Penunggu Rumah Sewa - 3


Perasaan aku berkenaan hal malam tadi masih bingung dan terbayang-bayang di kotak minda. Sehingga ke tempat kerja pun Pak Hamid menegur aku. Mungkin dia rasa akan perubahan aku yang lebih banyak termenung dari biasa. Aku cuba menyembunyikan resah aku tetapi dia dengan pantas menyela.

“Dari tadi aku tengok kamu gelisah sahaja, kenapa Syahmi? Ada sesuatu yang tak kena ke? Atau kamu cuba menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan aku?” tanya Pak Hamid sambil menenyehkan putung rokok ke bekas.

Aku menghela nafas dan hembus serentak. Kiranya aku menghempas keluhan yang berat sehingga membuatkan Pak Hamid mengangkat keningnya. Dia pun menghulurkan kotak rokoknya. Aku menggeleng. Tak ada mood pula nak sedut.

“Sepanjang saya kerja di sini, tak pernah pula kena kacau. Tapi di rumah saya tu seperti ada sesuatu yang mencurigakan. Saya sendiri pun tak fahamlah Pak Hamid. Saya dah penat nak berpindah,” aku meluahkan kepada Pak Hamid menagih pendapatnya.

“Maksud kamu rumah yang kamu tinggal sekarang ni berhantu? Begitu ke Syahmi?” Pak Hamid pula menyoal aku. Sekali lagi aku menghempas nafas. Sesak pula dada ini untuk menerangkan keadaan sebenar kepada Pak Hamid.

“Saya nampak sesuatu di sana. Saya sendiri tak pasti itu cuma khayalan saya atau pun jelmaan. Apa yang saya rasa, memang membuatkan saya tertanya-tanya, apa sebenarnya yang terjadi di rumah itu.” Ujarku mengambil kotak rokok. Apabila Pak Hamid pun bertindak balas pada persoalan, maka aku berminat pula hendak berasap.

“Rumah yang kamu sewa di hujung kampung tu memang tak ada sesiapa yang berani menyewa. Itu pasal aku pun hairan, bagaimana kamu boleh bersetuju tinggal di situ. Sedangkan banyak lagi rumah lain yang kamu boleh menyewa.”

“Betul Pak Hamid, tapi di situ sewanya murah, itu sahajalah yang paling dekat dengan tempat kerja. Lagipun saya tak tahu yang rumah tu pelik.” Ujarku membuatkan Pak Hamid senyum senget sahaja.

“Apa hendak dihairankan, rumah itu sudah lama terbiar tak ada penyewa. Sudah tentu ada yang menumpang. Biarlah dia…” Telah Pak Hamid ketawa kecil. Pak Hamid ini sempat pula berseloroh. Aku sedang gelisah ini.

Suka-suka hati Pak Hamid sahaja cakap supaya aku membiarkan begitu sahaja. Aku sudah bingung memikirkan cara untuk menghindari gangguan tersebut, malah Pak Hamid seolah-olah tidak serius. Aish! Sakit pula hati aku ini.

“Pak Hamid lainlah, orang yang berani…” Ucapku tetapi pantas Pak Hamid menyela.

“Jadi, kamu takut? Kalau takut, bermakna kamu membiarkan mereka menguasai diri kamu.” Beritahu Pak Hamid segera bangun. Kepalanya terjengul-jengul melihat ada kenderaan yang ingin masuk ke kawasan gudang ini. Dia pun melangkah membuka pintu pagar.

Pak Hamid kembali semula dan dia menepuk-tepuk belakang aku seraya berkata “Ingat Syahmi… syaitan ini memang suka memanipulasikan kita. Jangan mudah terpedaya.” Sambungnya.

Punggung aku terasa kebas. Aku pun bangun hendak pergi ke tandas. Apa yang Pak Hamid cakap itu memanglah betul, tapi dia tidak ada langsung keinginan untuk membantu. Ke memang dia tak faham? Ish! Mustahil dia tidak memahami apa yang aku lalui. Lagipun dia orang lama.

Aku terus menghala langkah ke tandas. Sebaik sahaja aku hendak memasukinya, aku terdengar keriuk engsel pintu tandas di dalam. Ada orang ke? Fikirku. Tengah hari terik ini terasa pula hendak buang air kecil. Aku banyak minum air.

Ketika aku berada di dalam, aku lihat pintu tandas semua tertutup, bertanda merah memberi maksud sedang ada orang di dalam. Macam biasalah, walaupun itu sudah memberikan isyarat ada orang, aku tetap juga bertanya.

“Ada orang ke?” soalku.

“Ada…” Parau suaranya. Jadi aku berganjak pula ke pintu tandas sebelah. Soalan yang sama aku ajukan sambil cubaan menolak pintu. Aku berpendapat mungkin itu tersilap.

“Ada orang ke?” tanyaku lagi.

“Ada…” Aih… parau. Suara itu sama sahaja. Aku sudah tidak tertahan lagi. Hampir terkucir aku jadinya. Sudahlah keadaan redup sahaja, lampu tandas tidak menyela. Suram-suram aku merasakannya. Cuma, entah kenapa… di dalam tandas tersebut, suhunya dingin.

“Cepat sikit boleh tak, tak tahan sangat dah ni,” Pinta aku, padahal aku sebagai lelaki, kalau sudah tiada pilihan, pergilah lepaskan di mana-mana.

Tiada respon yang aku terima kecuali kunci kedua-dua pintu tandas itu, terbuka sendiri. Aku menanti dengan sabar agar pengguna tandas itu keluar. Malangnya tidak juga keluar. Cuma aku rasa curiga, apa yang dibuat oleh orang itu. Di atas tandas itu ada ruang. Jadi kalau orang berjengket dan panjat sedikit pasti dapat melihat siapa di dalam. Namun aku cuma menanti sahaja.

“Kenapa tak keluar-keluar lagi? Aku dah tak tahan dah ni,” aku merungut namun tiada respon juga melainkan munculk aroma yang menusuk rongga aku. Ia begitu busuk hampir membuatkan aku termuntah.

“Aduh busuknya!” Bentak aku sungguh tidak tertahan lagi sembari menutup hidung. Kemudian halwa telinga aku menangkap bunyi dinding-dinding tandas yang dibuat dari jenis perabot itu telah dicakar-cakar. Seriau menjarum rasaku. Ini sudah pelik, dugaku.

Entah bagaimana aku rasa ingin mendongak kerana aku rasa ada sesuatu sedang memerhati aku di atas tandas itu. Dan, jantung aku terus berdetak kencang bagaikan dipam! Alangkah terkejutnya aku melihat kepala yang bermata merah dengan rambutnya panjang mengurai turun ke lantas tandas perlahan-lahan. Rambut itu memanjang.

Bulu roma aku habis tegak berdiri tak reti turun lagi. Otak aku pula seolah-olah membeku dan tidak tahu hendak bertindak apa-apa lagi. Dengan jelas aku melihat wajah yang bersopak itu sedang menyeringai menunjukkan taringnya.

Tiba-tiba kaki aku pejal bagaikan digam. Langsung tidak dapat bergerak. Sehinggalah aku merasakan keadaan sekeliling seperti berpusing-pusing dan terus gelap gelita.

Syahmi : Pengawal Keselamatan
Karya : Rashid Salim LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Penunggu Rumah Sewa - 3"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK