Diekori Sejak Dari Bilik Hotel
Sabtu, 11 November 2023
Add Comment
Saya sendiri dalam bilik hotel. Kawan sebilik telah keluar dan dia telah berpesan pada saya, sekiranya saya hendak keluar, dia minta saya tinggalkan key card di reception counter. Okey, saya faham. Cuma saya belum tahu nak keluar ke mana.
Bosan pula saya jadinya, maka saya pun decide untuk pergi ke KTCC Mall. Apa lagi, tengok wayanglah jawabnya. Katanya filem Rahsia itu best. Lakonan Nabila Huda bersama Fikry Ibrahim. Khabarnya, Eman Manan pun ada. Ah! Kena tengok ni, katanya remake filem Rahsia tahun 1987, lakonan Noorkumalari sebagai Ramlah dan Allahyarham Shukery Hashim sebagai Hamdan.
Walau bagaimanapun pada malam itu, perasaan saya tiba-tiba kurang selesa. Saya sendiri tidak pasti. Langkah saya seperti berat untuk pergi ke sana. Namun, saya tetap juga ingin pergi kerana ingin menonton filem tersebut.
Ketika saya sedang menunggu lif di tingkat 6, tiba-tiba debaran di dada makin terasa. Seperti ada sesuatu yang tidak beres rasanya. Namun saya masih juga bingung. Entah apakah alamatnya saya sendiri tidak tahu. Kemudian pintu lif pun terbuka dan saya mendapati ia kosong tiada sesiapa di dalamnya.
Saya pun apa lagi, terus masuk. Cepat-cepat tekan punat 'close' pintu tersebut dan menekan punat G. Baru sahaja pintu itu nak rapat, tiba-tiba ia terbuka semula seolah-olah ada orang lain yang ingin masuk. Namun apabila saya perhatikan, tiada sesiapa pun yang meluru ke dalam. Tanpa berfikir apa-apa yang mencurigakan, saya pun tekan punat itu sekali lagi dan pintu kembali tertutup.
Saat saya perhatian pada punat-punat lif itu, saya terlihat punat aras tiga menyala. Dan tiba-tiba... lif itu pun berhenti di aras tersebut. Saat pintu lif terbuka, sekali lagi saya perhatikan tiada sesiapa yang menunggu untuk masuk. Menggeleng saya jadinya dan beranggapan lif ini tak betul agaknya. Maksud saya, rosak.
Saat pintu lif mula tertutup, tanpa saya duga, terasa ada hembusan angin menerobos masuk ke dalam. Suasana berubah jadi dingin. Perubahan drastik itu membuatkan dada saya semakin berombak resah. Mana tidaknya,, bulu roma saya tiba-tiba merinding. Belakang tengkuk saya pun turut meremang seolah-olah ada sesuatu yang sedang berdiri di belakang saya.
Perasaan haru biru dikawal sebaik mungkin. Hakikatnya jantung saya bagaikan hendak luruh namun begitu saya cuba bertindak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Dan sebaik sahaja lif tiba di ground floor, sekali lagi terasa angin menerobos keluar setelah pintu itu terbuka. Suhu dingin berganti hangat. Lantas dahi saya mula merenik peluh.
Entah apa sebenarnya yang berlaku saya sendiri kurang pasti. Akan tetapi perasaan ini menduga bahawa ada sesuatu yang telah berlalu keluar dari lif tersebut. Saya tidak mahu berfikir panjang lalu meneruskan langkah menuju ke reception untuk menyerahkan key card.
Saya turut membawa perasaan yang sama ketika menungga motosikal menuju ke KTCC Mall yakni merasakan ada yang mengikuti. Ah! Mungkin itu perasaan cuma. Saya cuba mengabaikan tapi tetap juga kurang selesa. Akhirnya saya buat tidak tahu meskipun saya bukanlah orang yang berani.
Usai menonton wayang, saya mengambil keputusan untuk pulang ke hotel. Apabila melihat pada skrin telefon bimbit, terdapat beberapa miss call daripada kawan saya itu. Mana saya nak perasan, saya silent. Iyalah berada di dalam panggung, mestilah dalam mood senyap. Jika tidak pasti menganggu orang lain. Lupa pula saya nak aktifkan 'vibration'.
Saya membuat panggilan semula, dan kawan saya itu ingin bertanya saya di mana serta key card ada dengan siapa. Aduhai, dia juga yang pesan supaya tinggalkan di kaunter itu. Mungkin dia terlupa agaknya. Bila saya sampai di hotel, saya pun tekan loceng bilik, dia dah ada dan bersiap untuk tidur.
Singkat cerita, kalau tak silap lewat malam, saya terdengar dengkuran kuat. Kawan saya berdengkur sehingga terganggu lena saya. Kuatnya Ya Robbi... sukar saya nak gambarkan. Tetapi saya tak bermaksud mengecilkan hatinya, cuma saya rasa kurang selesa, itu sahaja.
Bila saya berpaling dari katil saya tu, dalam samar-sama, saya mendapati dia sedang berada di birai katil. Kepalang terteleng-teleng ke kiri dan ke kanan seolah-olah sedang meratibkan sesuatu. Ketika itu dengkuran lenyap cuma saya mendengar bahasa yang sukar saya fahami. Pendek kata saya tak faham langsung bahasa yang dituturkan. Ia kurang jelas.
Saya abaikan, barangkali mengigau agaknya, duga saya. Lantas saya pun berpaling mengiring sambil membelakanginya. Entah kenapa, suhu bilik terasa sangat hangat. Penghawa dingin yang terpasang seolah-olah tidak berfungsi dengan baik. Ia menyukarkan lagi keadaan untuk saya kembali lena. Namun apa yang peliknya saya rasa sepi. Suara yang saya dengar tadi turut lenyap.
Dek rasa curiga, saya pun berpaling semula dan mendapati tingkap bilik terbuka sambil langsir melambai-lambai ditampar angin malam. Dan di tepi tingkap itu berdiri kawan saya itu menghadap ke luar jendela. Naik risau saya, dia tu kelihatan seperti hendak terjun. Kalau nak difikirkan, macam tak muat aje lubang tingkap itu kalau dia nak menerobos keluar. Namun dek rasa terkejut itu membuatkan saya terus menerpa ke arahnya.
Sebaik saya hendak mencapai dia, tiba-tiba halwa telinga saya menangkap dengkuran kuat. Secara drastik saya berpaling ke belakang lalu mendapati sekujur tubuh sedang nyenyak tidur. Pantas saya menoleh semula ke arah tingkap dan membuatkan jantung saya mahu gugur. Tiada kelibat sesiapa pun, dan tingkap masih terbuka.
Tanpa berlengah saya terus melompat ke katil saya dan pantas menarik selimut. Berbungkus saya malam itu tak kira panas atau sejuk, semua itu saya tak ambil peduli lagi. Dan keesokkannya saya beritahu yang dia mengigau, namun dia menjawab dengan pertanyaan, "Ya ke aku mengigau?" sambil tersengih-sengih. Saya juga yang penasaran sendiri. Nanti saya sambung sesi kedua kursus tersebut di adakan. Ia berlangsung di tempat yang sama. Insyaallah.
Penulis: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Diekori Sejak Dari Bilik Hotel"
Catat Ulasan