukanya ataupun tidak. Lalu aku tidak dapat menahan diri dari bertanya.

“Siapa tu?” Serta merta bunyi ketukan itu terus membisu tanpa jawapan. Allahuakbar… di tengah malam begini aku diuji dengan sesuatu yang merisaukan aku. Kalau hendak diikutkan cakap isteri, dia tu memang nak pindah rumah. Tapi aku masih betah di sini kerana sampai bila hendak berpindah randah dan menyewa pula di tempat lain. Lagipun kami baru sahaja berpindah di sini.

Aku melepaskan keluhan berat lantas menyusun langkah meninggalkan ruang dapur. Aku ingatkan semua itu berakhir, tetapi jantung aku sekali lagi dikejutkan dengan bunyi sesuatu yang jatuh di atas lantai.

Prangggg!!! Bunyinya seperti periuk yang terhempas. Kemudian disusuli pula semua perkakas dapur diselerakkan. Memang bunyinya sangat riuh dan kacau. Tidak hanya itu, bunyi pingan mangkuk kaca berderai jelas tertangkap di halwa telinga aku ini. Semua itu bersatu.

Bulu roma aku sedari tadi tegak tidak segan turun lagi. Peluh setia merenik di dahi lalu aku menyekanya. Berdebar-debar sungguh aku rasakan seolah-olah jantung hendak pecah. Adrenalina dalam badan aku mengalir laju menyebabkan nafas aku turun naik dengan laju.

Aku cuba kawal perasaan. Kalau boleh aku tidak mahu terlihat cemas tatkala berhadapan dengan situasi bergini. Ya Allah… ini cuma khayalan! Ini hanyalah cubaan! Aku merintih di dalam hati aku sendiri.

Saat aku menoleh ke belakang dengan laju, bunyi itu pun lenyap. Tanpa berlengah, aku terus membuka langkah masuk ke bilik. Aku tidak mahu terus menerus diganggu. Bila sampai di pintu bilik, aku hela nafas, tenangkan diri lapangkan dada.

“Huh!” keluhku. Aku tak boleh lemah. Aku kena kuat, aku kan pengawal keselamatan. Di tempat kerja aku boleh relaks sahaja, takkan di rumah aku tak boleh hadapinya, kan? Soal aku sendiri memberikan keyakinan.

“Masalahnya, ditempat kerja kau tu, kau cuma terdengar bunyi dan suara misteri sahaja, tapi di rumah ini pula kau pernah nampak kelibat. Mana tau selepas ini berdepan pulak.” kata-kata dalam kepala aku membuat aku bertambah resah. Ah!!! Persetanlah semua itu. Minta dijauhkan.

Daun pintu bilik aku kuak, lalu aku melihat batang tubuh isteriku yang sedang terbaring lena. Dup dap dup dap debaran jantungku tadi mula sedikit demi sedikit reda. Aku pun menghenyak punggung di birai katil sebelum aku menyambung tidur.

Syahmi……..

Erk! Aku terperanjat sekali lagi bila nama aku pula diseru. Kedengaran sayup-sayup dan suara itu tidak dapat aku pastikan sama ada milik suara lelaki atau perempuan. Ia berbisik. Aku tidak mahu melayaninya lantas aku pejam mata rapat-rapat sembari memekup telinga. Resahnya aku hendak melalui hari-hari yang mendatang.

Syahmi : Pengawal Keselamatan
Karya : Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Penunggu Rumah Sewa - 2"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK