Pontianak Muncul Di Jendela


Assalamualaikum, saya Idayu berasal dari Johor yang kini menetap di Kuala Lumpur. Saya nak cerita sebuah kisah tentang pontianak. Menurut kepercayaan orang-orang, pontianak ini adalah orang perempuan yang mati sewaktu bersalin menjelma jadi hantu.

Sebenarnya saya pada asalnya langsung tak percaya dengan benda-benda begini, iyalah orang dah mati mana mungkin jadi hantu? Segala-galanya terputus maka kembali ke alam barzakh.

Tetapi setelah saya lalui sendiri ia sedikit sebanyak mengubah persepsi saya berkenaan jelmaan tersebut. Rasa cuak juga walaupun sepatutnya kita tak perlu takut.

Rupa-rupanya, apa yang terjadi itu sebenarnya jelmaan jin yang menyerupai si mati dan datang mengganggu sesiapa sahaja ataupun mereka-mereka yang berkenaan.

Kisah yang saya lalui ni sudah lama dulu, iaitu sewaktu pulang ke kampung ziarah bapa saudara sedang tenat sakit. Masa tu pula sepupu saya sedang sarat mengandung menanti masa.

Pada suatu malam tu, sepupu saya tu, saya namakan dia Maya call saya katanya dia nak jumpa saya. Saya pun dengan suami pergi ke rumahnya. Apabila tiba di rumahnya saya pun bertanya kenapa call ajak nak jumpa?

Maya beritahu, dia tak call pun suruh datang. Masa tu saya dah rasa pelik. Saya tunjuklah bukti panggilan tu pada dia, memang ada panggilan masuk dari nombor milik Maya tapi Maya cakap dia tak ada call.

Maya beritahu saya dia memang tak call tapi tak tahulah kut suaminya yang call. Saya menyangkalnya saya kata suara tu suara perempuan, kalau suami Maya, mestilah suara lelaki.

Saya pun diamkan diri. Suami saya berbual-bual dengan suami Maya dekat luar. Saya pula bercakap dengan Maya dalam rumahnya, dan tiba-tiba Maya mengadu sakit.

Saya pun terkejutlah, rasa cemas. Panggil suami Maya beritahu Maya dah nak beranak. Maya dah tak tahan sangat. Dia sakit sangat-sangat.

Katanya dia rasa bayi dah nak keluar memandangkan air ketumban juga telah pecah. Wajah Maya berkerut-kerut menahan setiap kesakitan.

Ketika tu saya rasa seram sejuk tak tahu kenapa. Bulu roma saya merinding. Meremang bulu tengkuk. Saya tengok suami Maya meriba kepala Maya. Maya dah terbaring kat lantai, dia dah nak beranak.

Saya kata bawa pergi hospital, Maya kata dia dah tak tahan dah, muka Maya pucat sangat. Masa tu Maya jerit kuat-kuat, dia menerang kesakitan.

Saya pula dah gabra tak tahu nak buat apa. Saya bukan mak bidan, saya sangat panik. Lalu saya suruh suaminya cepat-cepat bawa Maya ke hospital dengan kereta kami.

Kebetulan masa tu kereta suami Maya belum siap repair, takkan nak bawa Maya naik motosikal. Memang tak boleh. Maka kami cepat-cepat tolong bawa pergi ke hospital.

Semasa dalam perjalanan tu, saya minta suami saya pandu cepat sikit sebab kasihan tengok Maya sudah tidak berdaya lagi. Suami Maya pun meminta Maya supaya bertahan.

Saya beberapa kali menoleh ke belakang nak tengok keadaan Maya, tiba-tiba saya rasa ada benda terbang ikut dari belakang kereta. Saya nampak macam ada kain buruk. Berdebar-debar saya jadinya.

Tapi saya diamkan sahaja biarpun jantung saya sudah berdetak laju dan kencang. Otak saya tertanya-tanya apa bendakah itu? Dalam keadaan sedemikian saya tak berani menegur.

Sebaik sahaja hampir tiba ke hospital, Maya sudah tidak bergerak. Suaminya merasakan denyut nadi Maya dan memaklumkan Maya dah tak ada. Pihak hospital juga mengesahkan Maya telah mati.

Ayah Maya sedang tenat, Maya pula telah meninggal dunia. Memang keadaan yang sangat mengejutkan saya. Ketika pengurusan jenazah dilakukan, ramailah saudara mara berkumpul dan datang ziarah.

Ketika di dalam rumah Maya, tiba-tiba saya tercium bau melati. Baunya sangat kuat. Saya pun tanya suami ada bau wangi tak? Dia jawab tak ada bau apa-apa.

Setelah selesai semuanya, kami pun pulang ke ibu kota. Beberapa hari saya kerap didatangi mimpi seorang perempuan berambut panjang yang menakutkan.

Pada suatu senja ketika saya masuk ke dalam bilik, saya tersentak setelah melihat kelibat perempuan berambut panjang yang rambutnya itu menutupi wajah. Pakaianya pula berwarna putih lusuh.

Berderau darah saya masa itu. Namun saya cuba optimis dan fikir ini mesti kerja budak-budak nakal sengaja mengusik. Lepas itu kelibat itu pun ghaib sekelip mata. Saya dah mula bingung.

Siapa perempuan yang berdiri di jendela tu? Selepas tu baru saya perasan, saya tinggal di tingkat lima, macam mana boleh ada orang berdiri di situ? Mana ada koridor.


Saya beritahu suami, suami pun mulanya tak percaya juga, kut tu semua mainan mata saya saja. Saya turut curiga tapi bila sudah kerap bau melati, bau yang sama yang saya hidu di rumah arwah Maya, itu membuatkan saya rasa tak selesa.

Kemudian kami jumpa ustaz memaklumkan perkara tersebut, dan ustaz memberitahu bahawa di dalam kereta kami terdapat kesan darah yang tidak dicucikan. Ustaz tu pun beritahu lagi, benda yang ikut saya merupakan saka milik keluarga itu.


Saya sangat terkejut dan memang betul pakcik saya begitu susah nak mati gara-gara saka. Yang menanggung akibatnya adalah arwah Maya. Selama ini pun saya tak pernah tahu bahawa pakcik saya tu ada bela saka.

Sekian.

Cerita asal : Nor Idayu
Disunting oleh : Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Pontianak Muncul Di Jendela"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK