'Dia' Nak Ikut Pulang


Kisah ini berlaku sebelum kejadian Lombong Berpuaka pada cerita yang pernah saya tulis sebelum ini. Jadi, siapa yang belum membacanya, silakan...

Baca: Lombong Berpuaka

Baiklah kali ini saya nak kongsikan kisah yang pernah saya berbagi di medsos tidak lama dulu. Sekarang saya perbaiki penulisan saya untuk pembaca setia saya di blog ini.

Seronok terkenangkan zaman kanak-kanak, di antaranya apabila dapat mandi di tali air sawah padi. Di kampung saya dulu terdapat bendang padi. Orang dulu tanam padi sendiri.

Saliran air diperlukan untuk mengalirkan air ke semua sawah. Bila takungan penuh maka beramai-ramailah membuat terjunan.

Tempat tersebut (seperti di dalam gambar) menjadi tumpuan budak-budak kampung lain untuk turut serta mandi di situ.

Meriah sungguh ketika itu tak kira pagi mahupun petang, ada sahaja orang cuma perlu berhati-hati bimbang kalau ada budak-budak nakal pergi pulas pili besar, boleh tersedut masuk dalam longkang.

Indahnya pengalaman semasa dulu, mereka mandi sungai semulajadi, belum kenal apa itu waterpark, inilah waterpark sebenar bagi kami.

Tetapi semuanya kini hanya tinggal kenangan dan tapak sawah padi pun sudah dibangunkan rumah. Ditelan arus kemodenan yang kian pesat.

Berbalik pada kisah Pancur Sura ni, terdapat satu cerita, saya pun tak pasti sama ada ia benar atau pun tidak bahawa terdapat kejadian budak mati kena sedut, terlekat dalam tu. Wallahu A`lam.

Mungkin juga ia sekadar mitos untuk menakut-takutkan budak-budak supaya jangan mandi. Biasalah, mak ayah kadang takut anak lemas. Maklumlah tanpa pengawasan. Saya pulak curi-ciri pergi mandi.

Pada satu hari, bila kawasan tali air ni ramai sangat orang mandi, ia nampak padat. Tak ngam rasanya. Kawan saya ni kata ada lagi satu kolam, ia ada di kawasan lebih atas lagi kat bukit tu. Ia dekat dengan jirat Cina.

Situ tak ramai orang mandi, air pun lebih jernih. Tertarik juga nak pergi. Lantas kami pun pergi sambil kayuh basikal Rally, mendaki jalan berbukit yang berbatu dan tidak berturap tu.

Laluan ke sana kadang terpaksa tempuh jalan yang berlopak-lopak. Keliling kami hanya semak dan kebun orang. Semua itu diredah demi nak pergi mandi dekat sana.

Setibanya di situ, saya nampak ada sekumpulan budak sedang mandi. Seronoknya mereka berkejaran dan melompat sana sini. Menyedari kehadiran kami, tiba-tiba suasana jadi hening.

Hanya desiran dedaun ditiup angin serta kocakan air yang luruh mengalir celah-celah bebatuan jelas kedengaran. Selain itu kicaun burung-burung dan cengkerik turut berirama.

Budak-budak tu pulak entah ke mana menghilang. Saya tanya kawan, mana budak-budak yang mandi tadi? Dia jawab mana ada orang mandi.

Aih? Saya pun dah mula rasa seram sejuk dan tak sedap hati terhadap jawapan yang diberikan. Saya sendiri nampak mereka. Tapi kawan saya pula kata tiada sesiapa.

Katanya, hanya kita berdua sahaja lalu dia pun nak pergi turun mandi. Tak tahan tengok air jernih agaknya dan saya pula masih berkira-kira, nak mandi ke tak.

Fikiran ini masih tertumpu pada budak-budak tersebut. Kemudian saya hela nafas dan cuba mengabaikan tentang apa yang saya lihat itu meskipun hati masih skeptikal.

Akhirnya saya turun mandi. Tapi... tidak semena-mena saya merasakan bahawa kaki saya ni seperti ditarik-tarik. Terkejut beruk dan bercampur cuak, maka saya pun cepat-cepat naik ke tebing.

Lantas kawan saya pun bertanya, kenapa? Saya jawab, tak ada apa-apa. Saya dah malas nak mandi. Roma saya merinding. Jantung pula dah dug dag dug dag sahaja tak sedap hati.

Saya ajak dia balik tapi dia enggan. Saya memberitahunya bahawa hari dah lewat sangat ni, kejap lagi dah nak Maghrib. Silap-silap saya kena rotan dengan ayah kalau ayah dapat tahu saya mandi pancur.

Lantas dia akur, dengan basah kuyup kami dapatkan basikal untuk balik. Waktu menuruni bukit, saya rasa basikal saya berat. Kawan saya yang mengayuh basikal di depan dah semakin jauh.

"Wei tunggu la." Dia tak menoleh pun. "Tunggu la!" Panggil saya lagi. Entah kenapa saya seperti membonceng beban di para basikal.

Perlahan-lahan saya menoleh, tapi bola mata saya terus terbuntang! Saya mendapati ada budak lelaki  sedang sengih kat saya. Tapi tak pakai baju. 

Saya pun tak ingat rupanya bagaimana sebab saya pun tak sempat nak perati semua itu. Yang saya tahu, saya dah terkejut dan cuak gila. Perasaan cuma nak cabut lari je.

Dia sedang duduk di para basikal saya. Maka meremang jadinya. Kecut kepala saya. Saya pun apa lagi, tinggalkan basikal, berlari mendapatkan si kawan. Siapa tak terkejut tiba-tiba ada.

Esoknya demam jugalah saya. Saya beritahu kawan tentang apa yang saya nampak tapi dia tetap tak percaya. Dia kata itu hanyalah khayalan saya sahaja.

Pada esok itu juga saya minta dia dan seorang lagi kawan temankan saya ambil basikal saya tu. Demam-demam pun nak pergi ambil basikal sebab takut hilang. Kalau ayah saya tahu, nahas saya.

Mujurlah basikal saya tu ada cuma pelik sikitlah, duk tepi dalam semak. Kut ada orang tolong alihkan kut. Masih ada rezeki lagi. Alhamdulillah.

Sekian.

Rashid Salim.
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

2 Responses to "'Dia' Nak Ikut Pulang"

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK