Ternampak langsuir dalam lori


Assalamualaikum, selamat sejahtera. Saya Azrul berasal dari Selangor. Saya ingin berkongsi pengalaman seram saya sewaktu berkerja di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL).

Kisah yang saya nak cerita ini adalah tentang langsuir. Langsuir ni kalau berdasarkan pencarian di wikipedia, langsuir dipercayai mampu menyerupai seorang perempuan yang cantik dan menggoda lelaki agar mengikuti mereka ke tempat sunyi.

Seterusnya, langsuir dikatakan akan berubah kembali kepada rupa asal dan akan merobek perut mangsa atau mencekik leher mangsa dan menghisap darah mereka. Itu merupakan pembacaan saya dari internet.

Lain pula langsuir yang saya jumpa ini yang tidak berupa menjadi perempuan cantik. Ia sangat hodoh dan menakutkan. Masih terbayang-bayang di mata saya akan wajahnya itu sehingga ke hari ini.

Waktu itu saya ditugaskan untuk memeriksa lori sama ada ianya dalam keadaan baik atau pun tidak. Kejadian itu sekitar jam satu pagi. Rumah saya dengan pusat itu agak dekat.

Saya buat-buat biasa sahajalah dan tidak menyimpan apa-apa perasaan melainkan untuk melakukan pekerjaan dan tugas saya sahaja. 

Selepas itu saya terlihat ada kelibat seorang wanita berambut panjang mengurai duduk di sebelah penumpang hadapan di salah sebuah lori yang ada di situ.

Lampu suluh yang ada di tangan saya ni pun saya gunakan untuk menyuluh ke arahnya. Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa, lalu saya pun memanggilnya, tapi dia tidak memberikan respons.

Kemudian dengan perlahan-lahan wanita itu menoleh ke arah saya dengan rambutnya masih menutupi muka sebelum mengilai kuat. 

Saya pun tanpa menunggu lama terus langkah seribu. Bulu roma saya memang merinding habis. Darah saya mengalir sangat laju. Jantung saya pula berdetak kencang.

Pucat lesi jadinya saya pulang ke rumah. Terngiang-ngiang suara benda tu mengilai. Memang seluruh tubuh saya rasa seram sejuk. 

Ketika itu saya sudah hampir-hampir nampak mukanya saat dia mula mengilai, tapi saya sudah pun cabut lari kerana terlalu cemas dan takut.

PPHL ini terletak tepi jalan dengan dikelilingi ladang kelapa sawit. Kalau nak diikutkan kawasan ni orang kata keras. Mulanya saya tak percaya, tapi bila kena sendiri baru perasaan takut itu timbul.

Saya ingatkan kejadian itu sudah berakhir, rupa-rupanya ia berulang lagi. Kali ini saya dengan rakan sekerja pula diganggu langsuir ini selang sebulan selepas kejadian pertama.

Kejadian kedua ini lebih mencabar, di mana kali ini ia terbang melintas di hadapan kami. Waktu itu sekitar jam satu pagi. Suasananya begitu hening.

Tiba-tiba, pakaian putih lusuh terbang dengan teriakan suaranya yang sangat menyeramkan melintas sangat laju di hadapan kami memecah tembok kesunyian malam.

Seterusnya dia bertengek di atas jentera sambil merenung ke arah kami. Wajahnya memang buruk sukar untuk digambarkan dan ia sangat menakutkan. Seram pula untuk menatapnya.

Mulut kami kumat-kamit membaca apa sahaja ayat suci Al-Quran yang terlintas di dalam kepala kami. Harapan kami agar makhluk itu tidak menganggu kerja-kerja kami.

Bagaikan hendak luruh jantung kami apabila sekali lagi ia terbang dan terus masuk ke dalam ladang kelapa sawit. Mujurlah ia pergi. Namun suara teriakannya masih terdengar nyaring.

Saya ketika itu sudah ketar lutut. Bayangkan benda itu berada tidak berapa jauh dari tempat saya berada. Ia sangat jelas terlihat. Saya suluh depan muka pun benda tu tak lari.

Selepas itu, saya ditukarkan ke tempat lain. Tak sanggup rasanya berhadapan dengan benda begini. Menggigil seluruh tubuh. Kemudian saya dimaklumkan bahawa PPHL itu telah mengadakan doa selamat.

Menurut kawan saya yang masih bekerja di situ, dia memaklumkan bahawa tiada lagi gangguan langsuir seperti yang kami kena. Alhamdulillah...

Sekian.

Cerita asal: Azrul Mustafa
Disunting oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

1 Response to "Ternampak langsuir dalam lori"

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK