KARAT - BAB 1
Ahad, 1 Oktober 2023
Add Comment
Ketika Afnan melangkah masuk ke sebuah rumah banglo yang masih dalam pembinaan itu, bola matanya terbeliak besar setelah melihat sekujur tubuh yang tertiarap di lantai mozek di bahagian tamu. Alangkah terkejutnya Afnan setelah mendapati tubuh itu berlumuran darah merah pekat yang masih meleleh. Berdasarkan dari kondisi mayat tersebut ianya seperti baru sahaja dibunuh sebelum mereka tiba.
“Aduhhh!!! Siapa pulak yang mati dekat sini ni?” Afnan menggelabah lalu dia pergi mendapatkan Malik rakan sekerjanya.
“Kau kenapa Nan lari macam nampak hantu?” Tegur Malik sebaik sahaja Afnan berdiri di hadapan setelah terkocoh-kocoh berlari ke arahnya.
“Lik! Ada mayat dekat dalam!” Dada Afnan terus berombak resah. Dadanya turun naik dengan pantas kerana masih direntap kebingungan dan rasa cuak.
“Hah, mayat?” Malik turut direntap perasaan sedemikian setelah dimaklumkan oleh Afnan. “Kau ni biar betul Nan, jangan nak main-main,” sambung Malik di antara percaya dan tidak.
“Betul Lik! Aku tengok dengan mata kepala aku sendiri. Kalau kau tak percaya, mari ikut aku!” Afnan bersungguh-sungguh meyakinkan Malik.
“Ok baik! Kalau kau mempermainkan aku, siaplah kau nanti.” Malik memberikan amaran lalu pantas Afnan menarik tangan Malik supaya mengekorinya masuk ke dalam untuk melihat sendiri tentang apa yang didakwanya.
Mereka pun bergegas meninjaunya dan sekali lagi Afnan kebingunan. Laju tangan kanannya menggarukan kepala yang tidak gatal. Kelip-kelip mata Afnan memandang Malik silih berganti ke arah tempat mayat tadi.
“Mana Nan? Mana mayat yang kau cakap tadi tu?” Soal Malik mula mendengus geram.
“Betul Lik, tadi mayat tu ada dekat situ. Aku sendiri yang nampak.” Sekali lagi Afnan cuba yakinkan Malik biarpun mayat yang dilihat di situ telah tiada. Dengan kesan darah merah pekat juga tiada.
“Ah kau ni Nan! Saja je pagi-pagi hari nak bikin kecoh. Benda tak ada kau cakap ada. Jangan-jangan itu cuma imaginasi kau sahaja.” Malik dihambat kekecewaan. Terasa diperbodohkan oleh teman sendiri.
Afnan masih dihentam rasa sangsi di atas apa yang dilaluinya. Walaupun dia cuba yakinkan Malik, namun itu semua sia-sia. Mayat itu langsung tiada di situ. Lesap! Bahkan kesan darah juga hilang serta merta.
“Err...” Afnan kehilangan kata-kata. Dia tidak dapat menjelaskan apa-apa lagi. Lagipun dia tidak dapat mengecam mayat siapakah itu kerana wajahnya dipenuhi toresan luka.
“Sudahlah lebih baik kita sambung buat kerja lagi bagus.” Ujar Malik beredar dari ruang tamu itu.
Setelah Malik hilang dari pandangan, tiba-tiba Afnan terdengar ada bunyi sesuatu yang telah jatuh ke lantai di aras dua. Terkejut Afnan sehingga dia tengadah berdekatan tepi tangga.
***
Bola mata Mahani membulat besar. Dadanya pula berombak kencang. Jantungnya bagaikan hendak gugur setelah mendengar khabar yang mengejutkan itu. Dia seolah-olah tidak percaya terhadap berita tersebut.
“Kau jangan main-main Malik! Aku tak percaya dari apa yang keluar dari mulut kau ni.” Mahani cuba menafikan kenyataan yang dihulurkan oleh Malik. Tajam renungan matanya kali ini terhadap Malik seperti mahu ditelan hidup-hidup sembari tangannya menggosok perut.
“Betul Ani, aku tak tipu. Aku cakap benda yang betul. Afnan hilang. Aku pun dah maklumkan kepada pihak polis tentang perkara ini.” Ujar Malik yang nampak gelisah di tangga rumah adiknya, Mahani.
“Aku tak percaya! Macam mana suami aku boleh hilang sedangkan dia selalu dengan kau?!” Bentak Mahani yang masih tidak menerima hakikat tersebut.
Malik menggeleng laju kepalanya tatkala Mahani bertegas menolak dakwaannya. Dia sudah menyatakan kebenaran namun terpulang pada Mahani mahu percaya ataupun tidak.
“Betul Ani, memang dia dengan aku tapi dia tak sentiasa ada depan mata aku. Aku hanya terjumpa sebelah kasut dia ni saja berhampiran belukar belakang banglo tu. Sama ada kau nak percaya atau tidak itu terpulang dan aku tak ada masa nak bermain-main dengan kau dalam perkara ini.” Beritahu Malik namun itu terserah kepada Mahani sendiri kerana yang didakwa telah hilang itu merupakan suaminya.
“Errr sekarang ini aku nak kena buat apa?” Barulah sekarang hati Mahani sedikit kendur namun itu tidak dapat menghapuskan kegusaran yang menggulung jiwanya.
“Biar aku dan orang-orang kampung pergi cari Afnan. Aku sendiri pun tak pasti bagaimana perkara ini boleh berlaku tapi...” Kata-kata Malik terhenti di situ.
“Aku rasa kau mesti tahu sesuatu. Kau jangan nak berahsia dengan aku, Malik. Aku kenal sangat perangai kau.” Sela Mahani bersama kerutan di dahinya yang berlapis-lapis.
“Boleh tak kau bertenang sikit? Bukan kau seorang sahaja yang risau. Dia tu pun kawan baik aku, merangkap adik ipar pulak tu. Takkanlah aku nak rahsiakan apa-apa dari kau dengan benda macam ini. Cuma pagi tadi ada hal yang pelik sikit. Afnan bertingkah aneh,” Malik memaklumkan kejadian yang dilalui bersama Afnan di tempat kerja.
“Apa yang kau maksudkan ni Malik? Selama ini hubungan aku dengan Afnan tak ada apa-apa yang pelik berlaku, semuanya baik-baik sahaja. Aku rasa mesti ada yang tak kena di antara kau dengan Afnan,” Mahani menanam kesangsian.
“Aih! Kata-kata kau seperti mahu membuat tuduhan sahaja. Kau jangan Ani... Aku datang sini cuma nak beritahu kau, tapi memandangkan kau dah cakap macam tu, rasanya lebih baik aku pergi dari sini sebelum keadaan menjadi lebih parah.” Malik tidak mahu lama-lama lagi yang memungkinkan keadaan bertambah buruk.
“Aku ada tuduh apa-apa ke? Yang kau nak terasa sangat ni kenapa? Sekarang kau tunjukkan pada aku kat mana kau jumpa kasut tu.” Pinta Mahani bersama jari telunjuk dihalakan ke arah kasut yang dipegang Malik.
“Okey baik, kalau kau tak percaya, kau boleh ikut aku.” Balas Malik lantas Mahani yang sedang mengandungkan anak Afnan pun mengikuti Malik. Usia kandungan itu hanya menanti ketika untuk dilahirkan.
Meskipun curiga Mahani kian bercambah, namun dia tetap mahu melihat dengan mata kepalanya sendiri. Dia sebenarnya berasa kurang yakin. Mustahil suaminya boleh hilang begitu sahaja.
***
Suasana pagi di kedai runcit begitu hening. Awal pagi begini belum ramai pelanggan yang datang membeli. Adalah juga beberapa orang yang datang, itupun pemuda kampung membeli rokok.
Kedai yang berada di dalam kampung tidaklah sekencang kedai yang berada di kawasan yang sibuk seperti di pekan misalnya namun kedai runcit yang satu ini turut menjual barang-barang basah yang diperlukan maknanya serba serbi ada walaupun tak banyak.
Di suatu sudut, berdiri seorang perempuan sedang mencari barangan keperluan dapur. Kemudian datang seseorang masuk melenggang-lenggang patah menuju ke dalam kedai sambil mengepit payung celah ketiaknya.
Tercari-cari dia akan kelibat Rokiah yang telah diberitahu oleh Mariam bahawa anaknya itu pergi ke kedai. Lagipun rumah Rokiah dengan kedai itu berhampiran sahaja.
Bagaikan magnet menarik matanya untuk memandang susuk tubuh Rokiah. Haaa!!! Situ pun kau... Desisnya perlahan dan terus terkocoh-kocoh membedil langkah.
"Sini pun kau! Puas aku cari," Zainab bersuara agak keras sambil berdiri sebelah Rokiah. Apa lagi, Rokiah pun melurut-lurut dadanya gara-gara terperanjat disergah begitu.
"Allahuakbar! Terkejut aku. Kau dah kenapa kak buat terperanjat aku? Tak boleh ke bila jumpa tu beri salam dulu?" Sempat lagi mulut Rokiah membebel bersulamkan peringatan buat Zainab.
"Iyalah... Assalamualaikum..." Zainab akur.
"Waalaikumussalam. Hah, reti pun kau kak... ingatkan dah tak reti nak bagi salam." Kerling Rokiah.
"Ah kau ni, jangan nak berlagak macam ustazah sangat... Kalau ya pun nak beri nasihat, tak payahlah nak buat muka macam tu. Serupa dugong dah aku tengok." Sempat lagi Zainab memerli.
"Peduli pulak aku kak. Hah, apa cerita datang cari aku sampai kat sini?" Soal Rokiah.
"Laaa, aku pun sambil-sambil datang nak beli barang. Eh, Kau ada dengar cerita terbaru tak Kiah?" Zainab mencuit lengan Rokiah.
"Cerita apa pulak kali ni Kak Nab, ada hal yang menarik ke yang berlaku di kampung kita ni?" Soal Rokiah yang mula ingin tahu. Memang pemberita bergerak ini ada sahaja hal yang ingin dikongsikan. Rokiah pula menjadikan telinganya sebagai tadahan gosip-gosip liar.
"Sudah tentulah Kiah oih... Takkanlah kau tak ada dengar khabar langsung?" Zainab kerling-kerling matanya sembari tangan rancak memilih-milih sawi yang segar untuk dimasak tengah hari nanti.
"Kak Nab ni, kalau aku tahu, tak bodoh aku nak tanya kau, akak. Cepatlah cakap, apa dia?" Rokiah tidak sabar-sabar lagi sambil menyiku perlahan lengan Zainab.
"Sekarang ni tengah kecoh laki Mahani hilang masa tengah bekerja." Balas Zainab bersungguh-sungguh.
"Maksud akak, Abang Afnan ke? Crush aku tu, kak. Aduh... Macam mana boleh hilang pulak? Patutlah aku ada dengar-dengar juga khabar katanya ada orang kampung kita ni hilang. Tak ada pulak aku nak usul periksa siapa, tapi tak sangka rupanya crush aku yang didakwa telah hilang." Ujar Rokiah membuatkan Zainab sedikit mual apabila Rokiah mengaitkan tentang 'crush'.
Ish... Cerminlah muka kau tu dulu Kiah oih... Ada hati nak mengaku yang si Afnan tu kau punya crush... Dasar tak sedar diri! Bisik hati Zainab. Dia senyum-senyum bagaikan kerang busuk untuk memalingkan rasa jengkel.
"Iyalah Kiah oih... Bukan ke kau yang tergila-gilakan sangat dekat si Afnan tu? Sampai sekarang kau masih duk tunggu dia masuk meminang kau sehinggakan pinangan Rizal pun kau tolak mentah-mentah, kan? Rizal tu bukannya tak kacak... Tapi itulah cuma pemalas sikit," tanpa segan silu Zainab memantulkan butir bicara yang mampu meledakkan ulu hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Tapi tidak bagi Rokiah, dia telah terbiasa dengan mulut yang tiada insuran seperti Zainab. Tak makan saman.
"Tak kisahlah kak... Jadi anak dara tua pun aku sanggup demi Abang Afnan. Cuma aku tak sedap hatilah kak bila akak cakap begitu. Aku pun naik hairan, macam mana Abang Afnan boleh hilang pulak, padahal baru beberapa hari lepas aku terserempak dengan dia kak..." Rokiah menjelaskan kebimbangan. Raut wajahnya berubah bila mengenangkan kekasih idaman telah hilang tanpa dikesan.
"Eh Kiah... Kau memang tak pernah serik dengan Ani tu, kan? Bagaimana kalau dia fikir kau yang sorokkan suami dia? Lagi parah kalau dia datang serang kau nanti. Bukannya dia tak tahu bahawa kau begitu gigih nak rampas suaminya," Zainab cekal mendirikan spekulasi bagi membuatkan kebimbangan di hati Rokiah terus membukit.
Berkerut-kerut muka Rokiah jadinya. Kata-kata Zainab kali ini seperti jarum yang berjaya menembusi dinding jantung dan hatinya. Darah luka terus meleleh bagaikan tiada henti-hentinya lagi.
"Kau ni Kak Nab dah lebih..." Rokiah keciokan bebola matanya.
"Aik, kau marah ke? Kalau betul kau tak sorokkan suaminya, buat apa kau nak marah-marah?" Sengaja Zainab menyimbah minyak ke dalam api kemarahan orang lain.
"Tapi mulut kau ni kak buat orang terasa," Rokiah ketap bibir seraya mengumam geram.
"Mak aih... Kata tak mudah koyak, relakslah Kiah... Yang penting sekarang ni kau kena buktikan yang kau benar-benar setia dengan Abang Afnan kesayangan kau tu. Cari punca bagaimana dia boleh hilang tiba-tiba macam tu... Misteri kau tahu tak? Sampai sekarang orang belum jumpa. Entah mati atau hidup, tiada siapa yang boleh pastikan," balas Zainab lalu mengatur langkah ke kaunter pembayaran meninggalkan Rokiah terpinga-pinga.
Rokiah mula terkesan terhadap kata-kata Zainab itu. Mungkin ada betulnya juga. Rasanya dia perlu turut serta dalam menyiasat hal ini.
***
Mahani buntu. Sudah seminggu suaminya tidak pulang. Pihak berkuasa yang menjalankan usaha mencari Afnan belum menemui apa-apa petunjuk. Kehilangan Afnan secara misteri itu belum ada jawapannya.
Namun, orang yang paling hampir adalah Malik yang dikatakan menjadi saksi utama. Sedikit sebanyak terjentik di hati Mahani akan rasa curiga terhadap abang kandungnya sendiri. Mungkin ada sesuatu yang tidak diceritakan sepenuhnya oleh Malik kepada dirinya mahupun kepada pihak berkuasa.
"Sudahlah Ani, kau janganlah sedih sampai macam ni sekali..." Fatimah tidak tegar melihat anaknya bermuram. Air mata Mahani terus setia merembes. "Kau kena makan... Dan kalau kau tak kasihankan diri kau, harap kau tolonglah kasihankan cucu mak yang kau kandungkan itu..." Fatimah terasa hiba. Dia mahu Mahani kuatkan semangat.
Perlahan-lahan Mahani memandang maknya. Air mata yang merembes itu pantas seka namun ia tetap bertakung di tubir matanya.
"Mak... Kenapa Ani kena lalui semua ini mak? Ani yakin, Abang Afnan masih hidup mak... Anak dalam perut ini tengah tunggu ayahnya mak..." Pantas tubuhnya didakap oleh Fatimah.
"Ani....kita serah pada Allah... Kita jangan putus berdoa minta supaya Afnan ditemui." Belakang Mahani digosok-gosok bagi meredakan sedikit perasaan hiba yang melingkari jiwa.
Mahani diminta tinggal bersama maknya. Fatimah tidak sedap hati membiarkan Mahani sendiri di rumah. Lagipun Mahani sedang sarat mengandung. Buat sementara waktu biarlah Fatimah yang jaga.
"Tidurlah Ani, sekarang dah jauh malam. Mak tak mahu kesihatan kau terjejas pulak nanti," Fatimah segera bangun. Dia mahu Mahani berehat.
Ketika Mahani bersendirian di kamar sambil melayani perasaan yang masih dihurung kebimbangan, tiba-tiba sahaja jendela kamarnya terlangah sendiri. Angin malam terus menerobos masuk mencuit wajah.
Suasana menjadi semakin dingin, namun tidak lama selepas itu suhu berubah pula menjadi hangat secara mendakak. Keringat terus merenik di dahinya. Seluruh tubuh terasa membahang.
Bayi yang berada di dalam kandungan terasa menendang-nendang perutnya. Riak wajah Mahani berkerut-kerut menahan kesakitan seperti ada sesuatu yang cuba keluar dari rahimnya secara paksa.
"Warghhhhh!!!" Mahani bertempik sekuat hati. Dia yang bersandar rapat di kepala katil seolah-olah tidak dapat bergerak. Namun suaranya seperti tidak disambut oleh sesiapa. Seperti tiada yang dapat mendengarnya.
"Makkkkk!!!!" Sekali lagi Mahani bertempik dengan memanggil ibunya dan malangnya tiada respon.
Dengan susah payah, Mahani cuba melawan. Tubuhnya pula bagaikan digam. Matanya melilau perhatikan keadaan sekeliling, tetapi tiada sesiapa yang berada di kamarnya. Dia hanya mengerang kesakitan di dalam kesamaran. Tangannya menggenggam cadar dengan begitu kuat sehingga koyak rabak jadinya.
Tidak semena-mena, seperti ada sesuatu yang telah mendorong kedua-dua belah kakinya untuk mengengkang seluas-luasnya. Nafasnya tercungap-cungap, dadanya pula berombak resah.
Nalar fikirnya tidak dapat memastikan apa sebenarnya yang berlaku. Sehinggalah suatu saat kepalanya terasa berpusing-pusing lalu pening jadinya....
Karya: Rashid Salim
0 Komentar untuk "KARAT - BAB 1"
Catat Ulasan