“Tolong Carikan Kepala Aku...” Nelayan Dihantui Kelibat Misteri Di Tepi Pantai


Sekiranya Pak Muzir tak cerita, saya pun tak tahu yang di kampungnya itu terdapat kisah-kisah seram dan misteri. Jadi saya mendengarnya dengan kusyuk.

Selain Wan Husin, Pak Muzir ada kenalan lagi namanya Umar. Dia dengan Umar boleh dikatakan kawan baik juga. Menurut Pak Muzir, Umar merupakan seorang nelayan.

Pak Muzir selalu dapatkan ikan segar melalui Umar. Memang akan disimpan khas bahagian untuk dirinya. Ikan kegemaran Pak Muzir pastinya ikan tenggiri.

Dipendekkan cerita, suatu hari Umar turun ke laut selepas Subuh. Waktu itu tanah pun tak kelihatan lagi. Dia dengan menunggang motosikal menunda dengan roda enjin motor sangkut botnya.

Setibanya di pantai, dia pun lihat rakan nelayan yang lain telah turun ke laut. Hanya dia sedikit telat. Dia pun seorang menyorong turun botnya ke persisir pantai setelah mengangkat enjin ke atas bot tersebut.

Setelah semuanya siap dia pun mendorong turun ke dalam air laut untuk pergi menangkap ikan. Dalam suasana yang masih dalam samar-samar itu, dia memandang ke darat.

Tiba-tiba dia terlihat sosok perempuan berdiri tepi pantai menghadap ke arahnya. Umar tak perasan sejak bila perempuan itu ada di situ. Wajahnya tak jelas ada ke tak ada dan kelibat dari sosok tubuhnya seperti seorang perempuan tapi... macam tak ada kepala.

Simbahan cahaya bulan yang menjemput sinar pagi masih kelihatan dan ketika itu fajar mula menyingsing. Dia pun terus menghidupkan enjin dan cuba melupakan akan apa yang dilihatnya.

Ketika di tengah laut, dia terbayang-bayang akan kelibat itu. Dia tak tahu kenapa, bayangan itu selalu sahaja muncul sehinggakan fikirannya menjadi tidak tenang. Seolah-olah perempuan itu seperti berada di atas botnya.

Apabila dia menoleh, kelibat itu tiba-tiba hilang. Dari sebelah mata kirinya, dia merasakan bahawa kelibat tersebut ada di sisinya, tetapi sebaik sahaja dia menoleh... dengan pantas, ia ghaib.

Dia mula beralih tempat dan pergi ke kawasan dia memasang unjam. Kemudian dia terdengar bunyi seperti botnya diketuk-ketuk.

"Ktakkkk! ktakkkkk! Ktakkkk!" Berkali-kali dan dengan cepat dia menoleh tetapi langsung tak ada sesiapa.

Umar benar-benar rasa terganggu di siang hari itu. Dia pun dengan berat hati terus berpatah semula ke darat. Dia rasa ada yang tak kena. Tanpa sebarang tangkapan ikan, dia segera kembali.

Baru sahaja botnya dilancarkan naik ke darat, Umar nampak kelibat misteri sudah berdiri di tiang pondok, kemudian hilang. Dia kebingungan sendiri.

Dia mula berfikir, di tengah hari begini juga terdapat gangguan? Hairan jadinya. Dia tak faham dengan keadaan yang berlaku ketika itu sehinggalah ada yang melaporkan kes kehilangan seorang amah.

Kelibat yang dilihat itu berpakaian skirt warna merah adalah sama dengan pakaian terakhir amah yang dilaporkan hilang. Semua itu berdasarkan pada foto yang dipamerkan.

Kes amah yang hilang itu berlaku di tempat lain, tetapi berita itu sampai di kampung Umar. Umar merasakan apa yang dilihatnya itu kemungkinan pelanduk dua serupa. Tapi... itu hanya badan sahaja.

Setelah beberapa minggu berlalu, dia kerap dihantui bayangan tersebut, tetapi dia hanya buat tak tahu. Akan tetapi dia ingatkan hanya dia sahaja yang rasa begitu.

Rupa-rupanya, ada beberapa orang nelayan lain turut mendakwa ada ternampak kelibat perempuan skirt merah tanpa kepala berjalan terbongkok-bongkok tepi pantai seperti mencari sesuatu. Waktu itu mereka hendak turun ke laut.

Lama kelamaan hal tersebut menjadi buah mulut. Ada yang mengatakan tempat mereka sudah angker. Namun Umar mula terfikir, adakah ia ada kaitan dengan kes amah yang hilang?

Tapi kenapa hanya di kawasan tempat mereka turun ke laut sahaja kerap diganggu? Ia menjadi tanda tanya. Hal tersebut menjadi ketakutan bagi penduduk. Ia suatu yang misteri.

Mereka yang selalu memancing waktu malam dekat kawasan tersebut pun mendakwa diganggu kelibat perempuan tak ada kepala tersebut. Sangat menakutkan. Siapa tak takut, tiba-tiba melintas depan mereka yang sedang memancing. Tak ada kepala pulak tu.

Pak Muzir ketika itu ada bertanya kepada Umar, apa sebenarnya yang berlaku? Lantas Umar pun memberitahu bahawa dirinya sering bermimpikan tentang seorang perempuan yang menangis di pantai.

Kemudian Pak Muzir merasakan bahawa mungkin boleh jadi ada kematian yang tidak disemadikan dengan cara yang betul. Itu mengikut firasat Pak Muzir di ketika itu.

Umar bertanyakan, bagaimana? Pak Muzir juga tidak pasti tetapi kebarangkaliannya begitu memandangkan sudah berbulan-bulan ia berlaku dan keadaan tersebut berterusan.

Memang belum ada apa-apa petunjuk kenapa hal itu boleh terjadi sehingga ia mengganggu penduduk kampung. Bahkan sesiapa sahaja yang melewati kawasan itu akan ditakutinya. Boleh jadi jelmaan itu mengharapkan sesuatu.

Setelah itu, Umar dan beberapa rakan nelayan lain akan membina pondok baru serta buaian. Jadi mereka menggali lubang untuk memacak tiang sebelum memasang bahagian bumbungnya.

Sementara itu salah seorang rakannya gali lubang untuk tiang buaian yang berada dekat dengan pokok Pandanus tectorius atau dikenali sebagai pokok pandan laut. Hampir separuh kemudian ditinggalkan kerana hari dah masuk tengah hari.

Pokok Pandan Laut

Mereka berehat sebentar nanti petang sambung lagi untuk disiapkan. Mereka rehat makan dan solat Zohor. Selepas itu mereka sambung semula. Akan tetapi...

Sebaik mereka sampai... mereka dapati beberapa ekor anjing berkerumun dan sibuk menggali di lubang berdekatan pokok pandan laut tersebut. Setelah menyedari kehadiran mereka. Anjing-anjing liar itu segera beredar.

Umar dan yang lain-lain mengusir anjing itu. Mereka berasa pelik, anjing itu seperti ingin datang lagi. Mereka usir lagi dan tiba-tiba mereka terhidu bau yang busuk menusuk rongga.

Jadi, Umar pun pergi lihat... dia nampak ada tangan yang dah buruk nampak tulang terjulur keluar dari lubang tanah itu. Di situ baru Umar sedar bahawa ada mayat yang terkambus.

Mereka tak nak buat apa-apa melainkan menelefon pihak polis. Setelah itu pihak berkuasa datang, dan tempat itu digali. Lalu didapati ada mayat yang mereput dan membusuk. Mayat seorang perempuan skirt merah tanpa kepala.

Mereka yang berada di situ terpaksa menutup hidung kerana bau yang busuk. Misteri kehilangan amah terungkai tetapi perbuatan tersebut tidak diketahui dilakukan oleh siapa dan kepala korban tidak dijumpai sehingga ke hari ini.

Walau bagaimanapun... di kawasan itu... tetap diselubungi jelmaan wanita skirt merah tanpa kepala. Khabarnya, sehingga sekarang, wanita itu masih mencari kepalanya yang belum ditemui.

Tiada saksi yang nampak siapa yang tanam mayat itu di situ. Umar hanya memberikan keterangan berdasarkan apa yang diketahuinya sahaja. Namun, Umar kadang ada juga terdengar-dengar suara, "Tolong carikan kepala aku..."

Umar pun sehingga ke hari ini tidak pernah tahu bagaimana dengan status kes pembunuhan tersebut. Ia senyap begitu sahaja meskipun telah lama berlalu. Orang kampung terpaksa berhadapan dengan jelmaan tersebut.

Sekian... - Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "“Tolong Carikan Kepala Aku...” Nelayan Dihantui Kelibat Misteri Di Tepi Pantai"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK