Penunggu Rumah Sewa - 4
Rabu, 14 Jun 2023
Add Comment
Seperti terdengar halus-halus suara sedang memanggil namaku. Terasa pipiku ini pula ditampar-tampar. Kepala aku terasa sakit, mungkin terhantuk di mana-mana agaknya. Semakin lama nada itu semakin jelas.
“Syahmi! Bangun Syahmi!” Telinga terasa berdengung dan tidak berapa lamu kemudian bunyi nyaring bagaikan stesen televisyen tiada siaran itu akhirnya berhenti. Akhirnya halwa telingaku dapat menangkap suara yang seperti bergaung itu.
Berat sunggun kelopak mata ini ketika hendak dibuka seperti ditekan oleh sesuatu. Lalu lambat-lambat ke celik. Lalu aku nampak kelibat Pak Hamid berada di sisi aku. Aku tidak tahu berapa lama aku terbaring di dalam tandas itu.
“Kenapa Syahmi? Apa yang berlaku?” Soal Pak Hamid menatap aku dengan penuh kehairanan. Kalau dia berkerut dahi melihat keadaan aku, apatah lagi aku yang mengalaminya.
“Saya tak tahulah Pak Hamid…” Jawabku sambil aku bangkit bersama tubuh yang lemah seraya dipapah oleh Pak Hamid.
“Sudah, mari keluar…” ajak Pak Hamid tapi aku rasa ada sesuatu yang aku belum lunaskan. Rasanya aku ke tandas untuk buang air kecil, tapi tak pasal seluar aku telah kebasahan gara-gara terkejut dengan insiden itu.
“Sebentar Pak Hamid. Saya nak buang air.” Balas aku lalu melangkah ke pintu tandas. Perasaan cuak tentang apa yang terjadi cuba aku abaikan. Hakikatnya aku segan sebab terkucil di dalam seluar.
“Ah kau, tak payah nak beralasan. Seluar kau pun dah basah. Gerenti kau terkencing dalam seluar sebelum aku sampai,” kerling Pak Hamid. Aku pula jadi malu dan aku perlu selesaikan semuanya.
Selepas aku ganti seluar, aku kembali ke pondok pengawal. Di situ Pak Hamid telah menanti aku. Mungkin dia ingin tahu apa yang sebenarnya telah berlaku agaknya.
“Saya minta maaf Pak Hamid, sebab ambil waktu lama. Menyusahkan Pak Hamid pula pergi cari saya. Kalau tak ada Pak Hamid, tak tahulah apa yang akan terjadi pada saya. Mungkin lena sampai besok dalam tandas tu.” Beritahuku sembari melabuhkan punggung di kerusi.
“Tak adanya sampai esok. Pasti aku pergi cari kau. Itulah pelik juga, kau tak balik-balik ke pos, itu sebab aku pergi cari kamu. Apa hal sebenarnya Syahmi sehingga kau pengsan dalam tandas tu?” Soal Pak Hamid sambil mengerut dahinya sendiri.
“Kalau saya beritahu Pak Hamid pun, bukannya Pak Hamid nak percayakan saya. Yelah, nanti apa pula tanggapan Pak Hamid terhadap saya, kan?” Belum apa-apa, aku sudah prejudis terhadap Pak Hamid. Bukan apa, aku telah menanam perasaan skeptikal.
Pak Hamid angkat kening, aku tidak tahu apa yang sedang berada di dalam karung otaknya. Apa yang aku rasakan, mungkin Pak Hamid sukar memahami aku. Atau mungkin juga dia sengaja buat-buat tidak tahu.
Susah betul apabila aku telah mula berkongsi cerita dengan Pak Hamid tentang kejadian aku di rumah sewa. Aku memang tidak tahu apa yang difikirkan Pak Hamid. Cuma aku ingin mencari penyelesaian sahaja.
“Aku ni bukan apa Syahmi. Aku tidak mahu apa yang mengganggu fikiran kamu akan merosakkan diri kamu sendiri nanti.” Balas Pak Hamid melakarkan wajahnya yang serius tiba-tiba.
“Apa maksud Pak Hamid? Saya kurang faham,” aku tidak basa basi lagi. Memang aku ingin tahu sangat apa yang berada di benaknya.
Dia merenung aku lalu menggeleng seolah-olah aku bakal melakukan kesilapan besar di dalam hidup aku. Manalah aku tahu tentang apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Disebabkan itu aku meminta penjelasan.
Aku melontarkan pandangan aku pada redup pohon pinang yang terdapat di tepi pagar gudang ini. Aku menghempas nafas berat setelah melihat ekspresi wajah yang diberikan oleh Pak Hamid yang mengheret perasaan aku pada dinding penasaran.
“Kamu tahu apa yang patut kamu lakukan Syahmi. Apa yang penting kamu mesti kuatkan semangat. Jangan lemah.” Pesan Pak Hamid. Ini lagi membuatkan aku sangsi. Pesanan demi pesanan diberikan. Satu apa saranan pun rasanya tidak berkutik di mindaku. Payah.
“Tolonglah Pak Hamid, jangan buat saya keliru. Lebih baik berterus terang sahaja.” Pintaku mengharapkan kebenaran.
“Seharusnya kamu yang patut berterus terang dengan aku, Syahmi. Bukannya aku.” Pak Hamid seperti marah pada aku dan aku tidak pula tahu akan apa yang cuba disampaikannya. Aku benar-benar keliru.
“Apa lagi yang Pak Hamid ingin tahu dari saya? Sejujurnya saya keliru sekarang ini.” Aku bangun dan berdiri di pintu pondok pengawal.
“Kamu nampak sesuatu di dalam tandas, betul kan?” Sela Pak Hamid. Memang itulah yang tidak aku ceritakan pada Pak Hamid. Ya, aku melihat sesuatu yang diluar jangkaan aku sendiri. Sesuatu yang mendebarkan dadaku. Selama ini tidak pernah aku melaluinya di sini. Tetapi ini telah memancing aku ke satu daerah pergelutan yang penghujungnya tidak pasti.
“Bagaimana Pak Hamid tahu?” Soal aku kehairanan. Ekor mataku tajam menatapnya. Dia pula seolah-olah ingin mencungkil segala yang aku pendamkan. Aku pun melarikan pandangan sambil menggeleng perlahan.
“Aku jumpa kamu yang dah pengsan, memang adalah tu yang tak kena, hahaha.” Sempat lagi dia berseloroh. Aku tidak dapat menduga ragam Pak Hamid ini. Tidak stabil langsung mood dia. Sekejap serius, sekejap lawak. Tapi apa yang aku faham, Pak Hamid yang berkumis tebal ini suka berseloroh. Wajah nampak sahaja garang, tapi suka mengambil berat tentang aku rakan sekerjanya. Aku memang menghormatinya dan dia pun akan pencen tidak lama lagi.
“Erm….” Aku mengumam kerana ia menjentik perasaan.
“Iyalah, jangan marah Syamil. Tapi ini betul aku nak beritahu kamu. Di gudang ini memang kamu belum pernah mengalami hal-hal aneh, kan? Baru tadi kamu disakat, betul tak?” Aku pun mengangguk bagi mengiakan apa yang dikatakan. “Tapi benda itu sebenarnya mengikut kamu sampai ke sini.” Tokok Pak Hamid membuatkan biji mata aku terbuntang.
“Hah? Apa maksud Pak Hamid?” Lain benar hujahnya. Kata-katanya itu membuatkan aku menelan liur. Karung otak aku pula cuba menyimpulkan bahawa Pak Hamid bukanlah sembarangan orang.
Di saat itu juga bulu roma aku kembali menegak. Ketika Pak Hamid berkata begitu, aku juga telah mula merasakan setiap pergerakan aku seolah-olah sedang diperhatikan. Detak jantung aku mula memecut denyut.
“Kamu kenapa?” Soal Pak Hamid. Dan sejurus itu, peluh mula merenik di dahi. Aku cuba selindungkan rasa kurang selesa, namun Pak Hamid pantas menduga perubahan aku yang gelisah.
“Tak ada apa-apa. Saya rasa tak sedap badan.” Ujarku sambil memerhati Pak Hamid menuangkan air ke dalam gelas. Aku perhatikan mulutnya kumat-kamit sambil menghalakan minuman itu di hadapan wajahnya. Tidak lama kemudian, dia meniup gelas yang berisi air masak itu.
“Minum ni, tapi sebelum tu baca Bismillah dan selawat tiga kali, Insyaallah.” Suruh Pak Hamid sambil menghulurkan gelas itu kepada aku. Perlahan-lahan aku meneguknya. Akan tetapi sewaktu aku menelan air itu, serta merta rengkung terasa membahang. Kemudian perut aku memulas-mulas dan berasa mual.
Dengan pantas aku terus bangkit dan bergegas keluar pos. Mulut aku terus memuntahkan sesuatu dan kemudian aku rasa seperti masih ada lagi benda yang keluar dari mulut. Aku pun menariknya. Alangkah terkejutnya aku, ia merupakan gumpalan rambut. Tarik punya tarik, hampir setengah meter juga panjangnya rambut itu. Ketika ditarik maka jelas membuatkan urat wajahku berkerut-kerut dan rengkungku pula terseksa perit seolah-olah sedang dibakar oleh api yang marak.
Semakin bingung aku rasakan. Apa sebenarnya yang terjadi pada aku? Lantas kotak fikirku ini juga terus menala pada setiap ahli keluargaku, apa pula nasib mereka? Badan aku mula berasa lemah. Segala sendi pula seperti terkunci. - bersambung
Karya : Rashid Salim LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Penunggu Rumah Sewa - 4"
Catat Ulasan