Siri Seram Hakim - Bab 3

Bab 3


Di suatu malam… sepasang suami isteri sedang berdukacita, mereka berbicara tentang apa yang terjadi. Si suami menasihati isterinya agar bertenang.

“Sudah-sudahlah tu Tijah awak bertengkar dengan Sarah… walau macam mana pun dia tetap menantu kita jugak.” Karim harap isterinya tidak lagi berkelahi dengan Sarah yang masih lagi dalam iddah kematian suami.

“Tidak bang. Memang dia la yang sihirkan anak kita tu. Tak ada orang lagi dah.” Khatijah sehabis pasti.

“Tak baik main tuduh-tuduh. Islam tak ajar kita tuduh melulu tanpa menyiasat terlebih dahulu perkara ni.”

“Nak siasat apa lagi bang? Dah jelas bang. Selepas je kahwin, dia rancang bunuh anak kita. Sengaja minta bercuti dekat kawasan sana. Awak pun tahu kan yang Hakim tu bukannya tahu berenang. Tambah pula Hakim tu ikut je cakap dia. Lelaki ni kalau terlalu ikut cakap perempuan ada la tu benda yang tak kena.” Khatijah tetap dengan tanggapannya.

“Macam saya sekarang ni terpaksa ikut cakap awak? Apa yang awak cakap semuanya betul?” Karim mahu Khatijah faham.

“Abang lainlah… takkan la saya nak buat macam tu pulak.”

“Awak tak ada bukti Tijah. Kalau main cakap je semua orang boleh.”

“Saya memang ada bukti.”

“Apa dia? Mana buktinya?” Karim mahu Khatijah tunjukkan bukti sebenar yang menunjukkan bahawa Sarah yang bertanggungjawab di atas kematian Hakim.

Karim mahu isterinya itu menerima takdir bahawa kematian anaknya sudah suratan. Ia adalah ajal dan bukannya salah sesiapa. Lagipun semua ini adalah ketentuan. Cuma dia kesal apa yang terjadi di kampung ini sering dikaitkan dengan anaknya. Dia amat terkilan.

“Abang, abang tak terfikir ke hah? Selepas Hakim meninggal, apa yang terjadi dekat kampung ni? Rohnya tak tenteram. Dia macam nak beritahu kita sesuatu. Orang kampung diganggu. Mereka menuduh Hakim yang bukan-bukan. Semua ni memang angkara keluarga Halimah dengki dengan kita bang. Mereka dengki dengan kesenangan Hakim bahkan nak bolot segala milik Hakim. Memang ni muslihat mereka! Sekarang mereka dapat apa yang mereka nak!” Bentak Khatijah yang memang tidak pernah berbaik sangka. Baginya dia amat mencurigai keluarga Sarah.

“Tijah, kalau mereka dengki, kenapa mereka terima lamaran Hakim memperisterikan Sarah di saat ramai yang tolak lamaran Hakim?” Karim mahu Khatijah memikiran hal tersebut.

“Itu selepas Hakim miliki kesenangan bang. Masa Hakim susah dulu, ada ke siapa yang pandang dia? Tak ada bang… malah menghina rupa paras dia.” Khatijah meluahkan kesedihan. Walau bagaimana rupa, Hakim tetap anaknya.

“Tapi Sarah tak pernah menghina Hakim. Tak pernah sekalipun abang dengar Sarah kata yang bukan-bukan tentang Hakim. Malah abang tengok Sarah benar-benar ikhlas mencintai anak kita tu.”

“Jadi abang percaya dengan lakonan dia? Semua itu nak memperdayakan kita bang. Saya memang tak puas hati bang. Memang sangat-sangat tak puas hati.”

“Tijah… itu hak Hakim nak serahkan semua tu pada Sarah.”

“Tapi secepat itu bang. Seolah-olah Hakim dipaksa untuk menyerahkan segala harta tu. Hakim macam jadi pak turut sahaja bang. Dah macam kena pukau.”

“Astaghfirullah…. Tijah… janganlah berangapan buruk… kalau Sarah tu tak baik orangnya, dia takkan datang jenguk kita, takkan pernah tanya khabar kita selepas dia dapat semua tu.” Karim agak kecewa dengan cara pemikiran Khatijah. Dia tahu bahawa isterinya terlalu berfikiran negatif sehingga mempengaruhi kewarasan akal fikiran.

Karim dapat merasakan bahawa Khatijah takut dengan kehilangan. Dia telah kehilangan Hakim, kini kehilangan banyak kebendaan. Kesenangan yang ada sudah ditukar milik kepada nama Sarah tanpa pengetahuan Khatijah. Maksudnya harta benda Hakim semua menjadi milik Sarah diserahkan sewaktu hidup sebelum Hakim menemui ajalnya.

Disebabkan hal itu Khatijah semakin tidak berpuas hati. Namun, Karim sedaya upaya memujuk isterinya agar menerima kenyataan. Tetapi Khatijah tetap berdegil.

“Bagaimana dengan tuduhan mereka bang? Mereka jugak tuduh anak kita guna-gunakan Sarah. Dia kata Hakim pakai minyak dagu untuk pikat Sarah. Limah tu kata terpaksa terima lamaran Hakim gara-gara Sarah nak bunuh diri kalau tak dapat kahwin dengan Hakim. Saya tak percaya bang, tu semua lakonan mereka je.” Luah Khatijah.

“Itu abang tak pasti Tijah. Sudahlah… hal yang lepas tu biarlah lepas…” Karim menggosok belakang isterinya lalu disorong kepala Khatijah ke bahunya. Khatijah terbungkam seketika.

Tiba-tiba pintu rumah mereka diketuk. Karim segera bangun lalu membukanya. Dia tercari-cari kelibat orang namun tiada sesiapa. Dia menutupnya semula. “Siapa bang?” soal Khatijah.

“Tak ada orang.” Balas Karim.

Waktu dia melangkah untuk ke sofa semula, sekali lagi pintu diketuk. Khatijah pun turut bangun mendekat dengan Karim. “Bang… kenapa saya rasa tak sedap hati ni…” Khatijah menyuarakan keresahan. Bulu romanya merinding.

“Rasanya abang dah kunci pagar… siapa pulak yang lompat pagar rumah kita ni main ketuk-ketuk pintu?” Bisik Karim.

“Jangan-jangan Hakim balik tak…?” Tiba-tiba Khatijah teringatkan Hakim. Dia mula memikirkan yang bukan-bukan.

“Awak jangan nak mengarut… Anak kita dah mati.”

“Barangkali tu Hakim bang… biarlah dia masuk…” Khatijah merayu.

“Tu bukan anak kita Tijah. Tu benda lain.” Beritahu Karim.

“Hakim bang. Tu mesti Hakim.” Khatijah mula menangis.

“Ibu…..” Tiba-tiba terdengar suara dari luar memanggil ibu.

“Hakim anak ibu!” Khatijah berlari ke arah pintu lalu membukanya.

“Tijah!” Karim kejar.

Sebaik sahaja pintu dibuka, memang tiada siapa, namun hanya angin sahaja menerobos masuk melanggar tubuh mereka.

Cepat-cepat Karim tutup pintu. Dia tarik Khatijah masuk ke dalam.

“Tijah. Anak kita dah mati. Tolonglah jangan buat macam ni.”

“Hakim!!!” Khatijah mengamuk dekat situ. Karim cepat-cepat pergi ambil ubat Khatijah.

“Makan ubat ni Tijah! Makan!” Karim memaksa isterinya makan. Dia mahu isterinya segera pulih. Dia berharap isterinya cepat tenang. Setelah diberi makan ubat, dia berikan pula air. Dia gosok-gosok kepala isterinya di ribaan. Perlahan-lahan dada yang berombak mula reda.

***

Leha terserempak Senah di pasar pagi tempat jualan ikan dan sayur-sayuran. Maka sempatlah mereka bercerita tentang masalah yang melanda.

“Eh Senah, bukan ke kau dah pagar rumah kau tu, tapi kenapa masih ada benda duk datang kacau lagi?”

“Tu yang aku hairan ni Leha oih... Entah macam mana dua-dua boleh pengsan kat celah dapur tu. Lagipun Wawa sendiri yang nampak benda tu.” Senah mengeluh.

“Menurut anak aku pulak, dia perasan muka benda tu macam muka arwah si Hakim. Jangan-jangan benda yang sama yang bunuh si Mail tu tak?” Duga Leha.

Senah berkerut dahi. Dia turut merasakan hal yang sama. Boleh jadi ada benarnya.

Senah cuit lengan Leha, “Eh Leha, apa betul ke Hakim tu ada saka?”

“Apa tidaknya Senah oih...kalau dah benda tu berupa dia, memang ya la tu... Kau ni...” Leha percaya itu adalah saka kepunyaan Hakim yang mengganggu penduduk kampung.

“Masalahnya sekarang ni Leha, takkan tak ada orang yang bijak pandai tangkap benda tu?”

“Eh eh kau ni, ada pulak tanya aku... Kenapa kau tak tanya je dengan bomoh yang kau jumpa tu?”

“Kau jangan lupa Leha oih... Kau pergi dengan aku sekali hari tu...” Senah mengingatkan Leha yang buat-buat lupa. Leha sengih-sengih macam kerang busuk.

“Ya tak ya jugak. Tapi kita tak boleh biarkan hal ni Senah, nanti anak-anak kita pulak yang jadi mangsa.” Ucap Leha yang bimbangkan keselamatan Heliza. Begitu juga Senah yang risau akan anaknya si Wawa.

Anak mereka berdua dah trauma dan dilanda ketakutan. Masing-masing rasa diri mereka sedang diburu. Malah takut hendak keluar rumah.

Bila waktu malam, ada ketikanya Heliza dan Wawa menjerit ketakutan dan katanya ternampak bayang-bayang orang di dalam bilik tidur mereka. Itulah yang merisaukan hati si ibu.

***

Warung Man Roti Canai penuh pelanggan. Di sudut kedai pula kelihatan Kadir sedang berbincang dengan Rahim. Sambil menghirup secawan kopi Kadir terpandang kelibat Karim yang sedang buat pembayaran di kaunter usai memilih kuih muih.

“Him, tu ha si Karim...”

“Kau panggillah dia.” Lalu Kadir akur dengan suruhan Rahim.

“Karim!” Panggil Kadir lalu Karim pun menoleh. “Mari la dulu duduk-duduk minum dengan kami.” Ucap Kadir tapi Karim hanya mengangkat tangan sambil senyum, kemudian beredar.

“Kau tengok la perangai Karim sejak akhir-akhir ni Him. Macam mana aku tak syak keluarga diorang ni ada membela.” Beritahu Kadir.

“Ish... Aku ni tak tahu la nak cakap apa Dir. Kematian Mail tu dah pelik. Kalau nak diikutkan hati aku ni pun, memang syak juga ada kena mengena dengan keluarga Karim tu. Terutama sekali arwah Hakim tu.” Rahim menggeleng sambil betul kedudukan kopiahnya.

“Itulah Rahim... Aku pernah cakap perkara ni depan Imam Hadi tapi dia tak percaya. Sekarang ni pulak Karim tu dah jarang ke surau. Mesti ada benda yang tak kena.” Ulas Karim sambil bersandar rapat ke kerusi.

“Imam Hadi tetap dengan pendiriannya mengatakan semua ni adalah takdir.” Balas Rahim.

“Ya dan arwah Mail pernah tekankan pasal ni, yang ada orang bela hantu dalam kampung kita ni. Pada malam kejadian, dia bertanya la pada Karim kut arwah Hakim ada melakukan apa-apa amalan syirik ke sehingga keadaan jadi macam tu. Ehh... Karim boleh pulak mengelak tak nak jawab. Terus esoknya aku jumpa mayat Mail terbaring kat surau dalam keadaan macam tu.” Cerita Kadir semula.

“Eh jap... Pada malam tu kau ada sekali ke?”

“Eh tak la aku dah balik dulu... Tapi Imam Hadi ada beritahu aku yang arwah Ismail ni ada bertanyakan soalan yang barangkali buat Karim tersinggung...” Ujarnya. Rahim angguk-angguk cuba memahami penceritaan Kadir.

“Walau macam manapun, Karim mesti ada kaitan dengan semua ni. Sebabnya Hakim tu kan anak dia. Dan aku dengar, anak Leha dan anak si Senah kena ganggu dengan saka Hakim.” Tutur Rahim membuatkan Kadir semakin berminat nak tahu.

“Kena ganggu?”

“Ya Dir, katanya wajah makhluk tu sebijik macam muka Hakim.” Beritahu Rahim terus cucuh rokok sebatang. “Anak-anak dorang dah macam trauma.” Sambung Rahim sambil menghembus asap rokok.

“Sah memang sah la kan semasa hayat Hakim tu ada buat sesuatu. Kau bayangkan la, macamana orang yang susah, tak ada kawan dan jongang macam tu tapi boleh hidup senang, siap boleh jadi tauke ayam. Kaya pulak tu. Susah aku nak mempercayainya.” Kadir turut menaruh curiga.

“Dah tu apa kena mengena anak si Leha dan si Senah tu sampai kena ganggu pulak?” Rahim ingin tahu apa pula menurut Kadir.

“Boleh jadi sebuah dendam.”

“Dendam?”

“Ya.”

"Dah tu yang Mail mati pasal apa pulak?"

"Mesti ada kaitannya... Sama ada cepat atau lambat, kita akan dapat tahu jugak.”

“Hurm....” Rahim mengusap-usap dagunya sambil berfikir.

***

Sarah keluar dari ceruk dapur untuk masuk semula ke dalam bilik. Dia pergi ke dapur hanya untuk minum air. Haus tekaknya tadi.

Waktu dalam iddah kematian ini, dia tinggal bersama mak dan ayahnya. Maknya Halimah risau kalau Sarah tinggal sendirian.

“Mak nak cakap sikit dengan kau ni Sarah.” Halimah menegur.

“Apa dia mak?” Sarah mematikan langkahnya.

“Kau jangan pergi lagi berjumpa dengan Tijah tu, mak tak suka.”

“Mak... Dia kan mak mentua Sarah.”

“Tak payah. Itu dulu masa anak dia masih hidup.”

“Apa mak cakap ni?”

“Kamu ni mudah lupa eh apa yang dia tuduh kita? Apa yang dia cakap pada kamu?” Halimah sakit hati.

“Yang penting Sarah tak buat semua tu mak. Bagi Sarah Abang Hakim tetap hidup mak. Dia ada. Dia ada je mak...”

“Kamu merepek apa ni Sarah? Dia dah mati la.”

“Tak mak, Abang Hakim belum mati. Yang ditanam hanyalah jasadnya sahaja tapi jiwanya tetap hidup.” Balas Sarah membuatkan Halimah merasakan sikap Sarah banyak berubah. Cakap yang pelik-pelik sahaja.

“Kamu jangan nak mengarutlah. Kamu jangan terhegeh-hegeh pergi menyembah orang tua yang tak kenang budi tu lagi. Dah la menuduh kita perampas harta anaknya. Macam-macam la dia cakap. Sakit hati mak ni tau. Yang paling mak geram dia boleh kata kamu yang bunuh anak dia. Memang tak masuk akal langsung.” Bebel Halimah.

“Dah la mak... Sarah nak rehat,”

“Rehat apa lagi Sarah oih... Matahari dah meninggi ni...”

“Sarah tak sedap badan la mak... Malam tadi Abang Hakim balik...”

“Kamu ni okey tak okey ni Sarah?”

“Okey mak... Dah la mak... Sarah nak rehat ni...” Balas Sarah lalu mengorak langkah menuju ke kamarnya.

Sebaik sahaja Sarah hilang dari pandangan, tiba-tiba Halimah terperanjat, terasa ada sesuatu yang berlari melintas di belakangnya. Jantungnya berdetak laju. Segera dia mengusap dada sambil beristighfar.

Bersambung....

Penulis : Rashid Salim


p/s: Terima kasih kerana sudi membaca siri ini. Jemput follow blog ini dan share kepada semua. Terima kasih sekali lagi....
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Siri Seram Hakim - Bab 3"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK